Marvel Zombies mempunyai banyak perkara yang saya boleh puji tetapi sangat mengecewakan di dalam satu bahagian penting, dan mengganggu pengalaman tontonan. Siri mini di Disney+ ini sudah disiarkan pada 24 September lepas dan mengandungi empat episod dengan setiap episod lebih kurang 25 minit, yang boleh dikatakan seperti mana-mana siri animasi yang lain. Siri ini memfokuskan kepada jalur masa alternatif yang diperkenalkan di dalam episod “What If…Zombies?!” dalam musim pertama What If…?. Pada waktu ini, kebanyakan manusia sudah menjadi zombi termasuk juga beberapa adiwira dan anggota Avengers.

Siri ini bermula dengan Kamala Khan, Riri Williams, Kate Bishop dan F.R.I.D.A.Y hidup bersama dan masih terselamat daripada ancaman zombi. Semasa mereka mencari bekalan di bandar, mereka telah terjumpa satu alat yang dimiliki oleh S.H.I.E.L.D. Mereka mendapati yang alat itu merupakan alat perhubungan untuk menghubungi Nova Corps. Mereka membuat keputusan untuk mengembara ke tempat S.H.I.E.L.D di Ohio dan perjalanan tersebut memaksa mereka melalui pelbagai halangan dan bahaya, selain bertemu dengan zombi adiwira yang diketuai oleh Wanda Maximoff, mereka juga bertemu rakan seperti Blade Knight, Yelena Belova, dan Shang-Chi.

Perkara yang baik saya boleh katakan untuk siri ini adalah kualiti animasi dan gaya yang digunakan adalah baik, adegan pertempuran juga dilakukan dengan memuaskan. Tambahan lagi dengan ramai adiwira disertakan dan bukan semua adalah baik, melihat Captain America menjadi zombi ataupun Blade Knight yang kini menjadi avatar untuk Khonshu adalah satu perkara yang mengujakan. Saya sentiasa menanti-nanti siapa yang akan diperlihatkan seterusnya dan juga menanti adegan pertempuran yang berikutnya. Di dalam empat episod ini, ia memberikan adegan ini yang memuaskan.

Walaupun tidak semua, tetapi kebanyakan watak utama juga menerima lakonan suara oleh pelakon asal seperti Iman Vellani menyuarakan Kamala Khan, Dominique Thorne untuk Riri Williams, Hailee Steinfeld untuk Kate Bishop dan Florence Pugh untuk Yelena Belova. Oleh itu, ia benar-benar memberikan perasaan yang sama seperti menonton filem-filem MCU walaupun siri ini berlaku di luar jalur masa untuk siri filem. Tidak mengejutkan, mereka juga melakukan satu kerja yang baik di dalam membawa watak-watak ini walaupun secara animasi ataupun lakonan suara sahaja.

Seperkara yang saya boleh katakan kekurangan untuk siri ini, dan ia merupakan satu bahagian besar iaitu penceritaan. Siri ini bermula dengan menarik, akan tetapi dengan setiap penambahan episod, semakin jelas arahan penceritaan yang ingin dilakukan dan ia tidak menarik, dan pengakhiran siri ini benar-benar membuatkan bahagian-bahagian lain terasa membazir masa ataupun tidak memberikan apa-apa kesan untuk penceritaan secara umum. Ia mungkin untuk membina musim kedua, tetapi cara ia dilakukan tidak membantu untuk musim ini. Pengakhiran yang digunakan adalah baik untuk pengakhiran episod, tetapi bukan untuk musim.

Akhir kata, Marvel Zombies mempunyai animasi dan juga lakonan suara yang memuaskan, dan untuk beberapa bahagian ia satu tontonan yang mengasyikkan akan tetapi penceritaan yang mungkin dibina untuk musim kedua terasa kurang menarik dan membuatkan sepanjang musim ini hanya satu pembaziran masa sahaja. Ia boleh diterima jika dijadikan seperti satu episod di dalam What If…? tetapi tidak bersesuaian untuk dijadikan sebagai penceritaan ataupun pengakhiran untuk satu siri tersendiri.

Marvel Zombies
Animasi dan lakonan suara yang baik tidak dapat membantu di dalam penyampaian penceritaan yang kurang menarik dan pengakhiran yang lebih kepada membina musim seterusnya berbanding memberi satu penceritaan yang memuaskan secara segera.
Positif
Kualiti animasi
Lakonan suara memuaskan
Negatif
Penceritaan kurang menarik
7

Leave a Reply

Final Score