Bagi penawaran untuk permainan simulasi bola sepak oleh EA untuk tahun ini iaitu EA Sports FC 26 jelas memperlihatkan usaha mereka untuk memperkukuh tatamain teras sambil memperkenalkan ciri taktikal yang lebih pelbagai. Secara keseluruhan, permainan ini menawarkan pengalaman di atas padang yang lebih baik berbanding beberapa edisi lalu, namun beberapa penawaran masih lagi terasa tidak boleh dihargai oleh setiap pemain yang berbeza.

Perubahan paling ketara boleh dilihat melalui tatamain asasnya. Dribbling menggunakan left-stick kini terasa jauh lebih responsif dan stabil, membuatkan pergerakan lebih tepat dan mudah dikawal walaupun dalam ruang sempit. Hantaran pula lebih tajam dan kurang kesilapan teknikal, manakala rembatan terasa lebih berat dan memuaskan. Dalam masa yang sama, penjaga gol menunjukkan peningkatan ketara, dengan posisi yang lebih matang dan tindak balas yang tidak lagi melepaskan bola ke kawasan-kawasan berbahaya seperti dalam edisi sebelum ini. Penambahbaikan kecil seperti kemasukan semula teknik low-driven shot turut memberikan pemain lebih variasi ketika melakukan penyudah.

FC 26 juga memperkenalkan dua gaya gameplay baharu yang mengubah sepenuhnya cara pemain menikmati permainan ini. Authentic Mode memberikan pengalaman simulasi bola sepak yang lebih perlahan, lebih strategi dan realistik, sesuai bagi mereka yang bermain secara offline terutamanya dalam Career Mode. Sebaliknya, Competitive Mode direka khusus untuk permainan dalam talian seperti Ultimate Team dengan tempo yang lebih pantas serta aksi yang lebih agresif. Walaupun sudah dilancarkan untuk beberapa bulan, saya boleh katakan yang EA masih tidak menjumpai tatamain yang seimbang bagi mod ini, ada masa ia terasa sukar untuk bertahan, atau terlalu sukar untuk menyerang, EA sudah mengeluarkan beberapa kemaskini termasuk juga ada menariknya semula. Kekurangan keseimbangan ini membawa kepada beberapa sesi permainan terasa menjengkelkan.

Mod Ultimate Team telah menerima beberapa penambahbaikan seperti kepulangan Tournaments, pengenalan Gauntlet Mode, sistem Challengers untuk pemain divisyen rendah, ia memberikan lebih banyak aktiviti untuk dilakukan di dalam mod ini, tetapi mungkin kerana memperkenalkan lebih banyak mod baharu, ganjaran untuk sesuatu mod itu terasa kurang menarik. Jika ingin ganjaran terbaik saya perlu bermain kesemua mod yang ada, dan jika saya hanya memfokuskan satu atau dua mod utama sahaja, saya akan ketinggalan di dalam penerimaan pemain-pemain baharu, melainkan saya berbelanja. Perubahan sistem chemistry juga adalah baik dengan tidak terlalu menghukum jika saya ingin menggunakan pemain yang tidak mendapat chemistry yang penuh, ia juga bagus kerana ada beberapa mod yang memerlukan saya untuk menggunakan skuad-skuad yang berbeza.

Satu lagi rungutan mengenai ganjaran adalah Season Pass yang kini mempunyai percuma dan juga berbayar, yang bagi saya bukanlah satu masalah. Bagi saya masalah lebih kepada bagaimana satu Season Pass adalah untuk kesemua mod yang ada di dalam permainan ini. Jika pemain yang bermain satu mod sahaja tidak kira Ultimate Team ataupun Career Mode, mereka akan terasa kerugian kerana mendapat barangan-barangan yang tidak boleh digunakan, tambahan lagi jika membeli Season Pass tersebut. Saya merasakan ia sepatutnya diberi pilihan jika ingin mendapatkan ganjaran berdasarkan mana-mana mod yang ada.

Bagi saya, Career Mode peningkatan paling memuaskan tahun ini. Manager Live Challenges membawa cabaran dunia sebenar kepada pemain dan membolehkan mereka melalui senario yang lebih dramatik seperti mengelakkan penyingkiran atau memburu treble. Ciri baharu Manager Market pula menjadikan AI pengurus lebih hidup, di mana mereka kini boleh dipecat, berpindah ke kelab lain, atau bersara, sekaligus mengubah gaya permainan dan prestasi pasukan lawan dari musim ke musim. Dalam Player Career, sistem Archetype baharu menawarkan lebih kebebasan untuk membentuk watak berdasarkan gaya pemain sebenar, manakala sistem perpindahan kini lebih dinamik dengan campur tangan lembaga kelab dan tindakan pemain yang boleh mendesak perpindahan melalui media tetapi adakah ia realistik? Bagi saya masih terasa terlalu arked dan tidak boleh dianggap sebagai permainan simulasi pengurusan.

Mod Clubs turut menerima perubahan besar dengan pengenalan Archetype, sistem atribut baharu tanpa skill tree, serta kemampuan untuk menyertai sehingga tiga kelab pada masa yang sama. Walaupun banyak perubahan ini yang bagi saya adalah baik, akan tetapi kewujudan elemen mikrotransaksi baharu sedikit merosakkan keseimbangan permainan serta memaksa pemain untuk berbelanja bagi bersaing secara kompetitif. Tambahan pada itu, seperti rungutan saya sebelum ini, mod ini masih lagi mengharapkan saya untuk mempunyai rakan untuk bermain bersama, jika tidak ia bukan satu pengalaman yang terbaik.

Akhir kata FC 26 adalah permainan yang mempunyai asas tatamain yang kukuh dan peningkatan AI secara keseluruhan, namun bagi bermain secara kompetitif, EA masih mencari keseimbangan untuk tatamain yang buat masa ini masih lagi terasa kurang baik dan sering memberikan sesi permainan yang menjengkelkan. Mod-mod lain seperti Career Mode dan Clubs menerima penambahan yang positif tetapi tidak menyelesaikan masalah-masalah lama yang masih membuatkan ia bukan satu mod yang menjadi fokus oleh EA.

EA Sports FC 26
Tatamain terasa lebih baik berbanding permainan-permainan sebelum ini, setiap mod menerima penambahan yang positif tetapi masih mempunyai masalah lama, Ultimate Team dengan keseimbangan serangan dan pertahanan, Career serta Clubs masih tidak menyelesaikan masalah lama seperti simulasi dan juga matchmaking.
Positif
Ultimate Team menerima pelbagai mod baharu
Tatamain terasa lebih baik
Negatif
Ganjaran terasa kurang menarik
Keseimbangan serangan dan pertahanan untuk sesi permainan kompetitf masih kurang
7

Leave a Reply

Final Score