Acer Nitro V16S memasuki pasaran tempatan dengan beberapa pilihan termasuk juga AMD dan Intel, bagi model yang saya guna ini, ia dikuasakan oleh pemproses Intel® Core™ 5 210H lapan teras dan kad grafik NVIDIA® GeForce RTX™ 5060 dengan memori dedikasi 8GB, ia turut dipadankan dengan RAM 16GB DDR5 dan storan SSD 512GB bersama dengan tanda harga RM5,399, menyasarkan golongan pemain permainan video serta pencipta kandungan. Persoalannya, adakah spesifikasi ini berbaloi dengan harganya?


Dari segi rekaan dan kualiti binaan, Acer telah melakukan kerja yang baik. Gabungan bahan aluminium dan plastik memberikan rupa yang premium dan terasa sangat kukuh. Dengan berat sekitar 2.10kg, ia masih dianggap ringan dan mudah dibawa ke mana-mana, sesuai dengan kategorinya sebagai komputer riba permainan. Ketahanannya juga meyakinkan kerana skrinnya tidak bergoyang dan kerangkanya tidak melentur apabila ditekan.
Pilihan sambungan atau ‘ports’ yang disediakan agak menyeluruh tetapi mempunyai sedikit kekurangan. Di bahagian kiri, terdapat port LAN, USB-A, Audio Jack, dan slot MicroSD yang sangat berguna untuk pencipta kandungan. Di sebelah kanan pula terdapat dua port USB-A. Walau bagaimanapun, hanya terdapat satu port USB-C (Thunderbolt) di bahagian belakang bersama port kuasa dan HDMI. Bagi pengguna yang mempunyai banyak peranti USB-C, kekurangan port ini mungkin sedikit menyusahkan.


Paparan skrin adalah kekuatan utama peranti ini. Ia menggunakan panel IPS Active Matrix TFT LCD dengan ciri ‘ComfyView’ (Matte) yang mengurangkan pantulan cahaya. Warna yang dipaparkan sangat tepat dan skrinnya cukup terang untuk digunakan dalam pelbagai keadaan pencahayaan. Ditambah pula dengan kadar segar semula 180Hz, visual kelihatan sangat lancar. Namun, kualiti pembesar suaranya agak mengecewakan. Walaupun bunyinya kuat, kualiti audionya menjadi kasar apabila kelantangan ditingkatkan, jadi penggunaan fon kepala amat disarankan untuk pengalaman yang lebih baik.
Pengalaman menaip pada papan kekuncinya sangat selesa dengan jarak tekan yang memuaskan dan susun atur yang tidak terasa sempit. Pad sentuhnya juga bersaiz sederhana dan sangat responsif, walaupun penggunaan tetikus luaran masih lebih digalakkan untuk permainan video.


Beralih kepada prestasi, komputer riba ini cemerlang dalam tugasan harian seperti melayari web dengan banyak tab dibuka tanpa sebarang masalah lengah. Bagi prestasi permainan berat, ia berada di tahap pertengahan. Permainan seperti Call of Duty Black Ops 7 mampu dimainkan pada tetapan ‘Medium’ dengan 60FPS yang konsisten, manakala Anno 117 boleh dimainkan pada tetapan ‘High’ dengan kadar bingkai yang sama, semuanya dengan bantuan teknologi DLSS. Permainan yang lebih ringan seperti Hollow Knight: Silksong dan Dispatch berjalan tanpa sebarang masalah.
Dari aspek pengurusan haba, kipas penyejuk agak bising apabila beban kerja tinggi. Walau bagaimanapun, kipas tersebut berfungsi dengan efisien untuk memastikan haba tidak terkumpul pada bahagian papan kekunci, membolehkan sesi permainan yang panjang tanpa rasa panas yang tidak selesa pada tangan. Untuk ketahanan bateri, ia mampu bertahan sekitar 9 hingga 10 jam bagi penggunaan biasa tanpa permainan video, satu angka yang agak baik untuk kelasnya.


Secara keseluruhannya, Acer Nitro V16S mempunyai beberapa kelebihan yang jelas seperti binaan yang terasa premium, mudah alih, dan skrin yang berkualiti tinggi. RAM dan storan yang ditawarkan juga baik. Namun, terdapat beberapa kekurangan yang perlu dipertimbangkan, antaranya prestasi permainan yang sekadar sederhana untuk tanda harga RM5,399, bunyi kipas yang bising, dan hanya satu port USB-C disediakan.
Kesimpulannya, komputer riba ini adalah pilihan yang memadai atau ‘decent’ untuk harganya. Namun, jika tujuan utama anda adalah semata-mata untuk permainan video berprestasi tinggi, anda mungkin perlu mempertimbangkan model lain yang lebih berkuasa atau mencari model tahun lepas yang menawarkan spesifikasi lebih tinggi pada julat harga yang sama.


