Xiaomi hari ini secara rasminya memperkenalkan telefon mercu mereka generasi terkini, iaitu Xiaomi 15. Ia hadir dengan cip Snapdragon 8 Elite yang diumumkan Qualcomm baru-baru ini, sekaligus menjadikan Xiaomi 15 antara telefon terawal menggunakan cip mercu tersebut.

Xiaomi 15 hadir dengan skrin bersaiz 6.36-inci dengan panel OLED. Ia membawakan paparan pipih, dan tidak melengkung seperti beberapa peranti lain. Paparan OLED berkenaan turut menawarkan sokongan kadar segar semula mencapai 120Hz, selain kadar kecerahan 3200-nits.

Pada bahagian kamera, Xiaomi menyertakan tri-kamera utama 50MP Summilux – termasuk 50MP ultra-lebar dan 50MP telefoto dengan keupayaan zum 5x. Pada bahagian hadapan, ia menyertakan kamera 32-megapixel. Menguasakannya adalah bateri 5400mAh, serta sokongan pengecasan berwayar 90W.

Xiaomi dilihat memfokuskan kepada prestasi tinggi, selain sokongan kamera yang baik, apatah lagi dengan penjenamaan Leica. Melengkapkan telefon pintar ini adalah sistem operasi Xiaomi HyperOS 2.0 yang terbaru.

Buat masa ini, Xiaomi 15 hanya diumumkan di China sahaja, dan hadir dengan pilihan memori bermula 12GB RAM, sehingga 16GB RAM, selain storan dengan pilihan bermula 256GB sehingga 1TB. Ia tidak diketahui lagi bilakah peranti ini akan memasuki pasaran Malaysia.

Leave a Reply