Apple hari ini telah mengumumkan secara rasmi iPhone generasi baharu mereka iaitu iPhone 16 dan seperti biasa ditawarkan dengan empat pilihan model iaitu iPhone 16, iPhone 16 Plus, iPhone 16 Pro dan iPhone 16 Pro Max.
iPhone 16 & iPhone 16 Plus
iPhone 16 hadir dengan skrin bersaiz 6.1-inci manakala iPhone 16 Plus dengan skrin 6.7 inci, kedua dua model menggunakan skrin Super Retina XDR Display, panel OLED dengan resolusi 2556×1179 dan 2796×1290 untuk model Plus.
Kedua-dua model juga menggunakan cip pemprosesan A18 yang diumumkan menyokong permainan ‘AAA’. Bagi rekaan ia tidak mempunyai banyak perbezaan dengan iPhone 15 selain menyertakan butang tambahan yang khusus untuk penggunaan kamera dan juga butang pelbagai guna menggantikan suis.
iPhone 16 dan iPhone 16 Plus ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu Black, White, Pink, Teal, dan Ultramarine dengan tiga pilihan storan iaitu 128GB, 256GB dan 512GB.
iPhone 16 ditawarkan dengan harga bermula RM3,999 manakala RM4,499 untuk iPhone 16 Plus. Sesi pra-tempahan dibuka pada 13 September dan mula dipasarkan pada 20 September 2024.
iPhone 16 Pro & iPhone 16 Pro Max
iPhone 16 Pro menyertakan skrin bersaiz 6.3-inci, manakala iPhone 16 Pro Max dengan skrin bersaiz 6.9-inci, menggunakan panel Super Retina XDR Display, dengan sokongan ProMotion ataupun kadar segar semula sehingga 120Hz. Pro menyertakan resolusi 2622×1206 dan Pro Max 2868×1320.
Kedua-dua model ini menggunakan cip pemprosesan A18 Pro dan untuk rekaan ia menambah butang kamera yang memudahkan untuk mengambil gambar dan juga menukar tetapan kamera.
Model telefon ini ditawarkan dengan empat pilihan warna iaitu Black Titanium, White Titanium, Natural Titanium, dan Desert Titanium. Pilihan storan pula, model Pro mempunyai empat pilihan iaitu 128GB, 256GB, 512GB, dan 1TB manakala Pro Max tidak menawarkan pilihan 128GB.
iPhone 16 Pro ditawarkan dengan harga bermula RM4,999 manakala iPhone 16 Pro Max dengan harga RM5,999. Sesi pra-tempahan dibuka pada 13 September dan mula dipasarkan pada 20 September 2024.