Bulan September atau Oktober setiap tahun kita akan menerima permainan EA Sports FC yang baharu (FIFA sebelum ini) dan begitulah juga bagi tahun ini melalui EA Sports FC 25. Mungkin bagi yang tidak terlalu bermain permainan simulasi bola sepak ini akan tertanya, bagaimana permainan ini dilancarkan setiap tahun tetapi perubahan yang di bawa adalah sedikit. Namun, saya secara peribadi, tidak banyak perkara yang boleh dilakukan untuk tatamain utama kerana di penghujungnya, ia masih lagi satu permainan simulasi bola sepak.
Oleh itu, sudah lama saya tidak merasakan yang tiada perubahan yang besar merupakan satu masalah untuk EA Sports FC, akan tetapi bagi saya EA mempunyai satu masalah yang lebih besar, iaitu keseimbangan di antara beberapa perkara yang menjadi bahagian penting di dalam permainan ini. Setiap tahun, berbanding melakukan perubahan, EA lebih mencari keseimbangan yang lebih di dalam apa yang mereka ingin capai dan perkara yang sama juga bagi tahun ini.

Melalui ulasan ini, saya akan memfokuskan kepada keseimbangan yang cuba dilakukan oleh EA, sama ada berjaya ataupun tidak. Jika anda ingin membaca mengenai pendapat saya melalui tatamain dan mod-mod yang disertakan anda oleh lakukannya melalui artikel Pandang Pertama. Perkara keseimbangan pertama yang EA cuba lakukan, keseimbangan di antara Mod dan FUT. FUT atau Ultimate Team merupakan mod utama di dalam FC untuk sekian lama, dan ia tidak mengejutkan kerana ia merupakan penjana kewangan pertama bagi permainan ini.
EA cuba menjadikan mod-mod lain dengan lebih menarik seperti Career Mode, untuk pengurus dan juga sebagai pemain. Penambahan yang disertakan, terutama bagi pengurus dengan bahagian taktik dan juga perkembangan pemain. Ia baik dan seronok terutama bagi pemain yang ingin mengurus secara mikro. Namun, setiap tahun ia mempunyai satu masalah besar yang saya gelar sebagai logik enjin. Sepanjang saya bermain, sentiasa ada perkara yang bagi saya tidak logik berlaku yang membuatkan pengalaman simulasi menjadi pengurus terasa cacat.

Keseimbangan untuk dua perkara ini tidak dicapai dengan FUT masih lagi menjadi penarik dengan bahagian-bahagian lain terasa seperti sampingan sahaja. Ia bukan masalah untuk saya, dan bukan masalah untuk EA akan tetapi bagi pemain yang sekadar ingin bermain mod-mod bukan kompetitif atau luar talian, ia agak mengecewakan dan sebenarnya tidak berbaloi untuk membeli permainan ini setiap tahun jika bukan untuk bermain FUT.
Seterusnya adalah mengenai FUT, keseimbangan yang ingin dicapai oleh EA adalah untuk memberi tahap pertandingan yang tinggi bagi pemain yang inginkannya dan juga memberi perkara lain bagi pemain yang lebih ingin bermain secara kasual. EA telah memperkenalkan beberapa perubahan untuk Champions, Rivals, Squad Battles, dan juga memperkenalkan mod baharu Rush.

Bagi Champions, EA mengurangkan jumlah permainan untuk kelayakan dan Champions, menjadikan ia lebih pantas dan pada masa yang sama lebih sukar. Jika sebelum ini, bagi kelayakan saya perlu menang 4 daripada 10 perlawanan, kali ini ia adalah 3 daripada 5 perlawanan sahaja. Idea untuk EA, ia adalah untuk memastikan semua yang layak ke Champions adalah pemain yang berkelayakan.
Manakala Rivals, selain menyertakan penyingkiran untuk Division yang lebih tinggi, saya juga kini memerlukan 15 kemenangan untuk mendapat Upgrade Rewards berbanding 10 di dalam FC 24, ia memerlukan lebih banyak permainan, jika saya menang kesemua perlawanan pun saya masih memerlukan 15 kemenangan, dengan rekod saya yang boleh dikatakan 50% menang, saya memerlukan 30 perlawanan setiap minggu untuk mendapat Upgrade Rewards tersebut, namun ganjaran yang diberikan adalah lebih menarik.

Squad Battle pada FC 25 dipendekkan minit permainan, bagi FC 25, EA mengambil satu lagi langkah drastik dengan mengurangkan jumlah perlawanan daripada 34 setiap minggu kepada 14 sahaja. Ini merupakan satu langkah yang baik kerana Squad Battle bukanlah satu mod yang seronok untuk dimainkan, tetapi ia juga mengakibatkan lebih sukar untuk mendapat tahap yang lebih tinggi.
Perubahan-perubahan ini seperti saya nyatakan sebelum ini merupakan langkah yang diambil oleh EA untuk mengimbangkan pemain yang ingin bermain secara kompetitif dan bagi pemain yang ingin bermain secara kasual. Namun, saya boleh katakan yang buat masa ini ia terasa lebih kepada pemain yang ingin bermain secara kompetitif dan mungkin akan mencetus masalah pemain yang ingin bermain secara kasual, hilang semangat untuk bermain dan akan meninggalkan sesuatu mod yang akan mencetus masalah yang lain.

Mungkin idea EA adalah bagi pemain yang tidak layak untuk ke Champions, dapat luangkan masa untuk mendapatkan kemenangan di Rivals, jika meluangkan masa tidak terlalu lama di Squad Battle, pemain akan meluangkan masa di mod-mod yang lain. Tambahan itu, EA juga menambah Rush yang ingin memberi satu lagi tempat untuk pemain kasual bermain tanpa rasa tekanan kompetitif. Namun, Rush adalah menarik seperti saya nyatakan di dalam pandang pertama tetapi majoriti sesi permainan adalah sama ada saya menang atau saya akan kalah secara besar-besaran menjadikannya ia kurang menarik selepas satu jangka masa.
Keseimbangan seterusnya adalah satu keseimbangan yang semakin bermasalah dari tahun ke tahun. Selepas pengenalan HyperMotion, EA ingin menjadikan pergerakan pemain lebih realistik dengan pelbagai animasi disertakan. Namun, pada tahun ini, penambahan animasi-animasi ini menjadikan sesi permainan tidak menentu dan sukar untuk dijangkakan. Masalah utama yang berlaku adalah setiap animasi terasa perlahan, yang tiada masalah untuk ditonton tetapi ia memberikan perasaan kurang responsif sesuatu yang tidak baik bagi permainan seperti ini.

Benar, menjadikan sesi permainan terasa realistik merupakan satu perkara yang bagus untuk dicapai, tetapi pada masa yang sama EA perlu memberi ingat yang ini merupakan satu permainan video sahaja. Jika saya menekan sesuatu butang saya mengharapkan ia melakukan apa yang saya ingin lakukan dan bukan mengambil masa beberapa mili-saat untuk menghabiskan animasi sebelum ia dilakukan. Bagi saya, ia memberikan rasa kurang dalam kawalan. Satu permainan akan terasa bermasalah jika menang atau kalah tidak memberikan perasaan yang positif.
Terakhirnya saya ingin katakan adalah keseimbangan sesi permainan yang positif dan juga negatif. Perkara ini juga masih merupakan kekurangan untuk permainan ini buat sekian yang lama, dan saya rasakan FC 25 merupakan satu-satunya permainan dalam talian yang kompetitif tidak mempunyai fungsi melaporkan pemain yang tidak bermain dengan baik. Jika anda lihat mana-mana permainan sebegini, bahkan Apex Legends yang juga oleh EA juga mempunyai fungsi ini.

Satu perkara yang bagi saya yang mengganggu sesi permainan adalah pemain yang tidak bermain tetapi memasuki perlawanan, perkara ini lebih jelas lagi dengan pengenalan mod Rush. Setiap sesi perlawanan ada sahaja pemain yang masuk sesuatu perlawanan dan tidak bermain. Saya seharusnya dapat melaporkan perkara ini dan EA boleh mengambil tindakan agar dapat memastikan pengalaman yang lebih positif.
Saya boleh jangkakan yang sebab utama mereka tidak menyertakan perkara ini adalah kerana tidak ingin meluangkan masa dan wang ringgit untuk sistem kawalan. Namun, dengan setiap tahun permainan ini menjana pendapatan yang tinggi, tambahan pada itu ia merupakan satu permainan berbayar sedangkan permainan lain yang percuma untuk dimainkan boleh menyertakan fungsi ini.

Akhir kata, seperti percubaan sebelum ini, EA masih sedang mencari untuk memberi keseimbangan bagi permainan simulasi bola sepak mereka ini, akan tetapi walaupun beberapa penambahan yang disertakan keseimbangan masih tidak dicapai. Ia masih terasa sangat kompetitif dan menjadi tidak menarik untuk bermain secara kasual, ini ditambah lagi dengan ‘bad actor’ yang mengganggu pengalaman bermain tetapi tiada cara untuk melaporkannya. Animasi yang kelihatan menarik kerana realistik tetapi memberi kos terhadap perasaan responsif semasa bermain. Ia memerlukan beberapa perubahan lagi, dan sebelum itu saya masih akan meluangkan ratusan jika tidak ribu jam bermain.


