Menerima ‘AirDrop’ secara rawak oleh rakan ataupun orang yang tidak dikenali bukan sesuatu yang asing dan filem Drop arahan Christopher Landon yang terkenal sebagai pengarah untuk Happy Death Day ini mengambil konsep tersebut dan menjadikannya kepada sesuatu yang lebih cynical iaitu ia dijadikan sebagai satu alat memerah ugut. Ia satu premis yang menarik, dan penyampaian filem ini juga dilakukan dengan cukup baik untuk membawa genre thriller walaupun ada beberapa bahagian yang mungkin rasa pelik ataupun tidak masuk akal.

Violet Gates lakonan Meghann Fahy merupakan seorang ibu tunggal selepas keluar daripada perkahwinan yang tidak baik sebelum ini. Dia menghadiri satu temu janji bersama dengan Henry Campbell lakonan Brandon Sklenar. Satu temu janji yang kelihatan biasa, bertukar menjadi tidak selesa apabila Violet sering menerima ‘drop’ daripada orang yang tidak dikenali. Pada awalnya, drop yang diterima kelihatan biasa seperti remaja nakal yang cuba mengganggu, tetapi ia kemudian menjadi lebih peribadi termasuk juga satu video dihantar yang memperlihatkan ada seorang lelaki bertopeng di rumah Violet.
Drop kemudian bertukar lagi menjadi arahan, dengan Violet diarahkan untuk mencuri sesuatu daripada beg Henry dan juga membunuhnya. Violet pada awalnya teragak-agak dan cuba untuk melarikan diri akan tetapi risaukan anak dan adiknya yang berada di rumah dan dia juga diperhatikan secara dekat, membuatkan dia terpaksa mengikut sahaja. Pada masa yang sama Violet juga cuba untuk mencari orang yang menghantar drop tersebut dan cuba untuk meminta bantuan daripada orang luar dan juga polis, akan tetapi dengan dia sentiasa diperhatikan ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

Cat and mouse di antara Violet dengan orang misteri yang menghantar drop ini cukup menarik untuk diikuti dan perasaan takut ataupun kerisauan disampaikan dengan baik, setiap adegan terasa perasaan yang intense, watak Violet dilakukan dengan baik sebagai seorang yang tidak takut tetapi pada masa yang sama bertekad untuk memastikan keluarganya selamat dan juga tidak perlu menjadi seorang pembunuh. Cara penjahat mengawal Violet juga dilakukan dengan menarik, walaupun melalui gambar atau teks sahaja tetapi ia masih berkesan dan terasa kelakuan dan niat jahat tersebut.
Ada beberapa bahagian filem ini yang bagi saya terasa agak janggal dan sekadar diisi untuk menjadi sebahagian daripada plot sahaja. Penggunaan drop menjadikan filem ini menarik, tetapi sebenarnya saya merasakan ia satu perkara yang tidak masuk akal, mengapa menggunakan sesuatu yang terhad seperti jarak dan juga mudah untuk dijejak kerana ia berada di kawasan yang berdekatan berbanding menggunakan perkhidmatan mesej sahaja yang lebih berkesan. Satu sebab yang saya boleh fikirkan ia adalah premis yang sudah dilakukan sebelum ini, contohnya filem Carry-On di Netflix.

Saya juga boleh katakan penyelesaian filem ini, mencukupi untuk menjadi penamat bagi filem ini akan tetapi jika dilihat bagaimana plot dibina dan disampaikan, ia tidak memberi pengakhiran yang bagi saya memuaskan kerana ia tiada kejutan dan mudah untuk dijangka apa yang akan berlaku. Bagaimana misteri di-sebalik drop itu dirungkaikan juga terasa anticlimatic dan tidak memberi kesan yang besar kepada perasaan saya sebagai penonton selain daripada menjadi bahagian penting untuk perubahan kepada plot bagi penceritaan filem ini. Jika ia dilakukan dengan lebih baik, terutama dengan pembinaan plot yang ada, ia boleh menjadikan filem ini lebih diingati selepas berakhir.
Akhir kata, Drop hadir dengan satu filem debaran atau thriller yang berkesan di dalam penyampaian bahagian debaran tersebut, dengan menggunakan sistem ‘AirDrop’ menjadikan ia sedikit unik walaupun premis penceritaan bukan sesuatu yang baharu. Bahagian cat and mouse di antara Violet dan penjahat juga dilakukan dengan berkesan tetapi mengecewakan di bahagian akhir. Ia satu filem yang baik, akan menghiburkan penonton tetapi tidak akan diingati untuk satu masa yang lama.