Karate Kid merupakan satu siri filem yang mempunyai nostalgia tersendiri, dan ia sudah melalui cubaan untuk dihasilkan semula pada tahun 2010 melibatkan Jackie Chan dan Jaden Smith, selepas beberapa kali percubaan untuk hadir dengan filem susulan tidak berjaya, cubaan tersebut tidak diteruskan. Sebaliknya, kisah Karate Kid ini dikembangkan dengan jayanya melalui siri TV Cobra Kai yang menerima enam musim dan baru sahaja tamat pada awal tahun ini.

Melihat kepada kejayaan Cobra Kai tersebut mungkin mencetus sekali lagi percubaan untuk menghidupkan semula filem Karate Kid, dan ia hadir sebagai Karate Kid: Legends. Filem ini tidak meneruskan penceritaan daripada filem 2010, sebaliknya ia berlaku beberapa tahun selepas kejadian di dalam Cobra Kai, namun Jackie Chan kembali untuk membawa watak Mr. Han dengan Ben Wang membawa watak baharu iaitu Li Fong yang merupakan anak murid kepada Mr Han.

Li Fong mempunyai minta di dalam ilmu pertahanan diri akan tetapi selepas kemalangan yang berlaku terhadap abangnya, ibu Li Fong yang juga sepupu Mr Han tidak membenarkannya untuk melibatkan diri dengan apa-apa yang berkait dengan perkara tersebut. Selepas mendapat pekerjaan di New York, ibunya juga membawa Li Fong ke Amerika Syarikat untuk memulakan kehidupan barunya. Tidak lama selepas berpindah ke New York, Li Fong mula berkenalan dengan Mia yang membuatkannya menjadi sasaran Conor iaitu seorang pelajar Karate yang juga bekas kekasih Mia.

Filem ini kemudian lebih memfokuskan kepada Li Fong melalui segala perkara ini, dan juga bagaimana dia terpaksa kembali untuk terlibat dengan perlawanan termasuk juga menyertai satu pertandingan untuk membantu Mia dan bapanya Victor yang berhutang dan hampir kehilangan kedai pizza-nya. Bagi saya ia merupakan satu penceritaan yang sudah beberapa kali diulangi di dalam siri filem Karate Kid ini, dan bagi saya ia tidak lagi berkesan untuk memberikan penceritaan yang baik mahupun membantu di dalam perkembangan watak. Watak Li Fong terasa kurang berjaya kerana penceritaan yang kurang menarik ini, dan juga penceritaan mudah untuk dijangkakan.

Saya juga merasakan yang Li Fong mempunyai terlalu banyak masalah untuk diatasi, bermula dengan trauma daripada kejadian abangnya, kemudian mengenai berpindah di kawasan yang baharu, mengenai perhubungan dengan Mia dan juga permusuhan dengan Conor. Kesemua permasalahan ini tidak dilakukan dengan baik dan saya tiada bahagian yang benar-benar menyerlah. Penglibatan Mr Han dan juga Daniel LaRusso yang dibawa semula oleh Ralph Macchio juga terasa sangat artificial dan kurang memberi impak walaupun dari segi nostalgia.

Penceritaan tidaklah disampai dengan tidak baik, lakonan Ben wang, serta Sadie Stanley sebagai Mia masih baik, begitu juga dengan Jackie Chan sendiri dan masih ada beberapa adegan yang menarik serta boleh mencuit hati. Adegan perlawanan juga dilakukan dengan baik walaupun ada masa kamera berada terlalu dekat yang membuatkan saya tidak berapa jelas dengan apa yang berlaku serta sedikit membuatkan saya rasa lemas. Cuma masalah utama bagi filem ini adalah ia tidak membawa apa-apa yang baharu selain daripada beberapa watak berlainan yang bagi saya sedikit mengecewakan, dengan apa yang dilakukan di dalam siri Cobra Kai saya merasakan filem Karate Kid boleh dikembangkan untuk menjadi sesuatu yang lebih segar.

Akhir kata, penghasilan semula filem Karate Kid ini tidak berjaya untuk keluar daripada kebiasaan, membawa penceritaan yang lebih kurang seperti sebelum ini bukan sahaja tidak membantu untuk memberi nostalgia tetapi juga tidak mengembangkan watak-watak yang ada dengan menarik. Ia bukanlah satu filem yang teruk ataupun tidak baik, tetapi kekurangan perkara yang berlainan membuatkan ia lebih kepada saut filem yang tidak memberi apa-apa perasaan kepada penonton, yang mengecewakan terutama dengan apa yang sudah dilakukan oleh siri Cobra Kai.

Karate Kid: Legends
Tidak membawa sebarang penceritaan baharu yang membuatkan perkembangan watak kurang berkesan. Sedikit dibantu dengan adegan pertempuran yang baik serta lakonan yang memuaskan tetapi tidak akan menjadi filem yang diingati.
Positif
Adengan pertempuran yang baik
Lakonan berkualiti
Negatif
Tiada penceritaan baharu
Permasalahan kurang berkesan
7

Leave a Reply

Final Score