Dengan lambakan perkhidmatan penstriman, mungkin tidak terkejar untuk mengetahui kandungan-kandungan terbaru yang mula ditawarkan di perkhidmatan tersebut. Oleh itu, melalui segmen terbaru ini, pada setiap hari Jumaat kami akan kongsi-kan lima kandungan terbaru ataupun kandungan lama yang baru sahaja boleh distrim di mana-mana perkhidmatan penstriman termasuk juga yang perlu dibeli atau disewa di Apple TV Store dan Google TV Store.
The Old Guard 2
Platform: Netflix
Andy lakonan Charlize Theron telah hilang keabadian selepas kejadian di dalam filem pertama, tetapi ini tidak menghentikan ancaman terhadapnya, kini seteru lama iaitu Quynh lakonan Veronica Ngo juga Discord yang dibawa oleh Uma Thurman kembali untuk menghantuinya semasa dia berada di bawah. Namun, rakan-rakan Andy terus bersedia untuk membantunya termasuk juga Tuah lakonan Henry Golding, watak berdasarkan Hang Tuah?
The Sandman (Musim 2)
Platform: Netflix
Di musim kedua ini, Dream perlu ke neraka untuk memperbetulkan kesalahan lamanya yang berkait dengan Nada. Dia juga bersama dengan Lucifer yang kembali selepas melepaskan neraka. Musim ini dibahagikan kepada dua bahagian, dengan bahagian kedua yang juga terakhir bukan sahaja untuk musim ini tetapi bagi keseluruhan siri akan tiba lewat bulan ini.
Head of State
Platform: Prime Video
Filem adalah mengenai Perdana Menteri UK Sam Clarke lakonan Idris Elba dan Presiden Amerika Syarikat Will Derringer lakonan John Cena mempunyai perhubungan yang tidak baik dan sering bergaduh. Namun, apabila kedua-dua mereka menjadi sasaran pengganas, mereka terpaksa bekerjasama dengan bantuan ejen MI6, Noel Bisset lakonan Priyanka Chopra Jonas. Perhubungan ketiga-tiga mereka ini sudah semestinya menjanjikan aksi dan juga komedi.
Sinners
Platform: Max
Smoke dan Stack merupakan adik beradik kembar yang sebelum ini bekerja bersama dengan kongsi gelap tetapi telah pulang ke kampung halaman untuk membuka satu tempat berhibur, majlis pembukaan tempat itu bermula dengan meriah tetapi bertukar menjadi satu tragedi apabila menerima pelawat yang tidak dijemput iaitu vampire yang mempunyai objektif untuk menjadikan kesemua orang di tempat tersebut bertukar menjadi vampire juga.
Baca: Ulasan Sinners
Drop
Platform: Apple TV/Google TV (Beli/Sewa)
Satu temu janji biasa, bertukar menjadi misteri dan ketakutan apabila Violet Gates yang melakukan temu janji pertama sejak sekian lama menerima mesej melalui digiDrop (AirDrop) mengatakan yang dia perlu mengikuti segala arahan digiDrop itu jika ingin memastikan anaknya tidak diapa-apakan. Sambil mengikut sahaja arahan, Violet juga cuba mencari siapa dalang di-sebalik digiDrop tersebut, adakah usahanya berjaya atau ia membawa padah?
Baca: Ulasan Drop


