Filem Wicked: for Good hadir sebagai sambungan langsung kepada filem Wicked yang ditayangkan pada tahun 2024. Di bawah arahan pengarah Jon M. Chu, filem ini meneruskan kisah dan perjalanan dua watak, Elphaba dan Glinda. Masih mengekalkan barisan pelakon utama seperti Cynthia Erivo sebagai Elphaba dan Ariana Grande sebagai Glinda, filem ini cuba merungkai konflik yang lebih besar di Land of Oz.

Secara peribadi, saya mempunyai harapan yang tinggi memandangkan filem pertamanya berjaya membina asas yang kukuh. Namun, setelah menontonnya, saya merasakan filem ini bergelut untuk mengekalkan momentum yang sama, terutamanya dari segi penceritaan dan perkembangan watak.

Penceritaan bermula sejurus selepas peristiwa dalam filem pertama. Fokus utama kali ini adalah misi Elphaba untuk mendedahkan kebenaran kepada penduduk Oz bahawa The Wizard (lakonan Jeff Goldblum) adalah seorang penipu yang tidak mempunyai sebarang kuasa magis. Dalam perjuangannya menentang The Wizard, Elphaba telah dilabel sebagai “Wicked Witch of the West”, manakala Glinda pula diangkat sebagai wajah rasmi Emerald City dan digelar “Glinda the Good”.

Walaupun mereka berada di dua pihak yang bertentangan, Glinda masih menyimpan harapan agar Elphaba dapat berdamai dengan The Wizard, memandangkan dia masih menganggap Elphaba sebagai satu-satunya sahabat sejatinya. Di sisi lain, The Wizard dengan bantuan Madame Morrible (lakonan Michelle Yeoh) melakukan pelbagai muslihat bukan sahaja untuk menggagalkan rancangan Elphaba, tetapi juga untuk memanipulasi persepsi rakyat tentang betapa ‘jahatnya’ Elphaba.

Secara teorinya, dinamik “kucing dan tikus” antara Elphaba dan The Wizard sepatutnya menjadi elemen yang menarik untuk diteroka. Namun, pada pandangan saya, pelaksanaannya tidak begitu kemas. Konflik ini terasa kurang impak dan membiarkan plot cerita tergantung serta menimbulkan banyak persoalan yang tidak terjawab dengan memuaskan.

Satu aspek yang agak mengganggu saya sepanjang menonton filem ini adalah aliran ceritanya yang terasa tidak tersusun. Filem ini cuba sedaya upaya untuk menghubungkan naratifnya dengan watak-watak ikonik dari kisah asal The Wizard of Oz seperti Dorothy, The Tin Man, Scarecrow, dan Cowardly Lion.

Walaupun agak menarik untuk melihat asal-usul watak-watak ini, penyertaan mereka terasa agak tergesa-gesa dan kurang menyengat. Seolah-olah filem ini terlalu sibuk mahu memasukkan semua elemen ini sehingga mengabaikan kelancaran cerita utama. Bagi saya, pengenalan watak-watak ini sepatutnya menjadi momen yang besar, tetapi ia berakhir dengan rasa yang agak hambar.

Kelemahan paling ketara dalam Wicked: for Good berbanding filem pertamanya adalah pada pembangunan watak Elphaba dan Glinda. Disebabkan plot yang terlalu padat dengan pelbagai konflik dan pengenalan watak sampingan, ruang untuk kedua-dua watak utama ini berkembang menjadi sangat terhad.

Hubungan persahabatan yang menjadi tunjang kekuatan filem pertama gagal digilap dengan baik dalam filem ini. Saya mendapati interaksi mereka kurang menyentuh emosi dan konflik dalaman mereka tidak diberi perhatian yang sewajarnya. Ini sedikit sebanyak menjejaskan keseluruhan rasa filem ini kerana saya sudah melaburkan emosi terhadap hubungan mereka sejak dari awal lagi.

Dari segi muzikal, lagu-lagu yang ditampilkan boleh dikatakan baik sahaja, namun tiada satu pun yang benar-benar melekat di ingatan atau memberikan impak seperti lagu-lagu dalam filem sebelumnya. Ia sekadar melengkapkan babak tetapi tidak mengangkat emosi babak tersebut ke tahap yang lebih tinggi.

Untuk rekaan set dan pembinaan dunia, saya harus memuji usaha pasukan produksi kerana persekitaran Oz masih kelihatan gah dan penuh fantasi. Walau bagaimanapun, saya berpendapat penggunaan warna dalam filem ini memerlukan lebih ‘punch’. Sebagai sebuah filem fantasi muzikal, tona warnanya kadangkala kelihatan agak rata dan kurang terang, sedangkan elemen visual sepatutnya memainkan peranan penting dalam menghidupkan suasana magis cerita ini.

Akhir kata, Wicked: for Good adalah sebuah filem yang mempunyai cita-cita besar tetapi tersandung dalam pelaksanaannya. Walaupun lakonan Cynthia Erivo dan Ariana Grande masih komited, skrip dan penyuntingan cerita tidak banyak membantu mereka untuk bersinar seperti sebelumnya. Bagi peminat tegar dunia Oz, mungkin ada kepuasan melihat kesinambungan cerita ini, tetapi bagi saya, ia adalah penutup yang agak mengecewakan berbanding permulaan yang cemerlang.

Wicked: For Good
Sebuah filem yang mempunyai cita-cita besar tetapi tersandung dalam pelaksanaannya. Walaupun lakonan Cynthia Erivo dan Ariana Grande masih komited, skrip dan penyuntingan cerita tidak banyak membantu mereka untuk bersinar seperti sebelumnya.
Positif
Rekaan set gah
Dunia fantasi menarik
Negatif
Plot tidak tersusun
Perkembangan watak lemah
Warna kurang bermaya
6

Leave a Reply

Final Score