Apabila bercakap mengenai filem ataupun siri TV dengan genre misteri, saya boleh katakan satu petanda untuk menentukan kandungan tersebut menarik ataupun tidak, bukan jika sesuatu misteri tersebut merupakan satu misteri untuk penonton, tetapi bagaimana misteri tersebut dilalui oleh watak itu sendiri, dan Nine Puzzles melakukan perkara ini dengan sangat baik sekali. Misteri yang dibawa bukan sahaja membuatkan saya tertanya-tanya, tetapi watak-watak di dalam siri ini juga melalui perkara yang sama kerana mereka sendiri tidak sentiasa mengetahui lebih ataupun kurang daripada saya.
Nine Puzzles merupakan siri Korea mengenai Yoon Ena (Kim Da-Mi) iaitu seorang pelajar sekolah yang baru pulan dari sekolah dan mendapati pak ciknya, yang juga penjaganya telah terbunuh. Kim Han-Saem (Son Suk-Ku) iaitu seorang detektif telah ditugaskan untuk menyiasat mengenai pembunuhan tersebut. Oleh kerana tiada penjelasan lain, Kim Han-Saem mula mengesyaki yang Yoon Ena melakukan pembunuhan tersebut ini ditambah lagi Yoon Ena mengatakan yang dia hilang segala ingatannya mengenai kejadian sebelum dan selepas menjumpai mayat pak ciknya itu, selain daripada dia menjumpai satu bahagian daripada permainan susun suai gambar.

Oleh disebabkan tiada bukti, pembunuhan tersebut menjadi kes yang tidak boleh ditutup dan selain daripada Yoon Ena mereka juga tidak mempunyai suspek yang lain dan pertuduhan juga tidak boleh dilakukan terhadapnya. 10 tahun kemudian, Yoon Ena yang sekarang sudah dewasa telah menjadi pemprofil penjenayah bersama dengan Agensi Polis Seoul. Dia sudah menjadi pemprofil selama enam tahun iaitu empat tahun selepas pak ciknya dibunuh. Sepanjang 10 tahun tersebut, tiada apa-apa yang berlaku untuk merungkai-kan mengenai pembunuhnya tersebut, tetapi pada ulang tahun untuknya pembunuhan baharu terjadi dan satu lagi bahagian daripada permainan susun suai gambar dijumpai.
Kim Han-Saem menyiasat kes terbaru ini, dan dia masih mengesyaki Yoon Ena, pada masa yang sama Yoon Ena juga mula terlibat di dalam siasatan tersebut. Pada awalnya, Kim Han-Saem tidak selesa untuk menyiasat kes tersebut bersama dengan Yoon Ena kerana dia masih lagi seorang suspek, tetapi pada masa yang sama kerana Yoon Ena juga merupakan anggota polis tidak banyak perkara yang dia boleh lakukan dan terpaksalah memulakan siasatan mengenainya. Siasatan mula berlaku bukan sahaja mengenai kaitan di antara pembunuhan ini, tetapi juga mengapa mengambil masa 10 tahun sebelum pemunuhan diteruskan jika ia adalah satu pembunuh bersiri dan pada masa yang sama, watak mana yang boleh dipercayai dan tidak boleh dipercayai.

Kepelbagaian misteri inilah yang membuatkan setiap episod ada sahaja sesuatu yang baharu dijumpai dan misteri baharu yang perlu dirungkaikan. 11 episod yang disertakan bagi saya terisi dengan padat, pada awalnya siasatan juga mula melibatkan sesuatu kes yang berlainan untuk dijadikan sebagai pengisian awal dan saya sangat menghargainya kerana ia memberi peluang untuk masih menawarkan misteri tetapi pada masa yang sama tidak terlalu cepat untuk memperlihatkan misteri utama. Setiap misteri dirungkaikan dengan baik, yang memberi kesan yang sama kepada saya sebagai penonton dan juga kepada watak yang menjumpai mengenai misteri tersebut.
Selain daripada itu, saya juga boleh katakan yang dinamik di antara Yoon Ena dan Kim Han-Saem yang bermula daripada polis dan suspek, bertukar menjadi “buddy cop” dilakukan dengan baik. Kedua-dua mereka mempunyai personaliti yang sangat berbeza, Yoon Ena mempunyai watak yang ceria, dia juga sering bersifat seperti seorang yang bijak dan tahu segalanya dan dia benar seorang yang bijak dan tahu kebanyakan perkara tetapi pembawaannya tidak terasa seperti seorang yang sombong atau menjengkelkan tetapi lebih kepada terasa seperti kebudak-budakan. Manakala Kim Han-Saem pula seorang yang lebih serious dan sangat komited di dalam mencari kebenaran.

Satu perkara yang saya boleh katakan, dan ia mungkin menjadi perkara yang positif ataupun negatif mengenai siri ini. Ia bermula sebagai satu siri mengenai siasatan pembunuhan, ataupun saya boleh katakan sebagai murder mystery, akan tetapi sepanjang siri ini, ia semakin jelas yang itu bukanlah genre utama untuk siri ini tetapi lebih kepada satu genre yang berlainan. Saya tidak akan nyatakan genre apa, kerana ia mungkin menjadi beberan tetapi bagi yang menontonnya saya yakin anda kemudian dapat menjangkakan apa genre utama bagi siri ini.
Bagi saya ia adalah perkara yang baik, kerana genre tersebut juga merupakan antara genre yang saya sukai akan tetapi jika anda menonton siri ini dan mengharapkan sesuatu yang lebih kepada murder mystery, anda mungkin terasa sedikit kecewa, tetapi saya yang juga meminati genre tersebut masih menyukainya kerana misteri-misteri yang disampaikan masih lagi baik dan masih boleh dikatakan sebagai satu siri murder mystery yang berkesan walaupun bukan satu genre utama.

Akhir kata, Nine Puzzles merupakan satu siri yang bermula dengan baik sebagai satu siri murder mystery, tetapi kemudian berubah menjadi satu genre baharu yang masih lagi menarik bahkan membantu untuk menjadikan segala misteri yang ada di dalam siri ini sangat berbaloi untuk dirungkaikan bersama dengan watak-watak di dalamnya. Ia satu siri yang padat, misteri yang menarik dan penyampaian yang sangat berkesan terutama melalui dua watak utama.
Penafian: Ulasan ini adalah berdasarkan kesemua 11 episod yang disediakan oleh Disney+ Hotstar. Enam episod pertama sudah disiarkan di Disney+ Hotstar dengan 5 lagi episod akan tiba secara mingguan.


