Apple hari ini telah mengumumkan generasi baharu untuk Mac Mini mereka selain hadir dengan cip pemprosesan baharu iaitu M4 dan M4 Pro, ia juga hadir dengan rekaan serba baharu dan menjadi Mac Mini terkecil pernah dihasilkan oleh mereka.
Mac Mini yang mempunyai rekaan seakan Apple TV ini, hanya sebesar 5×5 inci sahaja iaitu footprint separuh lebih kecil berbanding model sebelum ini, rekaan kecil ini berjaya dihasilkan kerana penggunaan Apple Silicon dan juga teknologi termal yang digunakan.
Bagi Mac Mini yang menggunakan cip M4, ia hadir dengan CPU dan GPU 10-teras, dan sekarang bermula dengan 16GB RAM.
Jika dibandingkan dengan Mac Mini (2018) yang menggunakan Intel Core i7, model baharu mempunyai 13.3x prestasi permainan yang lebih tinggi untuk permainan World of Warcraft: The War Within, atau 2.2x lebih prestasi dibandingkan dengan Mac Mini menggunakan M1.
Mac Mini dengan M4 ditawarkan dengan harga RM2,499 untuk 16GB RAM dan 256GB storan atau RM3,349 untuk 16GB RAM, 512GB Storan dan RM4,199 untuk 24GB RAM dan 512GB Storan.
Bagi yang inginkan lebih kuasa, model dengan M4 Pro juga ditawarkan dengan harga RM5,999 dan menyertakan 24GB RAM dan 512GB Storan.
Selain rekaan yang lebih kecil, dua port USB-C juga disertakan di bahagian depan bersama dengan picu audio untuk lebih memudahkan akses berbanding kesemua di bahagian belakang sebelum ini.
Buat masa ini tarikh pelancaran di Malaysia masih tidak diumumkan tetapi dikatakan dalam masa terdekat.