Dalam landskap industri permainan video moden yang sering mengejar dunia terbuka yang luas atau mekanik permainan yang kompleks, Dispatch hadir dengan penawaran yang berbeza dan membawa saya kembali kepada era kegemilangan permainan oleh Telltale Games. Pada dasarnya, permainan ini boleh disifatkan sebagai sebuah siri TV interaktif yang mungkin menjadi impian Netflix untuk dihasilkan. Walaupun ia mempunyai elemen permainan video, aspek tersebut bukanlah perkara utama yang akan kekal dalam ingatan saya setelah tamat permainan. Sebaliknya, kekuatan sebenar Dispatch terletak pada penyampaian ceritanya yang kukuh.

Berlatarbelakangkan sebuah dunia di mana kewujudan adiwira dan penjahat yang memiliki kuasa luar biasa adalah satu norma, pemain mengawal watak bernama Robert Robertson III. Robert memiliki persona hero dikenali sebagai Mecha Man, di mana dia bergantung sepenuhnya kepada sut mekanikal gergasi untuk memberikannya kuasa yang tidak dimilikinya secara semula jadi. Dia merupakan generasi ketiga Mecha Man selepas datuk dan ayahnya.
Naratif permainan bermula dengan misi peribadi Robert memburu Shroud, seorang penjahat yang bukan sahaja bertanggungjawab atas pembunuhan bapanya, tetapi juga ingin mendapatkan Astral Pulse iaitu sumber kuasa utama bagi sut Mecha Man. Namun, misi ini menemui jalan buntu apabila Robert terperangkap dalam satu serbuan yang menyebabkan letupan besar. Akibatnya, Astral Pulse hilang dan sut mekanikalnya musnah sepenuhnya, meninggalkan Robert tanpa sebarang kuasa untuk bertindak sebagai wira.

Tanpa keupayaan fizikal untuk meneruskan karier heronya, Robert didatangi oleh Blonde Blazer, seorang wira yang berkhidmat untuk Superhero Dispatch Network (SDN). SDN berfungsi seakan-akan sebuah agensi perlindungan yang dianggotai oleh orang yang mempunyai kuasa untuk membantu pelanggan rangkaian tersebut yang menghadapi pelbagai jenis masalah. Di sinilah bermulanya fasa baharu kehidupan Robert, di mana dia ditugaskan untuk menguruskan sebuah pasukan unik yang digelar “Z-Team.” Pasukan ini bukanlah terdiri daripada adiwira, sebaliknya dianggotai oleh bekas penjahat yang sedang mencari peluang untuk menebus dosa silam mereka.
Peralihan Robert daripada seorang wira barisan hadapan kepada pengurus pasukan bekas penjahat bukanlah satu tugas yang mudah, namun kecekalan watak ini menjadi nadi kepada perkembangan cerita. Di sinilah elemen “permainan video” diperkenalkan melalui sistem Dispatch.

Dalam mod ini, Robert beroperasi menggunakan komputer untuk memantau segala kekacauan atau masalah yang berlaku di dalam bandar. Sebagai pemain, tanggungjawab saya adalah menganalisis situasi dan menghantar ahli Z-Team yang paling sesuai untuk menyelesaikan masalah tersebut. Kejayaan dalam misi akan memberikan mata kepada ahli pasukan, yang seterusnya membolehkan saya mempertingkatkan kebolehan mereka.
Sistem ini hadir dengan elemen permainan mini yang menyeronokkan, terutamanya dengan penambahan pemasa yang memberikan sedikit tekanan untuk membuat keputusan pantas. Apabila misi berjaya diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan, ia memberikan rasa kepuasan kepada saya. Walaupun kegagalan dalam misi-misi ini boleh mengubah sedikit laluan atau nasib watak-watak tertentu, ia tidak memberi impak drastik sehingga mengubah jalan cerita utama secara keseluruhan.

Selain pengurusan sumber manusia, permainan ini turut menyelitkan elemen penggodaman. Pemain perlu memasuki sistem digital, mencari laluan yang betul, dan memasukkan kombinasi kunci yang tepat. Ia merupakan satu lagi variasi permainan mini yang berfungsi sebagai selingan, namun kedalamannya tidaklah begitu kompleks. Ia cukup sekadar menjadi pelengkap kepada aktiviti harian Robert.
Fokus utama Dispatch adalah penceritaan yang terurai secara berperingkat, tentang keinginan Robert membantu Z-Team, hubungan dinamik antara dia dan pasukannya, serta misteri yang belum selesai berkaitan Shroud. Terdapat pelbagai pilihan dialog yang diberikan kepada pemain sepanjang permainan. Walaupun pilihan ini mengubah butiran-butiran kecil atau reaksi watak, teras utama penceritaan kekal sama.

Bagi sesetengah pemain yang mengharapkan kebebasan mutlak dalam membentuk jalan cerita, ini mungkin kedengaran seperti satu kekurangan. Namun, dari sudut pandang yang berbeza, pendekatan ini adalah satu keputusan reka bentuk yang bijak. Ia membolehkan penulis skrip menyampaikan sebuah cerita yang benar-benar kukuh, teratur, dan berimpak tinggi, berbanding cuba menghasilkan pelbagai cabang cerita yang mungkin berakhir dengan naratif yang yang tidak memuaskan.
Di saat industri hiburan sering dibelenggu dengan isu “superhero fatigue” atau kelesuan terhadap lambakan produk adiwira, Dispatch berjaya tampil dengan nafas baharu. Walaupun kesemua watak dalam permainan ini adalah watak asli yang tidak saya kenali sebelum ini, saya menjadi mudah untuk terikat secara emosi dengan perjuangan dan personaliti mereka seawal jam pertama permainan.

Salah satu faktor terbesar yang menyumbang kepada keberkesanan watak-watak ini adalah barisan pelakon suara yang luar biasa. Robert dijayakan oleh Aaron Paul, manakala watak Invisigal dari Z-Team disuarakan oleh Laura Bailey yang turut disertai oleh nama-nama besar dari Critical Role lain seperti Travis Willingham dan Matthew Mercer. Watak Blonde Blazer pula digalas oleh Erin Yvette yang terkenal dengan lakonan hebat dalam siri-siri Telltale Games sebelum ini. Kesemua mereka memberikan persembahan kelas pertama yang menjadikan setiap dialog terasa hidup dan meyakinkan.
Dari segi visual, arah seni permainan ini sangat memukau dengan gaya yang menyerupai siri animasi lukisan tangan (hand-drawn). Reka bentuk dunia permainan kelihatan luas, manakala rekaan setiap wira dan penjahat mempunyai ciri-ciri unik yang membezakan mereka antara satu sama lain. Babak pertarungan juga dianimasikan dengan baik, disokong oleh Quick Time Events (QTE) yang boleh diaktifkan jika pemain mahukan lebih interaksi fizikal dalam penceritaan.

Secara keseluruhannya, Dispatch adalah sebuah permainan yang mementingkan kualiti penceritaan berbanding tatamain atau mekanik yang mendalam. Walaupun sesetengah pemain mungkin berpendapat bahawa struktur permainannya terlalu linear dan pilihan yang dibuat tidak memberi impak besar kepada pengakhiran, ia bukanlah satu kelemahan yang ketara bagi mereka yang menghargai naratif yang baik.
Keupayaan permainan ini untuk menyampaikan sebuah kisah yang ber-emosi, disokong oleh lakonan suara bertaraf tinggi dan gaya seni yang menarik, menjadikannya satu pengalaman yang berbaloi. Elemen permainan mini seperti pengurusan pasukan dan penggodaman hanyalah bonus tambahan kepada sebuah siri interaktif yang digarap dengan cemerlang. Bagi mereka yang mencari sebuah cerita superhero yang segar dan lari daripada kebiasaan, Dispatch adalah satu saranan yang mudah.


