Selepas membawa penonton ke pulau peribadi yang mewah dalam filem sebelumnya, francais misteri Knives Out kembali dengan filem ketiganya iaitu Wake Up Dead Man. Kali ini pengarah Rian Johnson membawa Detektif Benoit Blanc yang dilakonkan oleh Daniel Craig kembali ke dunia nyata dengan latar yang lebih sederhana namun sarat dengan konflik moral dan keagamaan. Walaupun filem ini berjaya mengekalkan identiti asal siri ini ia hadir dengan kekuatan dan kelemahan yang tersendiri lalu menjadikannya sebuah penghasilan yang mungkin membelah pendapat peminat tegar genre penyiasatan.

Plot filem ini memfokuskan kepada watak Jud Duplenticy lakonan Josh O’Connor, seorang bekas peninju yang beralih arah menjadi paderi dalam usaha mencari keampunan. Namun Jud masih bergelut untuk mengawal baran lamanya yang sering memuncak. Akibat daripada kegagalannya mengawal emosi dia dihantar bertugas di sebuah paroki luar bandar bernama Our Lady of Perpetual Fortitude yang dipimpin oleh Monsignor Jefferson Wicks lakonan Josh Brolin.
Konflik utama tercetus apabila Jud mendapati bahawa Wicks bukanlah seorang paderi yang baik seperti yang diharapkan. Sebaliknya Wicks sering menyampaikan khutbah yang menyemai benih kebencian dalam kalangan jemaahnya. Namu, ini yang membuatkan Wicks mempunyai pengikut setia yang terdiri daripada Martha Delacroix lakonan Glenn Close, Dr. Nat Sharp lakonan Jeremy Renner, Vera Draven lakonan Kerry Washington, Lee Ross lakonan Andrew Scott, Simone Vivane lakonan Cailee Spaeny, dan Cy Draven lakonan Daryl McCormack. Setiap daripada mereka mempunyai kisah silam dan alasan tersendiri mengapa mereka begitu patuh kepada Wicks, satu dinamik yang amat menjengkelkan Jud yang percaya bahawa gereja tidak sepatutnya dikendalikan dengan cara sedemikian.

Ketegangan memuncak sehingga berlaku pertengkaran besar antara Jud dan Wicks. Tidak lama kemudian Wicks ditemui mati dan diduga telah dibunuh. Disebabkan perselisihan faham mereka yang diketahui umum, Jud menjadi suspek utama bersama-sama pengikut setia Wicks yang lain. Seorang pegawai polis tempatan iaitu Geraldine Scott yang dilakonkan oleh Mila Kunis kemudiannya membuat keputusan untuk memanggil Benoit Blanc bagi menyelesaikan “permainan” ini dengan harapan dia dapat mendesak Jud untuk mengaku bersalah. Namun sebaik sahaja Blanc tiba di lokasi kejadian kes pembunuhan ini ternyata jauh lebih rumit daripada yang disangka dan Jud mungkin bukan pembunuh sebenar.
Dari segi nada atau tone, Wake Up Dead Man berjaya mengimbangi suasana antara filem pertama dan kedua. Tenaga eksentrik yang wujud dalam filem kedua masih terasa tetapi ia digarap dengan lebih “grounded” dan dekat dengan realiti, mirip filem pertama Knives Out.

Latar tempat filem ini jauh lebih ringkas berbanding kemewahan filem kedua kerana ia hanya berkisar di sekitar gereja dan pekan kecil. Walaupun latarnya sederhana sinematografinya harus dipuji. Pengarah fotografi berjaya menyuntik elemen “keagamaan” ke dalam visual dengan indah contohnya babak di mana cahaya matahari menembusi tingkap gereja sebagai simbolik kepada “wahyu” atau revelation, memberikan impak visual yang dramatik namun tenang.
Kekuatan sebenar filem ini bukan terletak pada teka-teki pembunuhannya semata-mata tetapi pada watak-wataknya. Filem ini berjaya memastikan setiap watak sampingan mempunyai kedalaman dan penglibatan dalam plot. Watak-watak lain yang walaupun tidaklah terlibat dengan perjalanan plot secara berterusan akan tetapi masih memberi impak yang baik kepada keseluruhan penceritaan.

Namun pujian tertinggi harus diberikan kepada Josh O’Connor. Boleh dikatakan beliau benar-benar menggalas tanggungjawab besar dalam filem ini. Watak Jud yang kompleks, sebagai seorang lelaki yang cuba menjadi baik tetapi sering tewas dengan emosi sendiri, dilakonkan dengan sangat berkesan. Jika ada anugerah lakonan untuk filem ini Josh O’Connor selayaknya menerima anugerah Pelakon Utama Terbaik manakala Daniel Craig lebih sesuai untuk kategori Pelakon Pembantu. Craig masih cemerlang dengan karisma detektifnya tetapi kali ini pentas utama adalah milik O’Connor, sesuatu yang saya rasakan sudah menjadi perkara kebiasaan bagi siri filem ini.
Bagi peminat tegar genre whodunit yang mengharapkan plot berbelit yang sukar diteka, Wake Up Dead Man mungkin terasa sedikit hambar. Elemen misterinya digarap dengan baik dan kemas tetapi ia agak ringkas atau simple. Malah filem itu sendiri secara meta sering mengingatkan penonton bahawa ini hanyalah satu kes pembunuhan klasik berasaskan novel klasik.

Terdapat beberapa twist dan pusingan plot namun tiada yang benar-benar mengejutkan atau di luar jangkaan yang drastik. Bagi penonton yang teliti identiti pelaku atau motif kejadian mungkin sudah boleh diteka lebih awal. Ini menjadikan filem ini mungkin sedikit membosankan bagi mereka yang hanya mahu menguji minda tetapi ia diselamatkan oleh penceritaan drama yang kuat di sebalik pembunuhan itu.
Secara keseluruhannya Wake Up Dead Man adalah sebuah filem yang menyeronokkan untuk ditonton. Ia mungkin tidak menawarkan kedalaman teka-teki yang paling rumit dalam sejarah francais ini tetapi ia menampung kekurangan itu dengan pembangunan watak yang cemerlang dan lakonan yang memukau daripada barisan pelakon hebat seperti Josh O’Connor, Josh Brolin, Glenn Close, dan Jeremy Renner.

Ia adalah filem yang lebih mementingkan persoalan “mengapa” dan “siapa” dalam konteks kemanusiaan berbanding sekadar mekanik pembunuhan itu sendiri. Bagi penonton yang mencari drama misteri dengan visual yang cantik dan lakonan kelas pertama filem ini tidak akan mengecewakan.
Wake Up Dead Man sudah disiarkan di Netflix


