Skip to main content

Secara jujur saya tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai filem ini, saya ada melihat treler tetapi masih tidak dapat menjangkakan filem ini mengenai apa, bahkan pada permulaan filem ini ia lebih memfokuskan kepada hamba, sesuatu yang masih dilakukan di Amerika Syarikat tersebut dan ia disampaikan melalui dua adik beradik kembar iaitu Smoke dan Stack, kedua-dua watak ini dibawakan oleh Michael B. Jordan.

Mereka berdua merupakan bekas tentera yang terlibat di dalam Perang Dunia Pertama, selepas perkhidmatan tersebut mereka tinggal di Chicago dan terlibat dengan kumpulan kongsi gelap yang diketuai oleh Capone. Mereka kembali ke kampung halaman di Mississippi untuk membuka satu juke joint iaitu bar ataupun kelab malam yang dikhususkan untuk orang berkulit hitam. Perkara ini tidak diperlihatkan di dalam filem, tetapi terdapat ura-ura melalui dialog yang mereka mencuri wang daripada kumpulan kongsi gelap untuk dijadikan sebagai modal bagi perniagaan baharu mereka ini.

Sebelum pembukaan, Smoke dan Stack terlebih dahulu berjumpa dengan rakan-rakan lama mereka, antaranya Sammie iaitu sepupu mereka yang sangat berbakat di dalam muzik, mereka juga berjumpa dengan kekasih lama dan watak-watak lain. Pada bahagian awal ini, penceritaan kelihatan seperti akan memfokuskan kepada ketidak-adilan untuk orang kulit hitam yang masih dianggap sebagai hamba dan sering menjadi mangsa kepada orang kulit putih.

Selepas juke joint dibuka saya boleh katakan ia menjadi satu filem muzikal dengan pelbagai persembahan muzik yang dilakukan, tetapi tidak lama selepas itu, filem ini bertukar genre lagi apabila ia sekarang melibatkan vampire yang telah menjadikan juke joint tersebut sebagai sasaran dan ingin menjadikan kesemua orang disitu sebagai vampire. Perubahan genre ini bagi saya sedikit mengelirukan kerana tone filem dengan segera berubah bersama dengan genre tetapi serba sedikit dibantu dengan ia sentiasa mempunyai permasalahan.

Pada awalnya saya mengingatkan permasalahan yang berlaku akan bersifat perkauman melalui penceritaan yang disampaikan pada awal filem ini. Bagi saya bahagian ini dilakukan dengan sangat menarik, ada watak bernama Delta Sim lakonan Delroy Lindo yang berkongsi mengenai kisah kekejaman orang kulit putih, tetapi filem ini tidak memperlihatkan grafik tetapi sekadar menggunakan dialog oleh Delta Sim dan juga bunyi di bahagian background. Walaupun tanpa adegan atau grafik, ia masih berkesan untuk menyampaikan perkara ini.

Kemudian, jangkaan saya mula berubah, mungkin filem ini adalah mengenai kongsi gelap kerana dialog mula lebih memfokuskan mengenai bagaimana Smoke dan Stack mencuri wang dan juga barangan untuk membolehkan mereka membuka juke joint tersebut, tetapi segala jangkaan saya meleset apabila penceritaan tiba-tiba berubah mengenai vampire. Bagi saya ia adalah menarik, tetapi perubahan ini masih terasa janggal dan ada beberapa watak yang kemudiannya berakhir secara tiba-tiba seperti Mary lakonan Hailee Steinfeld yang juga bekas kekasih Stack, tetapi semasa wataknya ingin dikembangkan ia berakhir dan menjadi sesuatu yang berlainan. Bahagian vampire ini juga dilakukan dengan lebih mendalam terutama perkara biasa yang berkait dengan vampire, melawan menggunakan bawang dan mereka tidak dibenarkan masuk jika tidak dijemput dan sekiannya.

Penyampaian filem ini memberikan ia satu filem yang mempunyai beberapa lapisan yang berbeza, dengan setiap lapisan ini membawa sesuatu yang berlainan akan tetapi saya boleh katakan satu lapisan sahaja yang lebih menyerlah iaitu mengenai vampire ini, oleh itu saya boleh katakan yang ini merupakan filem berkait dengan vampire tetapi dicampurkan dengan beberapa kisah yang lain dan saya juga merasakan itulah yang ingin disampaikan oleh Ryan Coogler. Perkara ini juga diperlihatkan bagaimana filem ini berakhir yang saya tidak berapa menyukainya tetapi mungkin disukai oleh penonton lain.

Satu perkara yang saya tiada rungutan adalah bagaimana filem ini dirakamkan ataupun disampaikan. Ia disampaikan dengan sangat cantik, benar-benar memperlihatkan keadaan Mississippi pada waktu itu, dan Ryan Coogler juga memilih untuk menukar aspect ration sesuatu adegan untuk menjadikan adegan-adegan tersebut lebih berkesan ataupun ingin memperlihatkan sesuatu yang penting. Bagi saya ia menarik dan bersesuaian dengan pelbagai lapisan penceritaan untuk filem ini. Lakonan kesemua watak juga sangat-sangat baik, Michael B. Jordan membawa Smoke dan Stack dengan baik bagi memastikan tampak perbezaan di antara dua watak ini.

Sinners
Satu filem yang mempunyai beberapa lapisan, ia kelihatan seperti satu filem mengenai perkauman, ia juga filem berkait dengan kongsi gelap dan ia juga satu filem yang berkait dengan vampire yang kemudiannya menjadi fokus utama.
Positif
Disampaikan dengan cantik
Lakonan yang mantap
Negatif
Penceritaan terasa tidak sekata
Sesetengah watak tidak dikembangkan lagi
8

Leave a Reply

Final Score