G2 telah mengumumkan “Red Aura”, satu siri komik digital yang memfokuskan kepada perjuangan G2 tetapi dengan gaya dan penceritaan aksi fantasi. Penawaran terbaru ini adalah bersempena sambutan ulang tahun ke-10 organisasi itu.

Siri ini dibangunkan dengan kerjasama Pengarah Seni terkenal dari Jepun, Runbel, dan studio KISAI Entertainment. Studio tersebut sebelum ini dikenali melalui hasil kerja mereka dalam mengadaptasi komik digital popular seperti AVATAR: The Last Airbender dan The Beginning After the End.

“Red Aura” mengisahkan perjalanan epik para wira yang keazamannya mencerminkan kisah G2 sendiri, satu dekad yang penuh dengan cita-cita, cabaran, dan kejayaan. Berlatarkan dunia nomad ajaib, pembaca akan mengikuti kisah Asa, seorang gadis muda yang berani mengimpikan untuk menjadi Nomad terhebat. Setiap babak cerita diilhamkan daripada sebahagian legasi G2, menggabungkan aksi pantas, tema yang menyentuh hati, dan unsur jenaka.

Sabrina Ratih, COO G2, menyifatkan projek ini sebagai cerminan nilai G2 yang sentiasa mengejar kecemerlangan. “Kami melihat ini sebagai langkah seterusnya dalam evolusi G2 menjadi sebuah organisasi hiburan. Dengan Red Aura, kami telah mencipta sebuah kisah yang boleh dinikmati oleh sesiapa sahaja, sama ada mereka peminat esukan atau tidak,” katanya.

Lima episod pertama “Red Aura” sudah diterbitkan di Jepun melalui platform LINE MANGA yang dimiliki oleh WEBTOON. Ia akan dilancarkan secara global dalam bahasa Inggeris di platform WEBTOON pada tarikh yang akan diumumkan kelak, dengan lebih 40 episod dirancang untuk musim pertama.

Leave a Reply