Penganjuran buat julung-julung kalinya Malaysia Honor of Kings League (MKL) telah menutup tirai pada 8 Jun lepas yang memperlihatkan pasukan Nova Esports menjadi juara sulung untuk kejohanan ini. Mereka mengalahkan juara dunia tahun lepas iaitu Black Shrew Esports dengan skor 4-3.

Persaingan sengit ini bermula dengan Black Shrew Esports terlebih dahulu mendapat skor pertama, mereka juga perlu memenangi satu pusingan sahaja lagi untuk memenangi kejohanan ini. Namun, Nova Esports tidak patah semangat sebaliknya berjaya untuk membawa perlawanan ke pusingan ketujuh sebelum memenangi pusingan penentuan.

Selaku juara Nova Esports membawa pulang hadiah tunai $15,100 manakala Black Shrew Esports membawa pulang $12,500. Kedua-dua pasukan juga akan mewakili Malaysia untuk ke Honor of Kings World Cup 2025 bersama dengan Alpha Gaming (sebelum ini dikenali sebagai AG Global) yang berada di tempat ketiga.
Honor of Kings World Cup 2025 akan berlangsung bermula pada 15 Julai ini di Riyadh, Arab Saudi. Ia juga dianjurkan bersempena dengan Piala Dunia Esukan 2025 dan menawarkan hadiah terkumpul $3 juta melibatkan 18 pasukan dari seluruh dunia.

Peringkat akhir untuk MKL Spring 2025 juga dimeriahkan lagi dengan kehadiran 7GL yang melibatkan pencipta kandungan tempatan seperti Soloz, Feekz, Makdi, Peak, dan Ombong. Selain memperkenalkan pek suara mereka untuk HOK, mereka juga bermain dua pusingan HOK bersama dengan penonton.


