Acer melalui jenama Nitro mereka sering hadir dengan produk-produk khusus untuk permainan video dengan harga yang lebih berpatutan. Penawaran terbaru mereka adalah monitor 23.8-inci iaitu Acer Nitro KG241YP3 yang dilancarkan pada tahun ini. Ia merupakan monitor yang menyertakan segala fungsi yang diinginkan oleh pemain permainan video seperti kadar segar semula 180Hz, kadar reaksi 1ms, dan juga sokongan teknologi AMD FreeSync tetapi dengan harga tawaran yang berpatutan iaitu RM379.

Rekaan
Dengan skrin bersaiz 23.8-inci, ia adalah satu monitor yang mudah untuk diuruskan, tidak terlalu berat dan tidak terlalu besar sesuai dengan pelbagai jenis keadaan meja ataupun penggunaan. Pendiri yang diberikan adalah ringkas dengan apabila ia dipasang, ia sekadar menyokong kecondongan ke atas dan ke bawah sahaja dan tidak boleh ditinggikan ataupun direndahkan. Oleh itu, jika monitor ini terlalu tinggi atau terlalu rendah ia mungkin akan menjadi sedikit masalah. Namun, monitor ini menyokong sambungan VESA oleh itu jika anda menggunakan pendiri ataupun lengan monitor, ia boleh digunakan tanpa sebarang masalah.


Punat kawalan terletak di bahagian belakang yang mudah untuk diakses dan juga digunakan, punat juga sangat responsif. Saya masih gemar jika ia diletakkan di bawah monitor kerana ia lebih mudah, tetapi kedudukan ini bukanlah satu masalah besar, hanya bermasalah jika anda meletakkan monitor jauh ataupun dengan kedudukan lebih tinggi. Punat kawalan ini merupakan satu-satunya punat ataupun butang yang ada, oleh itu mengawal tetapan menjadi lebih ringkas dan saya boleh katakan lebih cepat berbanding beberapa butang yang berbeza.
Paparan
Acer Nitro KG241YP3 menggunakan panel VA yang membantu di dalam mengurangkan harga akan tetapi kesannya adalah penyampaian warna yang kurang ‘hidup’. Gambar atau video yang dipaparkan melalui monitor ini kelihatan pudar dan kurang menarik, oleh itu ia tidaklah memberi kualiti yang terbaik untuk bermain permainan video dan juga menonton kandungan hiburan. Namun, ia bukanlah kualiti yang saya katakan tidak baik, ia masih memberikan paparan dan warna yang lebih natural dan bagi anda yang menyukai gaya ini, ia akan memberi pengalaman yang lebih baik.


Satu perkara positif, sangat positif untuk monitor ini adalah sokongan HDR dan juga anda bermain ataupun menonton kandungan yang menyokong HDR ia akan kelihatan jauh lebih baik kerana penyampaian warna hitam yang lebih baik membuatkan warna-warna lain turut menyerlah. Oleh itu, jika ada sahaja kandungan yang menyokong HDR ini, saya akan memastikan untuk menggunakannya kerana ia adalah jauh lebih baik berbanding paparan biasa, ataupun melihat kandungan SDR.


Lebih penting lagi, seperti saya nyatakan di atas, monitor ini menyokong kebanyakan perkara yang diinginkan oleh pemain permainan video. Kadar segar semula 180Hz, yang memastikan anda mendapat kelancaran terbaik untuk sesi bermain, tambahan pada itu kadar reaksi 1ms juga akan memastikan sesi permainan terutama yang kompetitif tidak terganggu kerana masalah kependaman. Ini ditambah lagi dengan sokongan HDR dan juga teknologi seperti FreeSync tidak banyak perkara lain yang diinginkan daripada satu monitor permainan video.
Lain-lain
Monitor ini juga menyertakan speaker terbina, dan saya boleh katakan kualiti yang diberikan sangat memuaskan terutama bagi speaker monitor. Saya meluangkan masa yang lama bermain dan menonton kandungan hiburan dengan sekadar menggunakan speaker di monitor ini tanpa sebarang masalah. Sudah semestinya range bunyi bukanlah sebaik speaker kendiri, tetapi bagi untuk kegunaan sementara, ataupun kegunaan secara kasual ia sudah memuaskan.


Bagi sambungan, ia menyertakan satu DisplayPort (1.2) dan satu HDMI (2.0) yang boleh dikatakan sebagai mencukupi, bagi set up satu PC menggunakan DP dan satu konsol menggunakan HDMI, akan tetapi jika anda mempunyai lebih daripada satu konsol, seperti saya, satu sahaja sambungan HDMI bukanlah yang terbaik. Namun, ia merupakan masalah yang khusus sahaja, dan bukan masalah yang umum kerana dua sambungan untuk satu monitor lebih daripada mencukupi untuk penggunaan biasa.
Rumusan
Akhir kata, dengan harga RM379, Acer Nitro KG241YP3 tidaklah mempunyai paparan terbaik kerana menggunakan panel VA, tetapi dengan sokongan HDR yang menjadikan paparan kandungan yang menyokongnya lebih baik, ditambah lagi dengan sokongan kadar segar semula sehingga 180Hz dan kadar reaksi 1ms menjadikan ia satu monitor ditawarkan dengan harga berpatutan tetapi check all the boxes bagi satu monitor yang diinginkan oleh pemain permainan video.