The Batman adalah satu filem yang segar untuk genre filem-filem aksi nyata adiwira, ia bukanlah sesuatu yang asli ataupun yang unik, secara jelasnya ia banyak mengambil inspirasi daripada penceritaan Batman dari komik serta filem-filem sebelum ini, terutama komik dan filem animasi Batman: The Long Halloween, namun dengan lambakan filem adiwira lain, The Batman adalah sesuatu yang baharu.

Menjadi berlainan tidak semestinya baik, akan tetapi percubaan berani oleh Matt Reeves untuk membawa penceritaan sebegini bagi adiwira kelawar yang telah lama tidak menerima filem aksi nyata yang baik memberi pengalaman yang sangat memuaskan. Filem adiwira aksi nyata terbaik bagi saya adalah The Dark Knight, The Batman tidak mencapai tahap itu akan tetapi boleh dikatakan ia adalah filem terbaik sejak daripada itu.

Walaupun ia merupakan satu filem yang panjang, hampir 3 jam secara penuh, setiap adegan, setiap bahagian disampaikan dengan sangat baik, 3 jam tidak langsung terasa. Sedikit kekurangan bagi saya adalah di bahagian akhir yang tidak dihasilkan sebaik bahagian-bahagian lain, namun secara keseluruhannya ia adalah satu filem berkualiti tinggi dan harus ditonton oleh semua.

Bruce Wayne dan Batman di dalam filem ini, lakonan Robert Pattinson yang sudah menjadi Batman untuk setahun dua, dan masih tidak berpengalaman. Berbanding menjadi seorang hero, dia ingin menjadi seorang yang ditakuti. Ini disampaikan dengan sangat baik oleh Robert Pattinson dan juga pilihan beberapa bahagian untuknya.

Kebiasaan Batman yang kita ketahui adalah seorang yang berada di dalam gelap dan menyerang secara bersembunyi, menggunakan pelbagai cara untuk mengelirukan lawan, namun Batman kali ini adalah yang memakai kasut bertapak keras, penjahat boleh mendengar dan memberi kegusaran. Tidak mengelak sebaliknya mengambil sebarang serangan secara terus.

Ini juga telah memberi satu ruang yang baik untuk memperlihatkan perhubungan di antara Batman dengan polis yang lebih rumit. Melihat Batman menumbuk seorang polis secara rawak adalah sesuatu yang tidak dijangka tetapi pada masa sama menggambarkan Batman di dalam filem ini dengan baik.

Bercakap mengenai polis, Batman di dalam filem ini juga diberi peluang untuk menjadi “The World’s Greatest Detective“, mungkin tidak mencapai tahap itu, tetapi di dalam filem ini dia diberi lebih peluang untuk menjadi seorang detektif dan saya menyukainya. Namun, ada beberapa adegan di mana, Batman mendapat klu mengenai sesuatu yang disiasat melalui cara yang saya boleh katakan sebagai ‘lazy writing‘.

Kemudian, perwatakan Batman mula perlahan-lahan menjadi Batman yang kita kenali, berbanding sekadar menjadi alat untuk membalas dendam, ia menjadi satu lambang harapan, dan ia sangat-sangat berkesan.

Pada masa sama, Batman terutamanya Bruce Wayne, masih lagi diberi ruang untuk menjadi seorang yang masih keliru dengan apa yang diinginkannya. Walaupun tidak diperlihatkan di dalam filem ini, kematian ibu dan ayahnya masih lagi memberi kesan kepada bagaimana dia membawa diri dan bagi saya berbanding filem-filem yang memperlihatkan bagaimana Thomas dan Martha dibunuh, dengan sekadar memperlihatkan Bruce Wayne melihat seorang kanak-kanak yang baru sahaja menjadi anak yatim, memberi kesan yang lebih besar.

Saya tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai filem-filem Batman yang lain, akan tetapi bagi saya ini adalah pertama kali, ia menyertakan monolog daripada Batman serta Bruce Wayne yang bukan sahaja membantu memberi penjelasan yang baik mengenai keadaan emosi dan mental dirinya, tetapi juga membuatkan seperti saya sedang membaca sebuah komik.

Di satu kutub yang lain, hadir Riddler lakonan Paul Dano yang menjadi watak jahat utama di dalam filem ini. Ia adalah Riddler yang agak berlainan jika ingin dibandingkan dengan apa yang saya biasa kenali untuk watak ini. Saya tidak pasti jika ia ada Riddler yang pernah dibawa di mana-mana komik ataupun filem yang lepas, akan tetapi saya sangat menyukai versi ini, ini ditambah lagi dengan lakonan yang sangat baik oleh Paul Dano.

Bahkan, ia mengingatkan saya kepada Joker di dalam filem Dark Knight, jika dilihat Riddler dan Batman tidak mempunyai perbezaan yang ketara berbanding Riddler, yang bersifat lebih ‘kejam’. Bagi saya kesamaan kedua-dua watak ini, menjadikan perhubungan di antara protagonis dan antagonis adalah sangat menarik dan berpotensi untuk menjadi lebih baik, namun penyampaian sedikit mengecewakan terutama di bahagian akhir.

Selain Batman dan Riddler, The Batman juga membawa watak-watak lain dengan baik seperti Catwoman/Selina Kyle lakonan Zoe Kravitz yang disertakan di dalam dunia Batman dengan baik tidak terlalu memaksa ataupun gopoh, perhubungan dengan Batman juga dilakukan dengan baik dan sekali lagi tidak terasa terlalu memaksa.

Manakala Oswald Cobblepot/The Penguin lakonan Colin Farrell masih lagi membuat saya terkejut itu adalah Colin Farrel. Watak ini di bawa dengan menarik akan tetapi tidak diberi ruang yang cukup untuk lebih berkembang. Namun, jika filem ini diteruskan, saya merasakan dia akan menjadi watak yang sangat penting.

Seperkara lagi yang menjadi kekuatan untuk filem The Batman adalah ia tidak terlalu memfokuskan kepada Batman serta Bruce Wayne, tetapi ia adalah satu filem Gotham, memperlihatkan bagaimana rosak-nya bandar ini yang Batman sendiri masih tidak memahaminya. Seperti saya katakan sebelum ini, ia bukanlah satu pembawaan yang unik, Gotham sering menjadi fokus yang lebih meluas berbanding Batman sendiri, namun filem ini berjaya membawa konsep tersebut dengan baik dan menjadi sebab utama mengapa saya mengatakan ia adalah satu filem adiwira yang segar.

Berbanding sekadar memfokuskan kepada watak utama, baik atau buruk dirinya, sebaliknya ia juga memberi ruang kepada dunia di sekitar untuk bergerak bersama. Gotham mempunyai jiwa dan perkembangan ‘watak’ tersendiri dan bagi saya ia memberi nilai tambah kepada penceritaan dan tidak menjadikan selain adiwira serta penjahat ini, perkara-perkara lain adalah aksesori sahaja.

Membawa tema yang sama dengan Gotham, The Batman secara keseluruhannya adalah sangat gelap dengan banyak adegan-adegan dilakukan dengan ‘malap’, saya merasakan ia akan mempunyai masalah yang sama dengan Game of Thrones jika ditonton di TV, akan tetapi di wayang terutama di dewan besar seperti IMAX, ia adalah sangat cantik.

Ia juga membantu untuk mengekalkan mood di dalam cerita ini, mungkin jenaka sering dikatakan filem DC ‘too dark’, akan tetapi bagi saya, jika ia dilakukan dengan efektif, ia memberi kesan yang lebih baik berbanding filem warna-warni dengan pelbagai jenaka ataupun pertempuran yang seperti satu tarian dan filem ini menggunakan tema tersebut dengan sangat baik.

Terdapat banyak adegan di mana tiada dialog yang dikatakan sebaliknya ia memfokuskan kepada satu atau dua watak sahaja, ditambah dengan muzik runut yang sangat baik, memberi kesan emosi yang jelas dan mudah untuk meremang bulu roma.

Setiap adegan dilakukan dengan teliti, tidak terasa terbazir, tidak kira sesiapa sahaja yang mengambil pentas utama, Batman, Bruce Wayne, Selina Kyle ataupun Riddler, setiap-nya disampaikan dengan sangat berkesan.

Kesemua perkara yang saya nyatakan di atas membantu untuk menjadikan The Batman satu filem yang memberi perasaan berlainan dengan kebiasaan yang kita rasa dari filem-filem adiwira terkini dan saya sangat menghargainya sehinggalah di bahagian akhir. Di mana saya merasakan ia kembali menjadi satu filem adiwira yang biasa dan terasa sangat janggal berbanding bahagian-bahagian lain, akan tetapi ia tidak menjejaskan pengalaman keseluruhan saya menontonnya.

Ia mungkin tidak mencapai potensi sebenar kerana masih lagi bermain dengan elemen yang selamat, terutama untuk watak jahat seperti Riddler akan tetapi ia masih lagi antara filem adiwira yang terbaik dikeluarkan sejak 4-5 tahun yang lepas.

Penafian: Tayangan awal untuk The Batman disediakan oleh Warner Bros. The Batman akan mula ditayangkan pada 2 Mac 2022.

The Batman (2022)
The Batman tidak membawa sesuatu yang baharu ataupun unik berbanding kandungan-kandungan Batman yang lain, akan tetapi masih satu filem adiwira yang segar
Positif
Pembawaan Filem Adiriwa Yang Segar
Lakonan Mantap Oleh Semua Pelakon
Filem Yang Sangat Cantik Dan Berkesan
Negatif
Beberapa Bahagian Tidak Dikembangkan Dengan Cukup
Penutup Tidak Sebaik Pembukaan Dan Pertengahan
9

Sohor Kini