Samsung melalui telefon siri Galaxy Z Fold ingin menyelesaikan satu masalah, iaitu memberikan paparan yang lebih besar tanpa mengorbankan kemudah-alihan itu sendiri, untuk beberapa generasi yang lepas, boleh dikatakan sudah berjaya tetapi sentiasa ada pengorbanan, akan tetapi melalui Galaxy Z Fold7 saya boleh katakan yang pengorbanan tersebut sudah dikurangkan atau dibuang sepenuhnya menjadikan generasi kali ini telah menyelesaikan beberapa masalah yang hadir sebelum ini bagi penawaran telefon boleh lipat tetapi masih ada beberapa rungutan yang mungkin tidak menjadi keutamaan lagi untuk Samsung.

Sebelum saya bercakap lanjut mengenai perkara tersebut, terlebih dahulu saya ingin kongsikan beberapa spesifikasi penting bagi Samsung Galaxy Z Fold7:

Paparan (Luar)6.5-inci, 1080 x 2520, LTPO AMOLED 2X, 120Hz
Paparan (Dalam)8.0-inci, 1968 x 2184. LTPO AMOLED 2X, 120Hz
Cip PemprosesanQualcomm Snapdragon 8 Elite
GPUAdreno 830
RAM12GB
Storan256GB
Batteri4,400mAh (25W pengecasan pantas)
HargaRM7,199

Masalah utama bagi saya menggunakan atau mencuba siri telefon Galaxy Z Fold sebelum ini adalah paparan luar atau depan, bukan paparan yang kebiasaan, ia biasanya terasa terlalu kecil ataupun dalam resolusi yang agak ganjil. Melalui pengenalan skrin bersaiz 6.5-inci, saya boleh katakan yang tanpa membuka lipatan telefon ini, ia akhirnya terasa seperti satu telefon pintar dan bukan sekadar satu skrin sampingan sahaja. Sepanjang saya menggunakan telefon ini, saya lebih banyak menggunakan skrin luar untuk melakukan tugasan umum, dan hanya menggunakan skrin dalam apabila ingin bermain permainan mudah alih atau menonton kandungan hiburan.

Skrin dalam juga dibesarkan lagi kepada 8.0-inci berbanding 7.6-inci sebelum ini. Satu tambahan yang kecil tetapi saya boleh merasainya impaknya, memberi pengalaman yang lebih baik semasa menggunakannya. Contohnya, semasa bermain permainan mudah alih, saya tidak merasakan butang di skrin mengganggu sesi permainan kerana masih banyak ruang untuk memperlihatkan permainan itu sendiri. Bagi menonton kandungan hiburan pula, saya boleh katakan tidak sentiasa mendapat pengalaman terbaik kerana aspect ratio bagi skrin dalam ini tidaklah mengikut kebiasaan oleh itu akan ada banyak kandungan mempunyai letterbox, ia sedikit mengganggu pengalaman saya menonton dan terasa banyak bahagian skrin yang terbazir.

Jika bercakap mengenai kualiti skrin, saya tiada rungutan, tidak kira skrin luar ataupun dalam, ia masih antara skrin terbaik yang terdapat di telefon pintar. Setiap warna di pamerkan dengan jitu, ditambah lagi dengan penuras yang digunakan oleh Samsung memberikan warna yang lebih terang (boleh ditutup jika tidak menyukainya). Kadar segar semula tidak menjadi masalah dan kedua-dua skrin memberikan kecerahan yang memuaskan terutama skrin dalam.

Walaupun kedua-dua skrin dibesarkan, akan tetapi rekaan Galaxy Z Fold7 tidak menggambarkan perkara tersebut, kerana badannya lebih nipis tidak kira semasa dilipat ataupun dibuka. Ini membantu di dalam memastikan semasa dilipat, ia terasa seperti satu telefon biasa sahaja di dalam kocek, walaupun membawa skrin sebesar 8.0-inci. Ia juga lebih memudahkan untuk penggunaan telefon, terutama jika ingin menggunakan satu tangan semasa dilipat. Ia juga lebih ringan dengan 215 gram sahaja yang membuatkan pengawalan telefon ini sangat baik dan memastikan saya tidak terasa seperti membawa bongkah batu di dalam kocek.

Bagi prestasi bermain permainan mudah alih pula, jika anda sudah biasa dengan cip Qualcomm Snapdragon 8 Elite, anda akan mempunyai pengalaman yang sama bagi telefon ini, walaupun menggunakan skrin yang lebih besar. Saya dapat bermain permainan HoYoverse seperti Zenless Zone Zero tanpa sebarang masalah walaupun menggunakan tetapan tertinggi, ini adalah benar untuk kedua-dua skrin, tetapi bermain menggunakan skrin dalam sudah semestinya pengalaman terbaik.

Begitu juga dengan permainan seperti PUBG Mobile, Mobile Legends: Bang Bang dan Honor of Kings, saya dapat bermain permainan-permainan ini dengan kadar kelancaran 120FPS tanpa sebarang masalah. Permainan seperti PUBG Mobile memerlukan penurunan grafik, akan tetapi bukan kerana masalah kelancaran tetapi ia sesuatu dihadkan oleh permainan itu sendiri. Namun, saya boleh ringkaskan ia adalah pengalaman bermain permainan mudah alih terbaik untuk telefon pintar yang tidak mengejutkan kerana menggunakan antara cip paling berkuasa setakat ini dan juga 12GB RAM yang mencukupi.

Bagi rungutan yang saya katakan di atas, ia memfokuskan kepada bateri. Mungkin kerana ini cara untuk memastikan telefon lebih nipis, bateri masih dikekalkan kepada 4,400 mAh tambah mengecewakan lagi, pengecasan pantas setakat 25W sahaja. Saya mengatakan ia mengecewakan bukan kerana ia tidak mencukupi, pada pengalaman saya saya masih boleh menggunakan telefon untuk seharian, walaupun dengan bermain permainan mudah alih dan menonton kandungan hiburan menggunakan skrin dalam untuk beberapa jam. Manakala pengecasan pula, ia mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit untuk 0% ke 100%, yang bukanlah satu masa yang lama dan tidak akan mengganggu, pekerjaan harian tetapi ia sudah ketinggalan jika ingin dibandingkan dengan pesaing dan juga telefon Samsung yang lain seperti Samsung Galaxy S25 Ultra.

Akhir kata, Samsung Galaxy Z Fold7 membawa pengalaman terbaik untuk telefon pintar boleh lipat oleh Samsung dengan skrin memuaskan untuk kedua-duanya, cukup besar untuk digunakan secara terus dan cukup memuaskan untuk menggunakan skrin dalam sebesar 8.0-inci, menonton video tidak memberi pengalaman terbaik tetapi sangat baik untuk bermain permainan video. Prestasi adalah terbaik seperti yang dijangkakan dengan kombinasi cip Snapdragon 8 Elite dan juga 12GB RAM. Bagi generasi ini, Samsung memfokuskan untuk memberikan pengalaman telefon yang nipis, oleh itu bateri tidak menerima penambahan tetapi ia masih mencukupi untuk kegunaan sehari yang penuh dan pengecasan juga mengambil lebih kurang 90 minit sahaja untuk penuh.

Selain, 256GB + 12GB yang saya gunakan untuk ulasan ini, Galaxy ZFold 7 juga ditawarkan dengan 512GB + 12 GB dengan harga RM7,799 dan 1TB + 16GB dengan harga RM9,299. Ia menyertakan tiga pilihan warna iaitu Blue Shadow (warna bagi telefon untuk ulasan ini), Jetblack, dan Silver Shadow. Anda boleh layari laman Samsung untuk maklumat lanjut dan pembelian.

Leave a Reply