Minggu ini merupakan satu lagi minggu yang meriah untuk peminat permainan video. Pelbagai judul daripada pelbagai genre telah dilancarkan, daripada aksi menembak sehinggalah ke pengembaraan dunia terbuka. Jika anda sedang mencari sesuatu yang baharu untuk dimainkan, berikut merupakan 5 permainan menarik yang dilancarkan sepanjang minggu ini.
Call of Duty: Black Ops 7
Platform: PlayStation 5, Xbox Series, PC
Francais FPS gergasi ini kembali. Dibangunkan oleh Treyarch dan Raven Software, Black Ops 7 meneruskan tradisi siri ini dengan kempen yang akan diteruskan dengan mod kempen co-op, Endgame. Seperti biasa, permainan ini juga mementingkan mod-mod Multiplayer yang ada dan mod Zombies yang mempunyai ikutan tersendiri kembali dengan pelbagai penambah-baikkan dan peta baharu.
Where Winds Meet
Platform: PlayStation 5, PC
Where Winds Meet oleh Everstone Studio merupakan permainan aksi pengembaraan dunia terbuka dalam talian yang membawa pemain ke era kuno China dengan seni mempertahankan diri Wuxia menjadi fokus utama. Permainan percuma untuk dimainkan ini memberi peluang kepada pemain untuk bebas meneroka, mempelajari pelbagai kemahiran pertempuran, dan menentukan laluan sendiri sebagai seorang pahlawan dalam dunia yang luas. Permainan ini sudah dilancarkan di China untuk PC dan juga telefon pintar.
Inazuma Eleven: Victory Road
Platform: PlayStation, Xbox Series, Nintedo Switch, PC, iOS, Android
Setelah lama dinantikan, Level-5 akhirnya melancarkan permainan mengumpul watak dan RPG bola sepak. Victory Road kembali ke akar umbi siri ini yang menggabungkan aksi arked bola sepak dengan elemen RPG taktikal. Pemain boleh mengikuti mod cerita baharu atau fokus membina pasukan tersendiri dengan mengumpul ribuan pemain daripada sejarah siri Inazuma Eleven dalam mod “Chronicle”.
Pigeon Simulator
Platform: PlayStation 5, Xbox Series, PC
Memasang impian untuk menjadi seekor burung merpati, Pigeon Simulator hadir untuk merealisasikan impian tersebut. Seperti judulnya, permainan ini meletakkan pemain sebagai seekor burung merpati di sebuah bandar. Misi anda? Menjadi merpati yang paling nakal. Cipta huru-hara, ganggu manusia, dan terokai bandar dari perspektif seekor burung dalam permainan sandbox yang berasaskan fizik.
Winter Burrow
Platform: Xbox Series, Nintendo Switch, PC
Satu genre yang menjadi semakin popular adalah permainan yang memberi pengalaman cozy, Winter Burrow ialah permainan survival/kraf di keadaan yang merbahaya, akan tetapi pada masa yang sama ia membawa tatamain yang menenangkan. Anda bermain sebagai seekor tikus kecil yang perlu membina sarang yang selesa untuk menghadapi musim sejuk. Anda perlu mencari sumber, menguruskan inventori, dan menghias sarang dengan gaya seni seperti dilukis dengan tangan.


