Bagi anda yang mengikuti kejohanan MPL Malaysia Musim Ke-15 sebelum ini, anda mungkin menyedari mengenai jenama Infinix yang merupakan penyedia peranti rasmi bagi kejohanan Mobile Legends terbesar di Malaysia itu.


Musim lepas, pemain-pemain menggunakan Infinix GT20 Pro yang digunakan tetapi bagi ulasan ini, saya menggunakan peranti pengganti ataupun generasi baharu untuk model ini iaitu Infinix GT30 Pro yang dilancarkan bulan Mei lepas. Telefon pintar ini juga akan menjadi peranti rasmi untuk MPL Malaysia Musim Ke-16 yang dijangka bermula sekitar bulan September ini.
Paparan
Infinix GT30 Pro hadir dengan skrin bersaiz 6.78-inci, panel AMOLED dengan sokongan kadar segar semula sehingga 144Hz yang sudah menjadi kebiasaan bagi peranti-peranti terkini, termasuk juga untuk kelas pertengahan bagi telefon ini. Kualiti paparan yang diberikan bagi saya adalah baik, dengan setiap warna diperlihatkan dengan baik, pengalaman bermain permainan mudah alih dan juga menonton kandungan-kandungan hiburan adalah di tahap yang terbaik.

Cip Pemprosesan
Manakala bagi cipset ataupun cip pemprosesan, telefon ini menggunakan cip oleh MediaTek iaitu Dimensity 8350 Ultimate yang merupakan antara cip terbaik untuk kelas pertengahan, sebagai bakal menjadi telefon rasmi kejohanan terbesar Mobile Legends di Malaysia, prestasi yang diberikan sudah semestinya tidak mengecewakan.

Saya dapat menggunakan tetapan tertinggi di Mobile Legends dan secara konsisten mendapat 120FPS, manakala PUBG Mobile, saya boleh menggunakan tetapan HDR dengan kelancaran Ultra iaitu lebih kurang 40FPS, tetapi perkara ini saya boleh katakan dihadkan oleh permainan dan bukan keupayaan peranti ini. Manakala permainan oleh HoYoverse seperti Zenless Zone Zero saya dapat menggunakan tetapan High dengan kadar kelancaran 60FPS, ia masih lancar walaupun masa framerate akan jatuh tetapi tidak terlalu kerap ataupun ketara.
Bateri
Infinix GT30 Pro dilengkapi dengan bateri sebesar 5500 mAh yang bagi saya sudah mencukupi walaupun bukanlah terbesar di dalam segmen ini telefon ini. Semasa bermain permainan mudah alih, ia boleh bertahan selama 8 jam dengan satu pengecasan penuh. Bagi kegunaan harian ia cukup untuk seharian, dan ada masa semasa saya menggunakannya saya masih boleh membawanya ke hari kedua sehingga tengah hari sebelum perlu pengecasan.

Bercakap mengenai pengecasan, ia mempunyai sokong pengecasan pantas sehingga 45W secara berwayar dan sehingga 30W secara nirwayar. Sekali lagi, 45W bukanlah terpantas walaupun untuk kategori telefon pertengahan tetapi dengan sekadar mengambil masa sejam sahaja untuk pengecasan penuh daripada sifar, ia masih satu tempoh yang tidak lama dan tidak akan mengganggu penggunaan saya walaupun semasa bermain permainan mudah alih dengan kerap.
Infinix GT30 Pro juga dilengkapi dengan Bypass Charging yang membolehkan kuasa diberi terus kepada telefon tanpa melalui bateri dengan kata lain tanpa mengecas bateri dan ini boleh memastikan ketahanan bateri yang lebih baik dan mengurangkan kepanasan.
Rekaan
Telefon ini hadir dengan tiga pilihan warna iaitu Shadow Ashe, Blade White, dan Dark Flare dan peranti yang saya gunakan bagi ulasan ini merupakan berwarna Dark Flare, sebagai satu DNA rekaan telefon oleh Infinix, di bahagian belakang ia mempunyai corak yang memberikan gaya futuristik, serta dihiasi warna kekemasan merah mengelilingi kamera untuk memberikan gaya yang lebih kemas.

Ia juga mempunyai jalur lampu di bahagian belakang, yang boleh ditetapkan untuk sentiasa dibuka atau semasa menerima notifikasi, semasa membuka permainan mudah alih dan juga semasa mendengar lagu dan boleh mengikut melodi lagu yang tengah didengari, ia adalah jalur lampu yang sedikit tetapi mencukupi bagi yang inginkannya.
Fungsi Gaming
Sebagai sebuah telefon pintar yang khusus untuk permainan mudah alih, Infinix GT30 Pro disertakan dengan beberapa fungsi khusus yang memberi nilai tambah untuknya. Antaranya adalah XBOOST iaitu panel tetapan khas yang memfokuskan kepada sesi bermain. Melaluinya, saya lebih mudah untuk menukar tetapan telefon seperti Power Saving, Equilibrium dan juga Performance mengikut kegunaan.

Selain itu, terdapat juga fungsi-fungsi lain seperti tangkapan skrin, merekod skrin, tetapan untuk menyekat perkara yang boleh mengganggu sesi bermain seperti panggilan dan juga notifikasi ataupun dengan lebih mudah menggunakan Esports Mode yang akan menyekat perkara yang boleh mengganggu dan mempertingkatkan pengalaman bermain permainan mudah alih dengan menukar satu tetapan sahaja.
Manakala di bahagian tepi, bersebelahan dengan butang volume dan juga kuasa terdapat dua butang, atau kawasan yang dipanggil sebagai GT Trigger, butang ini digunakan sebagai butang tambahan semasa bermain permainan mudah alih ataupun aplikasi-aplikasi lain. Cara untuk gunakannya adalah mudah, anda perlu buka XBOOST dan pilih bahagian GT Trigger, sesetengah permainan sudah ada tetapan terbina, tetapi saya boleh ubah atau menetapkan sendiri untuk permainan yang tidak mempunyai tetapan terbina.

Secara ringkasnya, akan terdapat dua bulatan yang akan menentukan bahagian mana di atas skrin yang akan ditekan apabila saya menggunakan GT Trigger. Ia adalah menarik dan sangat membantu semasa bermain, tambahan lagi ia sangat mudah untuk difahami bagi memudahkan kegunaan.
Harga
Infinix GT30 Pro hadir dengan dua pilihan storan iaitu 256GB ditawarkan dengan harga RM1299 atau 512GB dengan harga RM1499, telefon ini tidak menyertakan sokongan storan tambahan oleh itu saya cadangkan untuk mendapatkan pilihan storan yang paling sesuai dengan kegunaan anda. Bagi saya yang bermain kesemua permainan HoYoverse, pilihan 512GB adalah pilihan yang lebih selamat dan selesa.

Tambahan pada itu, setiap pembelian anda juga boleh dapatkan Gaming Kit yang bernilai RM139 secara percuma, yang menyertakan casing dengan magnet di bahagian belakang untuk digunakan bersama dengan kipas yang turut disertakan bersama. Kipas ini boleh disambung ke kuasa, dan akan turut mengecas telefon secara nirwayar. Gaming Kit ini tersedia selagi stok masih ada.


