Dalam pasaran PC mudah alih yang semakin kompetitif, ASUS sekali lagi mencuba nasib dengan kerjasama yang lebih mendalam bersama Microsoft melalui ROG Xbox Ally X. Peranti ini bukan sekadar penyegaran perkakasan; ia adalah satu usaha signifikan untuk merapatkan jurang antara PC Windows dan pengalaman konsol yang lancar. Sejarah di sebalik peranti ini menunjukkan cita-cita besar kedua-dua syarikat untuk menguasai pasaran handheld dengan menawarkan integrasi perisian Xbox yang lebih “native”, menjadikannya pesaing serius kepada peranti seperti Steam Deck, namun dengan ekosistem Windows yang terbuka.


Di atas kertas, ROG Xbox Ally X membawa peningkatan yang dialu-alukan berbanding pendahulunya. Antara spesifikasi penting termasuk:
- Pemproses: AMD Ryzen Z2 Extreme
- Memori (RAM): 24GB LPDDR5
- Storan: 1TB PCIe Gen4 SSD
- Skrin: 7-inci 1080p, 120Hz dengan sokongan VRR (Variable Refresh Rate)
- Bateri: 80Wh
- Harga: RM4,299
Dari segi prestasi, ROG Xbox Ally X berada di tahap yang baik untuk sebuah PC mudah alih. Apabila menguji judul-judul besar atau AAA seperti Cyberpunk 2077, Indiana Jones and the Great Circle, dan The Outer Worlds 2 pada tetapan tinggi, peranti ini mampu melepasi 30 FPS. Walau bagaimanapun, ia jarang mencecah 60 FPS secara konsisten. Untuk sebuah PC mudah alih, prestasi ini sudah cukup memadai dan boleh dimainkan dengan memuaskan, namun ia menuntut kompromi dari segi kelancaran visual yang bukan sesuatu yang saya gemar jika bermain permainan d PC.


Sebaliknya, peranti ini bersinar apabila memainkan judul yang lebih ringan. Permainan seperti Hollow Knight: Silksong dan Dispatch dapat dijalankan pada kadar bingkai maksimum tanpa sebarang masalah. Secara peribadi, permainan indie atau skala kecil seperti Silksong adalah jenis permainan yang paling sesuai untuk dimainkan di PC mudah alih termasuk juga ROG Xbox Ally X.
Ketahanan bateri adalah lebih baik berbanding model ROG Ally X yang terdahulu, namun perbezaannya tidaklah begitu drastik sehingga ia menyelesaikan masalah sepenuhnya. Secara purata, anda boleh menjangkakan sekitar 2 jam 30 minit masa bermain, atau sedikit lebih lama untuk permainan yang kurang memerlukan kuasa. Walaupun ini adalah peningkatan, sesi permainan masih terasa agak pendek sebelum anda perlu mencari palam kuasa.


Malah, saya sering menggunakannya dalam keadaan bersambung ke pengecas kerana prestasi permainan cenderung lebih stabil dan lancar dengan kuasa terus dan tidak perlu risau dengan keadaa bateri. Namun, penggunaan sebegini sedikit sebanyak menewaskan tujuan asal ia dicipta sebagai PC mudah alih.
ROG Xbox Ally X hadir dengan janji pengalaman PC mudah alih yang lebih baik melalui aplikasi Xbox terkini di PC. Ia kini beroperasi dalam mod skrin penuh, membolehkan kebanyakan tugas berkaitan permainan dilakukan terus melaluinya tanpa perlu kembali ke Desktop Windows. Ini adalah langkah yang baik, namun pelaksanaannya masih belum sempurna.
Pengalaman masih agak janggal terutama apabila saya beralih kepada pelancar lain seperti Steam. Kawalan ataupun shortcut di Steam terasa sangat berbeza berbanding aplikasi Xbox, mewujudkan rasa ketidakselarasan. Walaupun kedua-duanya berjalan di atas satu peranti, ia terasa seperti dua aplikasi yang asing. Ini menimbulkan kekeliruan, terutamanya apabila butang kawalan tidak bertindak balas dengan cara yang sama di antara aplikasi atau permainan yang berbeza. Ini membuatkan saya lebih gemar untuk mengawalnya secara skrin sesentuh. Walaupun terdapat peningkatan pengalaman pengguna, peranti ini masih dibebani oleh Windows yang menjalankan banyak proses latar belakang yang tidak perlu. Gelaran “Xbox” pada nama peranti ini masih belum cukup untuk menjamin pengalaman seperti konsol sebenar selagi Microsoft tidak memperkemaskan sistem operasi ini sepenuhnya.


Dari segi rekaan, ROG Xbox Ally X adalah jauh lebih baik berbanding ROG Ally yang asal. Walaupun saiznya sedikit lebih besar, penambahan cengkaman yang lebih ergonomik menjadikan peranti ini sangat selesa dipegang dan tidak terasa kekok. Kualiti butang juga terasa lebih baik.
Namun, susun atur butang tetapan agak membingungkan. Terdapat dua butang dengan ikon “tiga garisan” di bahagian kanan, dan sering kali saya keliru yang mana satu berfungsi untuk apa. Selain itu, model ini menambah butang khas Xbox untuk mengakses sesuatu pantas ataupun menukar aplikasi, tetapi saya berpendapat ia sepatutnya menggantikan salah satu butang sedia ada, bukannya ditambah. Kini, terdapat terlalu banyak butang tetapan, tetapi ironinya, tiada satu pun butang khusus untuk tangkapan layar, satu ciri yang sangat saya saya rasa sudah menjadi kebiasaan untuk sebuah ‘konsol’.


Jika anda mengharapkan ROG Xbox Ally X untuk memberikan pengalaman PC mudah alih yang lebih baik, anda akan mendapatkannya. Namun, ini bukanlah semata-mata kerana jenama “ROG Xbox”, tetapi lebih kepada versi terbaru aplikasi Xbox yang akhirnya akan tiba ke peranti PC mudah alih yang lain juga. Pengalaman skrin penuh tersebut malah boleh digunakan dengan Armoury Crate oleh ASUS yang menyokong model ROG Ally lama.
Oleh itu, jika anda sedang mencari PC mudah alih pertama anda, ROG Xbox Ally X adalah antara pilihan terbaik di pasaran ketika ini. Namun, jika anda sudah memiliki PC mudah alih lain, saya tidak melihat keperluan mendesak untuk menaik taraf. Ini juga bagi saya adalah masalah yang perlu difikirkan oleh semua pengeluar, jika mereka mahu mencipta pengalaman ‘konsol’, mengeluarkan versi baharu setiap beberapa tahun mungkin bukan strategi yang paling berkesan, sesuatu yang sudah disedari oleh Valve melalui penawaran Steam Deck mereka.


