Sesuatu yang boleh dikatakan penting di dalam pemilihan untuk membeli komputer riba ataupun laptop adalah jika laptop tersebut cukup berkuasa untuk bertahan beberapa tahun, tambahan lagi jika laptop yang dikhususkan untuk bermain permainan video. Laptop terbaru oleh Predator iaitu Predator Helios 18 AI melalui spesifikasinya cuba untuk memastikan yang laptop ini terus berada di tahap terbaik sekurang-kurangnya untuk lima atau enam tahun kedepan.

Ditawarkan dengan harga mencecah RM20 ribu, bagi saya laptop ini mempunyai banyak kotak yang perlu ditandakan untuk memastikan ia berbaloi dengan harga, dan kotak pertama adakah ia akan menjadi satu laptop yang mencukupi untuk sekurang-kurangnya 5 tahun? Saya boleh katakan ya kerana spesfikasi yang sangat tinggi seperti 96GB RAM dan 4TB Storan dan boleh ditambah untuk sehingga 192GB RAM dan 6TB storan.
Berikut merupakan spesifikasi ringkas untuknya:
| Skrin | 18-inci, 2560 x 1600, MINI LED, 250Hz |
| CPU | Intel Core Ultra 9 275HX |
| GPU | NVIDIA GeForce RTX 5080 (16GB) |
| RAM | 96GB |
| Storan | 4TB NVMe 5.0 |
| Harga | RM19,999 |
Paparan
Dengan skrin bersaiz 18-inci, ia sudah semestinya mengikut keutamaan yang diinginkan oleh pengguna, bagi saya saiz ini adalah agak besar dan mengakibatkan ia bukanlah satu laptop yang mesra untuk digunakan semasa berada di luar, namun dengan saiz yang besar, ia mengurangkan keperluan untuk menyambungnya ke monitor kerana sudah cukup memuaskan untuk segala aktiviti seperti bermain permainan video dan juga menonton kandungan hiburan.

Panel LCD ataupun Mini LED yang digunakan adalah memuaskan, ia mempunyai keterangan yang memuaskan tidak kira untuk keadaan persekitaran ataupun pencahayaan. Selain itu, tahap kehitaman juga sangat rendah memberikan kontra yang baik. Dengan kadar reaksi 3ms dan sokongan kadar segar semula sehingga 250Hz, ia satu paparan yang akan terus menjadi antara yang terbaik untuk satu tempoh yang lama.
Prestasi
Sepanjang saya menguji laptop ini dengan bermain beberapa permainan terutamanya Stellar Blade, The Last of Us Part II dan Indiana Jones and the Great Circle saya boleh katakan CPU dan RAM tidak akan menjadi masalah untuk tempoh yang lama. Walaupun menggunakan tetapan tertinggi bagi permainan-permainan ini, ia menggunakan peratusan yang rendah untuk menjalankannya dengan kata lain, ia akan mencukupi untuk satu tempoh yang lama.

Sedikit masalah yang saya boleh nyatakan adalah penggunaan GPU mencatat 100% menggunakan tetapan tertinggi dengan resolusi lalai untuk laptop ini. Ia sesuatu yang sudah dijangkakan kerana saya tidak menetapkan sebarang had kepada FPS semasa mencubanya, walaupun sudah mencatat 100% bagi permainan sekarang, saya masih boleh jangkakan kad grafik di dalam laptop ini boleh digunakan lagi untuk beberapa tahun lagi walaupun mungkin perlu merendahkan tetapan tambahan lagi 16GB VRAM yang hadir bersama tidak digunakan sepenuhnya.
Berikut merupakan purata FPS yang saya dapat dengan bermain dengan tetapan tertinggi dan DLSS (Quality) tanpa Frame Generation.
- Stellar Blade (Ultra, 2560 x 1600) – 140FPS
- The Last of Us Part II Remastered (Very High, 2560 x 1600) – 105FPS
- Indiana Jones and the Great Circle (Supreme, 2560 x 1600) – 110FPS

Jika anda bermain di monitor dengan resolusi 4K, saya jangkakan yang ia masih boleh dimainkan dengan baik tetapi boleh jangkakan yang FPS mungkin di bawah 100FPS. Anda juga boleh membuka Frame Generation jika inginkan kelancaran yang lebih tinggi. Saya ada mencubannya yang dapat bermain dengan baik, tanpa ada sebarang masalah selar masa.
Rekaan
Predator Helios 18 AI menyertakan rekaan yang saya boleh katakan agak minimalis, akan tetapi masih mengekalkan DNA untuk laptop gaming dan juga laptop Predator. Jika ditutup, di atas hanya ada sedikit logo Predator di atas, dan dengan rekaan semua hitam, ia nampak seperti satu laptop yang ringkas sahaja dan tidak terlalu menyerlah dan bagi saya ia perkara yang baik.


Apabila ia dibuka, ia mempunyai beberapa kawasan yang akan berlampu seperti bahagian belakang, yang kelihatan seperti satu panel tambahan, logo juga akan menyala, ia juga mempunyai jalur lampu di bahagian bawah kanan dan juga di bahagian sisi laptop bahagian kiri sahaja yang menjadikannya kelihatan lebih menarik.
Bagi papan kekunci pula saya boleh katakan yang ia baik, menaip ataupun bermain permainan video masih memberikan pengalaman yang baik walaupun saya lebih suka jika kekunci lebih tinggi, sesuatu yang diselesaikan dengan 8 kekunci yang boleh ditukar iaitu untuk butang W,A,S,D dan anak panah dan tersedia dengan setiap pembelian laptop ini. Kekunci yang boleh ditukar ini memberi pengalaman yang lebih baik, tetapi oleh kerana ia khusus untuk 8 kekunci itu sahaja, ia tidaklah untuk kegunaan umum.


Bagi port, ia masih menyertakan kesemua port-port yang saya harapkan daripada sebuah laptop, di bahagian kiri terdapat LAN, USB-A, pembaca SD, picu audio. Bahagian kanan terdapat 2 USB-A, bahagian belakang tempat kuasa, HDMI, dan 2 UBS-C. Jika ada tambahan yang saya boleh katakan adalah lebih baik jika beberapa port USB-C di bahagian tepi dan tidak terhad kepada bahagian belakang sahaja, kerana kebanyakan sambungan saya sekarang menggunakan USB-C berbanding USB-A.
Pengalaman Umum
Sepanjang percubaan saya bermain permainan video walaupun dengan tempoh yang lama, laptop ini tidak terasa terlalu panas terutama di bahagian atas, seperti papan kekunci dan tempat meletak tangan, ia boleh menjadi sangat panas di bahagian bawah dan sederhana di bahagian kiri tetapi tidaklah mengganggu semasa saya menggunakannya.

Bagi mengawal suhu ini, Predator Helios 18 AI mempunyai sistem kipas yang akan yang ‘bekerja keras’, bunyi kipas akan menjadi jelas semasa bermain bahkan sudah mula kedengaran semasa tidak mengguankan laptop tetapi menggunakan tetapan mod Performance dan Turbo. Ia bukan masalah untuk saya, tetapi bagi anda yang ingin mencari laptop yang lebih senyap saya tidak boleh katakan ini laptop yang boleh memenuhi kehendak itu.
Bagi kegunaan harian, bateri bertahan untuk 4 sehingga 5 jam mengikut aktiviti yang saya lakukan, tetapi tanpa bermain sebarang permainan video. Semasa bermain saya tidak mencubannya, tetapi saya tidak menyarankan untuk bermain permainan video tanpa menyambung laptop ini ke kuasa kerana ia akan mempunyai penggunaan bateri yang sangat tinggi.

Pembesar suara yang terbina adalah baik, dan saya boleh katakan boleh mencecah volume yang sangat kuat tetapi ia tidak mempunyai dinamik yang baik membuatkan kebanyakan bunyi masih kedengaran mendatar, namun saya boleh katakan masih memuaskan hati untuk sesi bermain permainan video yang kasual ataupun menonton kandungan hiburan secara santai.
Kesimpulan
Predator Helios 18 AI bukanlah satu laptop mampu milik dan ia juga tidak cuba untuk menjadi laptop di dalam segmen tersebut. Ia menyertakan spesifikasi yang sangat tinggi dengan boleh ditambah lagi jika tidak mencukupi, kekurangan utama sudah semestinya di bahagian GPU yang sudah mencatat kegunaan tinggi untuk bermain permainan sekarang, tetapi dengan teknologi DLSS dan Frame Generation, ia bukanlah satu masalah seperti mana sebelum-sebelum ini. Jika anda ingin berbelanja hampir RM20 ribu untuk satu laptop, laptop ini boleh disertakan sebagai antara pilihan kerana ia memberikan kebanyakan perkara yang dijangkakan daripada laptop dengan harga sebegini.
Gambar: Jin Soh


