Seoul Busters merupakan satu siri Korea yang sudah mula disiarkan di Disney+ Hotstar sejak 11 September lepas dan akan berterusan tiba secara mingguan sehingga 20 episod. Siri ini memfokuskan kepada sekumpulan polis Jenayah Kekerasan yang dipanggil sebagai Violent Crime Team 2. Terdiri daripada Mu Jung-ryeok lakonan Park Ji-hwan, Jeong Jeong-hwan lakonan Seo Hyun-woo, Seo Min-seo lakonan Park Se-wan, dan Jang Tan-sik lakonan Lee Seung-woo.

Mereka bukanlah sekumpulan polis atau penyiasat terbaik, pada awal episod pertama diperlihatkan yang bagaimana mereka melakukan pelbagai kesalahan untuk menangkap penjahat yang mengakibatkan ketua mereka dipindahkan. Mereka kemudian menerima ketua baharu iaitu Dongbang Yu-bin lakonan Kim Dong-wook yang merupakan seorang polis yang mempunyai pelbagai pencapaian termasuk juga dari luar negara.

Dia ditawarkan jawatan untuk menjadi polis atasan, tetapi memilih untuk terlibat dengan jenayah kekerasan secara dekat bagi mempertingkatkan lagi kemahirannya. Walaupun kelihatan bijak, dia mempunyai perangai dan juga jenaka yang aneh. Namun, dengan pengurusannya termasuk juga kemahiran yang di bawa Violent Crime Team 2 mula menjadi lebih baik dan perhubungan di antara mereka semua juga jadi lebih baik.

Siri ini biasanya menyertakan satu jenayah yang berlanjutan untuk dua episod dengan mereka akan bersama cuba menyelesaikannya. Dengan mereka menyiasat jenayah kekerasan, antara kes-kes yang terlibat adalah kes bunuh dan juga kes pukul. Namun, setiap jenayah ini mempunyai kelainan tersendiri yang menjadikan ia menarik untuk diikuti.

Setiap episod akan mempunyai siasatan yang dilakukan dengan baik, tidaklah boleh dibandingkan siri atau filem yang menjadikan ‘whodunit’ sebagai fokus, sebaliknya ia sekadar mencukupi untuk menjadi setiap siasatan mempunyai misteri tersendiri dengan fokus siasatan akan berubah dari semasa ke semasa selepas menerima maklumat yang baharu.

Fokus utama ataupun tarikan utama saya menonton siri ini adalah tingkah laku mereka yang ada sahaja karenah yang mencuit hati. Ia bukan sekadar kesalahan yang dilakukan tetapi juga perkara-perkara yang bagus untuk siasatan tetapi masih melucukan. Dongbang Yu-bin walaupun kelihatan seorang polis yang berkarisma juga mempunyai perkara janggal yang tersendiri.

Walaupun, setiap adegan akan membuatkan saya ketawa tetapi siri ini juga pandai menyelitkan sesuatu yang lebih serious, terutama di dalam pembinaan watak ataupun di dalam menyampaikan kisah jenayah yang berlaku. Campuran ini saya boleh dikatakan dilakukan dengan baik yang membuatkan siri ini tidak terlalu komedi sehinggakan hilang bahagian siasatan dan jenayah. Setiap episod mempunyai jumlah yang mencukupi untuk menyampai komedi dan juga jenayah.

Oleh kerana setiap dua episod akan mempunyai jenayah yang berlainan, sekurang-kurangnya pada awal siri ini tiada satu penceritaan yang berterusan. Ia tidak menjadi masalah dan ia juga menjadikan ini satu siri untuk tontonan yang tidak mendesak akan tetapi saya juga merasakan yang jika terdapat sesuatu yang menjadi satu yang disampaikan secara berterusan, tidak semestinya jenayah itu sendiri, ia akan menjadi lebih menarik dan lebih sebab untuk menantikan dari episod ke episod seterusnya.

Akhir kata, Seoul Busters merupakan satu siri penyiasatan komedi yang menarik, jenayah-jenayah yang diperlihatkan mencukupi untuk mengisi setiap episod, komedi yang disampaikan juga mencuit hati dan akan membuatkan saya gelak ketawa dengan pelbagai kejadian aneh, tetapi pada masa yang sama juga diselitkan dengan adegan-adegan yang serious termasuk juga dengan penuh emosi. Satu kekurangan saya rasakan adalah tiada satu penceritaan yang berterusan.

Seoul Busters
Satu siri penyiasatan komedi yang menarik, jenayah-jenayah yang diperlihatkan mencukupi untuk mengisi setiap episod, komedi yang disampaikan juga mencuit hati dan akan membuatkan saya gelak ketawa dengan pelbagai kejadian aneh, tetapi pada masa yang sama juga diselitkan dengan adegan-adegan yang penuh emosi.
Positif
Adegan komedi melucukan
Perwatakan yang menarik
Negatif
Tiada satu penceritaan yang berterusan
8

Leave a Reply

Final Score