Skip to main content

Batman: Caped Crusader merupakan siri animasi terbaru yang menggunakan watak adiwira DC iaitu Batman. Siri ini dihasilkan oleh Bruce Timm yang sebelum ini pencipta bersama untuk Batman: The Animated Series, J. J. Abrams dan juga Matt Reeves yang merupakan pengarah bagi filem The Batman yang diterbitkan pada tahun 2022. Siri ini membawa kisah baharu untuk Batman dan menggunakan latar masa 1940-an. Siri ini mempunyai 10 episod dengan kesemua episod akan tiba di Prime Video pada 1 Ogos 2024.

Di dalam siri ini, Batman masih hijau dan untuk beberapa episod yang pertama polis dan juga beberapa watak masih tidak pasti dengan kewujudan Batman, tetapi siri ini juga tidak terlalu meluangkan masa untuk memperlihatkan kisah di sebalik bagaimana Bruce Wayne menjadi Batman, adegan ibu bapanya terbunuh contohnya, masih diperlihatkan tetapi sebagai pengisian ataupun sebagai latar belakang sahaja dan bukan menjadi fokus utama.

Bagi saya siri ini sangat berjaya menjadikan Batman sebagai seorang detektif, dengan setiap episod mempunyai misi tersendiri dan Batman perlu menyiasat menggunakan segala bukti yang ada untuk mencari siapa yang terlibat. Saya boleh katakan yang setiap episod mempunyai jalan cerita yang berlainan hanya beberapa episod sahaja yang boleh dikatakan sambungan untuk satu sama lain. Ini adalah baik untuk menjadikan penceritaan menarik, tetapi kekurangan satu plot utama menjadikan siri ini kekurangan dorongan ataupun tarikan yang konsisten. Ia bukan masalah besar, tetapi serba sedikit mengurangkan pengalaman tontonan.

Siri ini juga sangat baik di dalam memastikan setiap watak yang diperkenalkan memainkan watak mereka dengan baik dan memberi ruang untuk ia berkembang walaupun muncul untuk beberapa episod sahaja. Saya sangat suka bagaimana untuk beberapa pertama, setiap episod mempunyai fokus kepada satu atau dua watak selain Batman, sebagai pengenalan dan episod seterusnya watak lain pula diberikan perkara yang sama sebelum watak-watak ini hadir bersama di dalam episod yang lain. Ini memastikan setiap watak tersebut menjadi lebih menarik bahkan saya boleh katakan yang watak-watak sampingan ini lebih memberi kesan di dalam penceritaan berbanding Batman sendiri.

Seperti yang saya nyatakan di atas, Batman masih baru di dalam menjadi caped crusader ini oleh itu terdapat banyak adegan yang saya rasakan Batman melakukan kesalahan yang amatur ataupun sering sampai lambat ke sesuatu tempat yang mencipta masalah, jika siri ini mengenai Batman yang sudah berpengalaman saya mungkin akan menganggap ia sebagai satu perkara negatif, tetapi kerana ini Batman baru, saya menerimanya dan merasakan perkara ini membantu untuk mengembangkan lagi watak Batman kemudian, jika siri ini diteruskan dan juga memberi peluang kepada watak-watak lain untuk mengambil pentas dan tidak terlalu memfokuskan kepada Batman sahaja.

Bruce Timm mengatakan yang beliau tidak ingin menghasilkan siri sambungan kepada Batman: The Animated Series, akan tetapi gaya animasi yang digunakan jelas mengekalkan gaya yang sama dengan siri tersebut, termasuk juga beberapa adegan yang mungkin mengimbau kenangan untuk peminat. Animasi pertempuran, penggunaan gajet, rekaan bandar dan juga rekaan watak bagi saya adalah baik dan bersesuaian dengan tone penceritaan yang dibawa dan juga dengan latar masa bagi siri ini.

Lakonan suara pula Hamish Linklater membawa watak Bruce Wayne dan juga Batman, saya sebelum ini hanya mengenali beliau di dalam filem The Big Short membawa watak Porter Collins dan saya boleh katakan berpuas hati dengan lakonan suaranya, mungkin tidak membawa personaliti tersendiri, masih terasa seperti Batman yang kita kenal, namun mungkin itu adalah perkara yang positif berbanding negatif. Pelakon-pelakon suara lain juga melakukan satu penyampaian yang baik, saya tidak akan menyenaraikan di sini kerana melihat sendiri watak-watak yang membuat penampilan di dalam siri ini adalah antara perkara yang menarik untuk saya.

Akhir kata, Batman: Caped Crusader bukanlah pembawaan yang baharu di dalam kisah penceritaan Batman, masih terdapat banyak kesamaan dengan kisah-kisah yang sudah disampaikan sebelum ini. Namun, ia bukanlah perkara yang tidak baik, tambahan setiap episod dilakukan dengan baik untuk mempunyai penceritaan tersendiri dan juga pelbagai misteri dilakukan dengan baik, memerlukan Batman untuk menjadi detektif seperti yang saya sentiasa inginkan. Kekurangan satu plot utama untuk menggerakkan penceritaan dan Batman yang masih baru serba sedikit mengurangkan keseronokan tontonan akan tetapi secara umumnya masih satu siri yang menarik dan berbaloi untuk ditonton oleh semua.

Batman: Caped Crusader
Batman: Caped Crusader satu siri animasi yang memuaskan membawa kisah Batman yang tidaklah unik tetapi menarik, dengan Batman masih baru, siri ini memberi lebih fokus kepada watak-watak lain yang masih menguatkan penceritaan.
Positif
Pelbagai misteri disampaikan dengan baik
Kesemua watak memainkan peranan dengan baik
Animasi yang memuaskan
Negatif
Tiada satu plot utama
Batman sering melakukan 'kesilapan'
8

Leave a Reply