EA Sports FC 25, permainan seterusnya di dalam siri simulasi bola sepak paling popular ini akan dilancarkan secara rasmi pada 27 September, akan tetapi sebilangan pemain yang membeli edisi Ultimate sudah dapat memulakan sesi permainan mereka pada 20 September, saya sudah meluangkan masa bermain lebih kurang 2 hari ini dan berikut adalah pandang pertama untuk EA Sports FC 25.
Permainan ini masih terasa satu peningkatan tahunan dan bukan peningkatan besar-besaran oleh itu, ia masih terasa seperti permainan EA Sports FC 24, ataupun FIFA sebelum ini. Namun terdapat beberapa penambahan yang saya rasakan sangat menyerlah iaitu Rush. Rush merupakan mod permainan 5 lwn 5, berbeza dengan Volta ia masih terasa seperti bermain sesi permainan biasa, hanya di padang yang lebih kecil dan lima orang pemain.


Berbeza dengan Volta juga, Rush bukan mod kendiri, sebaliknya ia mod permainan yang disertakan di dalam mod-mod yang lain termasuk juga Ultimate Team yang menjadikannya jauh lebih baik dan menarik berbanding Volta. Melalui Rush, anda boleh menyertai pemain lain secara rawak ataupun bermain bersama rakan sehingga 5 pemain. Di dalam Ultimate Team, anda hanya boleh gunakan pemain yang ada di dalam kelab dan Rating dihadkan kepada jumlah yang tertentu. Bagi saya Rush menarik kerana ia satu permainan yang cepat, ditambah lagi jika bermain bersama dengan rakan, namun ada masa ia menjadi sedikit menjengkelkan jika ada sepasukan yang bermain dengan kurang baik seperti kehilangan bola terlalu kerap, kerana sedikit kesalahan boleh terus membawa kepada bolos kerana padang yang kecil dan juga jumlah pemain yang sedikit untuk menjaga setiap bahagian.
Bagi Ultimate Team, mereka mengubah sedikit bagaimana Evolution berfungsi, tetapi saya baru sahaja bermula dan tidak sempat untuk melihat dengan lebih lanjut mengenai perkara ini, oleh itu pendapat lanjut saya akan kongsi-kan semasa ulasan kelak. Penambahan untuk mod ini yang saya terus perasan adalah Rivals yang sekarang menggunakan sistem markah berbanding jumlah kemenangan untuk mendapat ganjaran mingguan. Ia memerlukan lebih banyak kemenangan, tetapi pada masa yang sama, seri juga kini memberi 1 markah, mengurangkan kejengkelan jika ada pemain lawan yang keluar daripada sesi permainan lebih awal semasa keputusan adalah seri.


Satu lagi penambahan yang memberi kesan kepada keseluruhan permainan adalah FC IQ yang mengubah bagaimana taktik dan juga peranan pemain dilakukan, semasa percubaan awal, saya dapati yang peranan pemain dan juga taktik memainkan peranan yang penting semasa sesi perlawanan. Sebelum ini saya terasa formasi hanya penting untuk pergerakan pemain, tetapi melalui FC IQ, ia lebih menyeluruh dan saya berharap ia akan memastikan yang meta Ultimate Team tidak terhad kepada satu atau dua taktik sahaja, sesuatu yang membuatkan saya sedikit bosan dengan Ultimate Team semasa FC 24.
FC 25 juga memberi lebih perhatian untuk mod Career kali ini, bagi pemain dan juga pengurus. Kebanyakan fokus ini diberikan untuk perbanyakkan lagi pengurusan mikro yang boleh dilakukan oleh pemain jika mereka inginkan untuk memastikan kelab digerakkan ataupun perkembangan pemain adalah seperti yang dikehendaki. Selain itu, Career pemain juga membolehkan saya memilih legenda bola sepak seperti Beckham, Zidane atau Ronaldo – anda akan bermula dengan Rating yang tinggi oleh itu ia terasa kurang menarik jika ingin melihat pemain bermula dari awal hingga menjadi pemain terbaik. Bagi Career pengurus pula, saya boleh memilih pengurus dunia sebenar seperti Pep Guardiola ataupun Erik Ten Hag.


Saya tidak akan terlalu sentuh mengenai tatamain di pandang pertama ini ataupun semasa ulasan kelak, ini adalah kerana tatamain akan sentiasa bertukar apabila tampalan dilakukan. Namun, semasa permulaan ini, saya merasakan yang sesi permainan terasa lebih perlahan, setiap pemain lebih berdisiplin bagi positioning mereka, mereka berada di tempat yang saya harap ataupun jangkakan untuk mereka berada. Sesi permainan juga kini lebih mementingkan perubahan formasi semasa bermain, terutama melalui FC IQ yang saya nyatakan di atas. Oleh itu, saya boleh katakan yang tatamain terasa sedikit perubahan tetapi tidak akan menjadi janggal untuk pemain yang sudah biasa bermain, dan seperti biasa ia akan berubah dari semasa ke semasa.
Akhir kata, EA Sports FC 2025 tidak membawa perubahan yang besar berbanding FC 24, akan tetapi beberapa perubahan yang disertakan iaitu Rush dan FC IQ memberi kesan kepada pelbagai mod dan tidak terhad kepada Ultimate Team sahaja, dan ia merupakan satu kesan yang positif. Rush satu mod yang menarik dan FC IQ boleh menjadikan sesi permainan lebih pelbagai. Saya juga menyukai EA memberi lebih fokus untuk memastikan permainan ini tidak terhad kepada Ultimate Team sahaja, dengan mod-mod lain juga diberikan sentuhan untuk menggalakkan pemain bermain dengan lebih meluas. Sama ada ia berjaya ataupun akan memerlukan lebih masa, dan nantikannya di ulasan kelak.


