Setiap minggu terdapat pelbagai permainan menarik yang dilancarkan, tidak kira permainan AAA ataupun permainan indie. Selain itu, terdapat juga pelbagai DLC dan penambahan yang dilancarkan untuk permainan sedia ada. Oleh itu, melalui segmen ini, kami akan kongsikan lima permainan dan penambahan menarik yang dilancarkan sepanjang minggu ini.
Death Stranding 2: On The Beach
Platform: PlayStation 5
Sam Porter kembali tetapi kali ini dengan satu tanggungjawab baharu, iaitu menjadi seorang bapa dan juga sekali lagi perlu memastikan satu negara bersambung dan membentuk satu komuniti bersama. Selepas melakukannya untuk Amerika Syarikat ataupun UCA di permainan pertama, Sam kini beralih ke dua negara iaitu Mexico dan Australia untuk melakukan perkara yang sama tetapi dengan kisah yang lebih epik dan cabaran yang lebih berbahaya.
Baca: Ulasan Death Stranding 2: On The Beach
System Shock 2: 25th Anniversary Remaster
Platform: PlayStation 5, Xbox Series, PC
Ancaman Shodan kemabli lagi dan kali ini dengan grafik yang lebih baik bersempena dengan ulang tahun ke-25 bagi permainan susulan untuk System Shock ini yang dilancarkan pertama kali pada tahun 1999. Pemain akan menjadi seorang tentera di atas kapal Von Braun, di dalam perjalanannya, anak kapal telah diserang oleh “the Many” yang menjadikan mereka tidak dapat mengawal pergerakan sendiri. Pada masa yang sama, pemain juga perlu sekali lagi melawan AI jahat iaitu Shodan.
Tamagotchi Plaza
Platform: Nintendo Switch
Permainan keempat di dalam siri Tamagotchi Connection: Corner Shop dan permainan pertama selepas 18 tahun yang dilancarkan secara global. Seperti permainan sebelum ini, ia merupakan permainan simulasi pengurusan kedai di dalam dunia Tamagotchi. Permainan ini boleh dimainkan di kedua-dua Nintendo Switch, dengan kandungan tambahan khusus untuk Nintendo Switch 2 termasuk juga mod yang memerlukan kawalan menggunakan Joy-con sebagai tetikus.
Ruffy and the Riverside
Permainan ini bukan sekadar satu permainan aksi dunia terbuka tetapi pemain juga menjadi Ruffy yang mempunyai kebolehan SWAP yang membolehkannya untuk menukar tekstur di dalam permainan ini, ais boleh ditukar menjadi api atau terjun ditukar menjadi pokok dan sebagainya. Kesemua ini akan digunakan untuk melalui kawasan, peringkat dan juga tekaria yang akan menguji minda.
Front Mission 3: Remake
Platform: Nintendo Switch
Bagi yang meminati siri permainan strategi berdasarkan mecha ini, Front Mission 3 yang pertama kali dilancarkan pada tahun 1999 sudah semestinya mempunyai satu tempat yang khas dalam nostalgia kerana ia merupakan permainan Front Mission pertama yang turut dilancarkan di luar Jepun. Hampir 25 tahun kemudian, ia menerima versi olahan semula untuk dilancarkan di Nintendo Switch. Dikatakan antara permainan terbaik bagi siri ini, ia sudah semestinya satu permainan yang dinanti-nantikan.


