Perjalanan saya dengan siri Persona bermula sedikit terbalik. Saya bukanlah seorang pengikut setia yang menunggu setiap entri sejak era PlayStation 2 lagi, sebaliknya saya hanyalah pemain biasa yang mula jatuh hati dengan gaya permainan ini selepas menghabiskan Persona 4 dan kemudiannya Persona 5. Kedua-dua permainan tersebut meninggalkan kesan yang cukup mendalam, membuatkan saya tertanya-tanya bagaimana rupa bentuk permainan yang menjadi asas kepada formula moden siri ini. Jadi, apabila Persona 3 Reload tiba di tangan saya untuk dimainkan di konsol Nintendo Switch 2, saya melihatnya sebagai peluang terbaik untuk melengkapkan pengalaman saya.

Permainan ini membawa kita menyelami watak seorang pelajar pindahan yang baru sahaja menjejakkan kaki ke Tatsumi Port Island. Namun, kehidupan sekolah yang disangka normal berubah sekelip mata apabila kita diperkenalkan dengan fenomena misteri yang dipanggil “Dark Hour”. Ini adalah satu tempoh masa tersembunyi yang berlaku tepat pada jam 12 tengah malam, di mana dunia bertukar menjadi sunyi dan menyeramkan, manusia biasa bertukar menjadi keranda, dan raksasa bayang-bayang yang dikenali sebagai Shadows mula berkeliaran. Tanpa disangka, watak kita mempunyai potensi istimewa untuk memanggil “Persona” bagi melawan ancaman ini, lantas direkrut ke dalam kumpulan Specialized Extracurricular Execution Squad (SEES). Bersama rakan-rakan sekolah yang lain, tugas kita adalah untuk membasmi Shadows dan menyiasat misteri menara gergasi yang muncul setiap kali Dark Hour bermula.

Satu perkara yang segera menarik perhatian saya ialah nada penceritaannya. Jika Persona 4 lebih kepada misteri pembunuhan di pekan kecil dan Persona 5 tentang semangat pemberontakan remaja, Persona 3 Reload terasa lebih gelap dan serius. Temanya banyak bermain dengan konsep kematian dan masa, memberikan satu kisah yang agak berat namun cukup menarik. Walaupun rentak awalnya terasa sedikit perlahan, ceritanya berkembang dengan baik, terutamanya apabila plot mula menebal di pertengahan permainan. Interaksi dengan watak-watak lain, sama ada ahli SEES atau rakan sekolah melalui sistem Social Link, juga dilakukan dengan baik. Walaupun ada beberapa Social Link yang saya rasakan tidak begitu memikat dari segi penceritaanya, secara keseluruhannya ia tetap memberikan “rasa” kehidupan remaja yang menjadi identiti siri ini.

Walau bagaimanapun, sebagai seseorang yang sudah terbiasa dengan struktur Persona 5, saya tidak dapat lari daripada membandingkan elemen penjelajahan “dungeon” dalam permainan ini. Di sini, kita ada Tartarus. Bagi saya yang datang kemudian dalam siri ini, Tartarus mengingatkan saya kepada Palaces dalam P5 atau TV World dalam P4. Namun, fungsinya agak berbeza. Dalam Persona 5, Palaces direka secara unik dan berkait rapat dengan jalan cerita utama. Tartarus pula lebih menyerupai Mementos, satu menara gergasi yang rawak dan tidak benar-benar berkait secara langsung dengan naratif harian yang sedang berlaku. Ia terasa sedikit asing kerana dalam permainan ini, Tartarus lebih berfungsi sebagai tempat untuk “grinding” atau menaikkan level semata-mata, dan reka bentuknya yang berulang-ulang kadangkala terasa kurang variasi berbanding apa yang saya lihat dalam Palaces.

Sistem progres ceritanya juga agak unik. Jika dalam permainan lain kita mengejar tarikh akhir untuk menyelesaikan dungeon, dalam Persona 3 Reload, cerita utama bergerak melalui fasa-fasa tertentu yang memuncak setiap kali bulan penuh (Full Moon). Malah, penerokaan kita di dalam Tartarus juga dihadkan mengikut kemajuan cerita ini; kita tidak boleh naik lebih tinggi sehingga kita melepasi peristiwa bulan penuh tersebut. Walaupun ia berbeza, struktur ini masih memberi ruang yang cukup untuk saya bereksperimen dengan ahli pasukan dan strategi baru di dalam Tartarus tanpa rasa terlalu tertekan.

Bercakap tentang strategi, aspek pertempuran adalah di mana Persona 3 Reload benar-benar bersinar dan terasa sangat familiar. Jika anda sukakan aksi pantas dan bergaya dalam Persona 5, anda pasti akan selesa di sini. Satu tambahan baru yang menarik ialah mekanik Theurgy. Selepas melakukan sejumlah aksi dalam pertempuran, setiap watak boleh melepaskan satu serangan khas atau penyembuhan yang sangat kuat, seakan-akan serangan “ultimate”. Visual untuk serangan ini sangat memukau dan ia memberikan kepuasan yang tinggi, walaupun saya harus akui, penggunaannya kadang-kadang membuatkan pertempuran bos terasa sedikit lebih mudah daripada yang dijangka. Namun, bagi saya yang lebih mementingkan jalan cerita, ia adalah satu tambahan yang menyeronokkan.

Dari segi visual, Persona 3 Reload nampak sangat cantik dan digilap rapi. Reka bentuk karakter dan persekitaran nampak moden dan segar, berjaya membawa permainan klasik ini selari dengan standard visual terkini. Bermain di Nintendo Switch 2, pengalaman visualnya cukup memuaskan hati. Pada mulanya, saya perlu mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri dengan kadar kelancaran 30FPS. Ia mungkin terasa sedikit kurang lancar pada jam-jam pertama, terutamanya jika mata sudah biasa dengan kelancaran yang lebih tinggi, tetapi lama-kelamaan ia tidak lagi menjadi isu yang ketara. Apa yang menarik, dengan kemas kini terbaru, permainan ini kini menyokong 60FPS apabila dimainkan dalam mod “dock” di TV. Walaupun mod mudah alih kekal pada 30FPS, mempunyai pilihan untuk pengalaman yang lebih lancar di skrin besar adalah satu bonus yang sangat saya hargai.

Secara keseluruhannya, pengalaman saya dengan Persona 3 Reload di Nintendo Switch 2 adalah sangat positif. Walaupun reka bentuk Tartarus terasa sedikit “lama” dan repetitif berbanding permainan yang lebih terkini, kekuatan penceritaan yang gelap dan sistem pertempuran yang menyeronokkan berjaya menutupi kekurangan tersebut. Bagi saya, ia bukanlah permainan terbaik di dalam siri ini yang secara peribadinya ia masih P5, tetapi dengan versi Reload ini, ia masih membawa pengalaman permainan ini hampir sama dengan permainan tersebut dan ia merupakan satu perkara yang saya boleh hargai.

Persona 3 Reload
Penyampaian moden Persona 3 Reload menjadikannya sangat sesuai untuk peminat era Persona 5. Walaupun bermula perlahan, naratifnya yang gelap dan berat berkembang menjadi sangat memikat sebaik sahaja ia keluar daripada penceritaan selamat. Ia adalah pengalaman yang berbaloi, terasa segar namun tetap familiar bagi pemain baharu.
Positif
Pengalaman permainan Persona modem
Penceritaan yang menarik
Visual yang baik
Negatif
30 FPS
Dungeon terasa berulang
8

Leave a Reply

Final Score