Apple telah melancarkan generasi terbaru iPhone mereka pada 19 September lepas dan saya telah menjadikan iPhone 17 Pro Max sebagai telefon utama untuk beberapa minggu, beralih daripada iPhone 16 Pro sebelum ini saya boleh katakan perbezaan adalah ketara kerana saiz skrin dan ketahanan bateri, tambahan pada itu model kali ini membawa perubahan rekaan yang menjadikan ia lebih unik jika ingin dibandingkan dengan model-model lepas, tetapi pada masa yang sama terus kekal menjadi telefon terbaik untuk bermain permainan mudah alih dan telefon terbaik untuk pilihan-pilihan iPhone yang ada.

Paparan6.9-inci LTPO Super Retina XDR OLED (2868 x 1320), 120Hz (ProMotion)
CipApple A19 Pro
Storan256GB/512GB/1TB/2TB
HargaRM5,999/RM6,999/RM7,999/RM9,999

Perkara pertama yang saya ingin perkatakan adalah Apple telah memilih untuk kembali menggunakan aluminum berbanding titanium yang menurut mereka, membolehkan sistem penyebaran haba yang lebih baik dan juga memberi peluang kepada mereka untuk hadir dengan warna-warna yang lebih menarik. Perubahan bahan binaan ini bagi saya tidak menambah-baik atau mengurangkan pengalaman saya menggunakannya, jika ada, ia terlalu kecil untuk saya perasan.

Saya sebaliknya lebih menghargai yang iPhone 17 Pro Max ini dihasilkan dengan lebih melengkung di bahagian sisi, walaupun perbezaan skrin berbanding iPhone 16 Pro yang telah menjadi kebiasaan kepada saya sebelum ini, ia masih menjadikan telefon mudah untuk dipegang dan dikendalikan, walaupun dengan sebelah tangan dan peralihan tidak terasa terlalu janggal. Saya juga merasakan yang ia akan memberi kesan positif untuk pengguna yang beralih daripada iPhone 16 Pro Max. Rekaan baharu, terutama rekaan bahagian belakang juga memberikannya satu keunikan visual yang membezakannya daripada model-model iPhone yang lain.

Bercakap mengenai paparan, iPhone 17 Pro Max hadir dengan skrin 6.9-inci, saiz yang sama dengan generasi sebelum ini tetapi ia kini boleh mencapai kecerahan puncak sehingga 3,000 nits, menjadikannya sangat terang dan membolehkan ia digunakan di apa-apa sahaja keadaan walaupun semasa berada di luar dan bawah matahari yang terang. Tambahan pada itu, ia kini mempunyai salutan anti-pantulan (anti-reflective) baharu yang benar-benar membantu mengurangkan silau semasa penggunaan di luar rumah ataupun di bawah lampu.

Menggunakan cip A19 Pro dengan mudah boleh katakan iPhone 17 Pro Max memberikan prestasi terbaik untuk iPhone yang secara langsungnya memberikan pengalaman terbaik untuk bermain permainan mudah alih. Seperti iPhone 16 Pro sebelum ini, saya dapat memainkan permainan HoYoverse seperti Genshin Impact, Honkai Star Rail dan Zenless Zone Zero dengan tetapan tertinggi tanpa sebarang masalah tidak kira lag ataupun stutter. Begitu juga untuk permainan-permainan popular lain seperti Mobile Legends: Bang Bang, Honor of Kings dan PUBG Mobile.

Bagi permainan AAA yang lebih berat seperti Assassin’s Creed Mirage, peningkatannya lebih kelihatan berbanding iPhone 16 Pro. Saya dapat menjalankan permainan ini pada tetapan ‘High’ dengan skala resolusi sebanyak 70% untuk mendapatkan kadar bingkai 30FPS yang stabil (permainan ini dihadkan kepada 30FPS). Sebagai perbandingan, di iPhone 16 Pro saya biasanya memilih skala resolusi 55-60% untuk mendapat kelancaran yang lebih kurang sama. Sedikit mengecewakan ia masih tidak boleh menggunakan 100%, yang saya ada cuba, untuk sesetengah bahagian ia boleh menjalankannya tanpa masalah tetapi apabila memasuki kawasan yang lebih berat, ia sangat menjejaskan kelancaran, dan ada masa memberi kesan kepada input permainan.

Selain menggunakan aluminum, iPhone 17 Pro Max juga menyertakan vapor chamber yang memberikan pengurusan haba yang baik, semasa bermain permainan mudah alih seperti permainan HoYoverse, Mobile Legends: Bang Bang, Honor of Kings ataupun PUBG Mobile, saya tidak mempunyai masalah untuk isu kepanasan, ia akan terasa suam tetapi tidak terlalu bermasalah walaupun untuk sesi permainan yang lama, saya juga boleh memainkannya sambil mengecas walaupun saya tidak mencadangkannya untuk kesihatan bateri.

Sedikit berbeza apabila bermain permainan berat seperti Assassin’s Creed Mirage untuk tempoh masa yang lama, bahagian belakang peranti ini masih terasa panas. Ia tidak sampai ke tahap terlalu panas sehingga tidak boleh dipegang akan tetapi cukup untuk membuatkan pegangan kurang selesa. Tambahan lagi di bahagian kamera yang menjadi tempat utama untuk segala komponen dalaman. Oleh itu, apabila bermain permainan seperti ini saya memilih untuk memakai selongsong ataupun menggunakan alat kawalan agar dapat memberi sesi permainan yang lebih selesa.

Seterusnya, saya juga boleh katakan hadir daripada iPhone 16 Pro ke versi ‘Max’ ini, perbezaan ketahanan bateri sangat jelas, dan ia turut lebih baik jika dibandingkan dengan versi Max untuk generasi lepas dengan cip A19 Pro yang menggunakan kuasa dengan lebih efficient. Bagi kegunaan harian dengan bermain permainan mudah alih dihadkan kepada satu jam atau dua jam sehari, bateri boleh bertahan seharian penuh dan boleh digunakan untuk hari seterusnya sehingga tengah hari sebelum memerlukan pengecasan baharu, lebih lama jika anda tidak langsung melakukan aktiviti-aktiviti berat dan hadkan-nya kepada aktiviti umum sahaja.

Jika ia digunakan dengan lebih berat, terutamanya jika saya banyak bermain permainan mudah alih, atau merakam video, ia masih boleh bertahan seharian penuh. Saya hanya perlu mengecasnya pada waktu malam sebelum memulakan hari baharu. Manakala untuk menonton kandungan video seperti Netflix ataupun YouTube, saya boleh menonton dua filem penuh dengan bateri hanya berkurangan 15 ataupun 20% sahaja, dan itu pun kerana saya masih menerima notifikasi dan melakukan aktiviti sampingan lain. Apabila saya mencubanya untuk menonton filem secara berterusan selama 5-6 jam semasa membuka “flight mode”, ia menggunakan bateri sekitar 10% sahaja yang bagi saya sangat baik jika anda berada di satu penerbangan jarak jauh.

Akhir kata, menggunakan cip terbaik untuk iPhone setakat ini, iPhone 17 Pro Max akan memberikan prestasi terbaik untuk bermain permainan mudah alih dengan tetapan tertinggi tanpa sebarang masalah manakala untuk permainan AAA seperti Assassin’s Creed Mirage ia boleh dimainkan dengan grafik yang lebih baik berbanding iPhone 16 Pro. Ini ditambah lagi dengan iPhone 17 Pro Max juga mempunyai kecerahan yang lebih tinggi serta salutan anti-pantulan yang membolehkan ia digunakan dengan baik di keadaan-keadaan yang ‘tidak optimum’. Peralihan daripada titanium kepada aluminum, tidak memberi kelainan yang ketara tetapi rekaan yang lebih melengkung memberikan pengalaman penggunaan yang lebih selesa terutama penggunaan sebelah tangan walaupun saya beralih daripada iPhone yang lebih kecil. Jika anda inginkan iPhone terbaik di pasaran dan juga peranti terbaik untuk bermain permainan mudah alih, iPhone 17 Pro Max adalah pilihan yang tepat.

Leave a Reply