Malam Terlarang merupakan filem seram baharu yang diarahkan oleh Nurhanisham Muhammad, yang juga merupakan filem pertama beliau. Walaupun filem pertama, tetapi saya boleh katakan yang Nurhanisham melakukan satu hasil kerja yang boleh dibanggakan. Malam Terlarang membawa satu pengalaman seram yang memuaskan, penceritaan menarik dan lakonan-lakonan berkualiti. Kesemua ini hadir dengan penyampaian yang terasa segar dan ‘bergaya’.

Filem ini memfokuskan kepada satu keluarga empat beranak, iaitu Omar lakonan Zul Ariffin bersama Sarimah lakonan Sofia Jane yang merupakan ibu bapa kepada dua anak perempuan iaitu Safar lakonan Aila Azizul dan Mawar lakonan Shasha Abedul. Omar merupakan seorang yang bercita-cita untuk pergi lebih jauh di dalam dunia politiknya sehingga mengaibkan tanggungjawabnya sebagai bapa, manakala Sarimah pula mengalami kecacatan yang menyebabkan dia perlu dijaga oleh dua anaknya.
Keadaan menjadi huru hara apabila Safar didapati terbunuh, polis mendakwa yang ia adalah satu kemalangan akan tetapi ia satu kenyataan yang tidak dipersetujui oleh Mawar dan bertekad untuk melakukan siasatan tersendiri. Semasa melakukan siasatan inilah dia mula menerima pelbagai gangguan, termasuk juga daripada ‘roh’ Safar tersendiri. Terus cekal di dalam melakukan siasatan, Mawar mula menjumpai pelbagai rahsia-rahsia gelap yang berkait dengan keluarganya.

Sebagai satu filem seram, Malam Terlarang memberikannya dengan baik akan tetapi bukan dengan cara yang saya suka. Saya merasakan bahagian-bahagian seram terasa dibina secara khusus berbanding diselitkan di dalam penceritaan. Ia bagaikan setiap adegan dihasilkan sebagai satu rumah hantu yang tujuannya adalah untuk menakutkan saya sebagai penonton sahaja. Ia ada sedikit membantu di dalam penyampaian penceritaan tetapi kecil sahaja, saya boleh katakan yang jika dibuang setiap bahagian-bahagian yang seram ataupun mengejutkan saya masih lagi faham dengan apa yang sedang berlaku di dalam filem ini.
Ia bukanlah sesuatu yang baharu dan sering digunakan oleh filem-filem seram yang lain, dan saya juga merasakan ramai peminat-peminat filem seram menyukainya dan hanya pentingkan jika adegan tersebut memberi perasaan takut yang menjadi, yang bagi saya ia benar untuk filem ini tetapi saya lebih menyukai jika adegan-adegan seram tidak terasa terlalu terasing dengan bahagian penceritaan yang lain.

Walaupun begitu, saya masih menyukai adegan-adegan ini kerana ia disampaikan dengan menarik, Nurhanisham yang sebelum ini berpengalaman sebagai cinematographer dan juga bertanggungjawab untuknya bagi filem ini bersama sebagai pengarah membuatkan filem ini kelihatan menarik dan terasa segar untuk satu filem seram. Sedikit rungutan mungkin ada bahagian yang kelihatan terlalu ‘terang’ untuk filem seram, yang membuatkan adegan tersebut terasa sedikit janggal.
Bagi penceritaan, saya boleh katakan ia mempunyai satu jalan penceritaan yang bercabang dan menarik, terdapat beberapa bahagian yang disampaikan dengan baik dan setiap daripadanya adalah penting, ada kisah mengenai perhubungan keluarga, ada kisah mengenai politik dan ada kisah mengenai cemburu dan ketamakan manusia. Namun, oleh kerana terdapat terlalu banyak cabang, saya merasakan ia sedikit menjejaskan penyampaian dengan sesetengah bahagian terasa tidak dikembangkan dengan sepenuhnya sebelum terpaksa beralih ke bahagian yang lain.

Bagi lakonan, saya sangat berpuas hati, setiap pelakon membawa watak mereka dengan baik, akan tetapi ada beberapa watak seperti Omar sendiri yang bagi saya tidak dikembangkan dengan baik dan wataknya kelihatan sekadar mengikut keadaan semasa sahaja. Apabila dia mempunyai keraguan, ia biasanya berlaku untuk jangka masa pendek sahaja sebelum keraguan tersebut terus dipadamkan tanpa sebarang sambungan selepas itu yang bagi saya menjejaskan perkembangan watak.
Akhir kata, Malam Terlarang satu filem seram yang berkesan di dalam menyampaikan perkara-perkara yang mengejutkan, ataupun misteri yang hadir, ini diperkuatkan lagi dengan penceritaan yang menarik dan mudah untuk diikuti walaupun ia cuba melakukan terlalu banyak perkara pada satu masa membuatkan sesetengah bahagian tidak dikembangkan dengan baik. Begitu juga dengan watak yang disampaikan dengan berkualiti tetapi ada watak yang tidak dikembangkan dengan menarik. Keseluruhannya, ia masih satu filem seram yang memuaskan untuk ditonton oleh peminat-peminat genre ini.


