Elden Ring secara rasminya menjadi permainan souls-like pertama yang saya berjaya main dari awal hingga akhir. Saya sentiasa mengelak daripada mencuba permainan sebegini, kerana saya memikirkan yang saya tidak akan menghargainya. Saya mula bermain Lies of P apabila ia ditawarkan di dalam PC Game Pass, akan tetapi sehingga sekarang saya masih tidak menghabiskannya. Oleh itu, tidak mengejutkan walaupun Elden Ring dilancarkan pada tahun 2022, saya tidak pernah mencubanya, saya sentiasa mendengarnya, tambahan lagi merupakan permainan terbaik untuk Tahun 2022 tetapi tidak pernah terlintas untuk mencubanya sendiri.
Sehinggalah FromSoftware melancarkan penambahan untuk permainan ini iaitu Shadow of the Erdtree pada bulan Jun lepas dan Bandai Namco menawarkan permainan ini untuk saya cuba dan mengeluarkan ulasan. Akibat ‘gagal menahan diri’, saya katakan ya, dan pada awal bulan ini bermula pengembaraan saya untuk menghabiskan souls-like pertama saya. Disebabkan saya tidak pernah bermain permainan asal, saya meluangkan masa untuk menghabiskan terlebih dahulu Elden Ring, yang saya mengambil masa lebih 100 jam, sebelum meneruskan dengan penambahan Shadow of the Erdtree yang mengambil masa lebih 30 jam dan saya akhirnya menghabiskan permainan souls-like pertama saya.
Selepas menghabiskannya, saya tidak boleh katakan yang saya sudah mempunyai pandangan yang berbeza mengenai genre ini, pengalaman saya bermain Elden Ring dan juga penambahannya sebenarnya menguatkan lagi perasaan yang genre ini bukanlah genre kegemaran saya dan bukan genre yang saya akan luangkan masa bermain jika tidak perlu. Pada masa yang sama, saya juga boleh katakan yang Elden Ring merupakan permainan terbaik pernah saya mainkan. Setiap bahagian di dalam permainan ini terasa sangat baik, setiap inci dunia yang dihasilkan mempunyai penceritaan tersendiri, penceritaan walaupun penuh dengan persoalan masih sangat menarik, dan pertempuran walaupun sesuatu yang bukan kepakaran saya, ia satu pengalaman yang baik walaupun ada masa menjengkelkan.
Ada masa semasa Elden Ring dilancarkan, terdapat perdebatan di antara pengguna yang mengatakan permainan souls-like perlu mempunyai pilihan tahap kesukaran untuk menjadikannya lebih terbuka untuk pemain-pemain yang tidak meminati permainan yang sukar. Pada waktu itu, saya tidak bersetuju kerana menganggap, jika Elden Ring permainan yang mempunyai tahap kesukaran, permainan ini tidak mempunyai penawaran lain untuk menjadikannya menarik. Saya salah, bukan mengenai tahap kesukaran, saya masih merasakan permainan seperti ini tidak memerlukan tahap kesukaran, tetapi saya salah menganggap selain daripada tatamain yang sukar, Elden Ring tidak mempunyai penawaran lain. Sebaliknya, Elden Ring mempunyai banyak lagi perkara lain yang sangat menarik.
Pertama saya boleh katakan adalah penceritaan, walaupun cara penyampaian jalan cerita di dalam permainan ini bukan kegemaran saya, tetapi daripada apa yang ia sampaikan, penceritaan dipenuhi dengan pelbagai kisah yang menarik, watak yang ditulis dengan baik dan saya sentiasa ingin tahu lebih lanjut mengenai apa yang berlaku. Selepas saya menghabiskan permainan ini, saya boleh katakan meluangkan beberapa hari mendengar penerangan dan juga teori yang dihasilkan oleh pemain mengenai penceritaan di dalam permainan ini. Ia adalah menarik, akan tetapi pada masa yang sama, kesemua ini sekadar teori sahaja oleh itu tanpa pengesahan daripada penulis untuk penceritaan ini, ia akan terus kekal sebagai misteri dan juga teori.
Seterusnya adalah dunia, saya tidak pernah mencuba permainan FromSoftware sebelum ini, akan tetapi saya mengetahui yang ia merupakan permainan mereka yang pertama menyertakan dunia terbuka dan saya boleh katakan, dunia yang dihasilkan adalah satu dunia yang sangat menakjubkan. Seperti kebanyakan souls-like yang lain, Elden Ring juga menyertakan dunia yang ‘gelap’ dan penuh dengan kesengsaraan, dan permainan ini menyampaikan perkara tersebut dengan sangat baik sekali. Namun, pada masa yang sama, ia juga memberikan dunia yang indah untuk dijumpai, saya masih teringat pertama kali saya secara tidak sengaja turun ke Siofra River Well contohnya, saya terhenti sementara untuk menghargai rekaan dunia di kawasan tersebut, dan terdapat banyak lagi kawasan-kawasan lain yang memberikan pengalaman yang sama. Kekuatan utama bagi dunia permainan ini adalah skala, ia terasa satu dunia yang besar dengan setiap perkara yang anda lihat dari jauh seperti pokok yang besar atau gunung yang tinggi, ia adalah kawasan yang anda boleh pergi bukan sekadar pemandangan kosong ataupun hiasan sahaja.
Dengan kekuatan dua perkara di atas adalah sebab utama saya setiap hari akan cuba untuk sekurang-kurangnya bermain 2-3 jam walaupun sedang sibuk dengan perkara lain. Pengalaman bermain permainan ini mungkin saya boleh gambarkan perasaan yang dirasai oleh pemain yang menyukai bermain The Legend of Zelda: tears of the Kingdom, mengembara dunia terbuka, melakukan pelbagai perkara yang berbeza dan menjumpai kawasan yang tidak disedari wujud sebelum ini. Ia benar-benar pengalaman yang saya rasakan sukar untuk didapatkan di dalam permainan lain, dan saya sudah bermain puluhan permainan dunia terbuka.
Pengalaman penceritaan dan juga pengembaraan yang mendalam, sedikit terjejas kerana ini adalah permainan souls-like. Terdapat beberapa elemen yang masih bukan kegemaran saya, seperti jika anda mati anda kehilangan Runes, jika anda menggunakan fungsi berehat, penjahat akan kembali hadir, dan sudah semestinya penjahat-penjahat yang sukar. Saya tidak mempunyai masalah dengan pertempuran bos kerana selepas mati, saya boleh mencuba sekali lagi, tetapi jika melalui kawasan pengembaraan biasa, ia menjengkelkan tetapi Elden Ring mengurangkan perkara ini dengan menyediakan kuda yang saya boleh guna dan melarikan diri.
Satu lagi perkara yang membuatkan saya bertahan walaupun merasakan yang permainan ini menjadi lebih sukar adalah kerana saya bermain dengan lebih lewat, dan terdapat banyak panduan yang saya boleh gunakan untuk meningkatkan tahap secepat yang mungkin. Saya boleh katakan saya meluangkan beberapa jam sekadar meningkatkan tahap, saya meluangkan separuh masa bermain dengan tahap 150 yang ramai menganggap sebagai tahap terbaik untuk menghabiskan permainan ini. Bagi Shadow of the Erdtree, saya bermula dengan tahap 200. Memastikan tahap yang tinggi ini membantu saya untuk mengurangkan perkara yang menjengkelkan terutama semasa mengembara, dan juga membantu untuk melawan bos walaupun saya sering melakukan kesilapan.
Selain memastikan berada di tahap yang tertinggi, saya juga meluangkan masa untuk membaca panduan mengenai sesuatu perlawanan bos. Setiap kali saya ada terasa yang sesuatu bos itu terasa tidak adil, ada sahaja panduan yang membantu untuk saya mengalahkannya dan membuang perasaan yang bos ini adalah tidak adil. Ada masa saya meluangkan masa lebih sejam sekadar melihat orang lain mencuba bos yang sama dan membaca panduan yang ada semata-mata untuk mengalahkan bos tersebut. Ia bukan sesuatu yang saya gemar lakukan, tetapi bagi permainan ini saya tidak kisah untuk melakukannya kerana saya ingin terus bermain. Oleh disebabkan itu, saya masih tidak menganggap souls-like merupakan satu genre yang saya sukai, Elden Ring berlainan kerana pengisian permainan ini memberi desakan untuk saya terus mencuba bagi menghabiskan permainan ini.
Bercakap mengenai bos, setiap rekaan mereka juga adalah sangat baik. FromSoftware berjaya menghasilkan bos yang setiap-nya mempunyai kelainan tersendiri, ditambah lagi dengan penceritaan di sebalik setiap bos ini menjadikan mereka lebih menarik. Pertempuran untuk setiap daripada mereka juga mempunyai kelainan tersendiri yang mengelak daripada satu pertempuran bos terasa sama dengan yang sebelum ini. Saya juga menyukai yang walaupun setiap bos mempunyai pergerakan yang sama, membantu untuk saya hafal cara untuk melawannya, bos-bos ini tidak melakukannya mengikut turutan tertentu, sebaliknya saya perlu melihat pergerakan untuk menentukannya, ini juga memastikan setiap pertempuran walaupun bertemu dengan bos yang sama berulang kali masih terasa berlainan.
Perkara yang saya katakan di atas adalah sama untuk permainan asas Elden Ring dan juga penambahan Shadows of the Erdtree yang menyertakan satu kawasan tersendiri dang sangat menarik untuk mengembara. Walaupun ia tiba 2 tahun selepas permainan asas, akan tetapi penambahan ini boleh dianggap sebagai sebahagian daripada penceritaan utama dan sebelum ia berakhir, namun bagi tahap kesukaran ia benar-benar berada jauh lebih tinggi berbanding keseluruhan permainan asas. Jika anda menghabiskan Elden Ring sebelum ini dan menggunakan watak yang sama untuk bermain penambahan ini, anda tidak akan berasa selesa seperti sebelum ini sebaliknya pengenalan Scadutree Fragments sebagai cara baharu untuk mempertingkatkan tahap memainkan peranan penting.
Setiap bos di dalam penambahan ini juga terasa berlainan dengan sebelum ini, dan mereka juga membawa penceritaan tersendiri yang walaupun tidak mengisi persoalan-persoalan daripada penceritaan utama tetapi memberi penceritaan tambahan untuk watak-watak yang sebelum ini sekadar menjadi sebutan ataupun tidak pernah dinyatakan sebelum ini. Rekaan dunia juga terasa segar, dan FromSoftware menghasilkan satu kawasan yang saya boleh katakan lebih mencabar bukan kerana penjahat yang susah tetapi bagaimana beberapa kawasan perlukan ketelitian untuk mencari. Walaupun saya dapat melihat sesuatu kawasan di dalam peta, tetapi saya masih memerlukan masa yang lama untuk mencari cara untuk menuju ke tempat tersebut tetapi pengembaraan ini berbaloi kerana penambahan ini juga dipenuhi dengan kawasan-kawasan yang sangat menarik.
Adakah Shadow of the Erdtree ini satu pengalaman yang mencukupi, saya boleh katakan ya walaupun ia membuatkan saya hampir berhenti bermain lebih banyak berbanding Elden Ring, tetapi ia masih membawa perkara yang sama seperti saya nyatakan sebelum ini untuk memberi semangat kepada saya untuk terus bermain. Saya juga dibantu kerana bermain penambahan ini hampir sebelum selepas dilancarkan, memudahkan saya untuk mencari panduan dan membantu di dalam menghasilkan strategi untuk menjadikan pertempuran tidak terlalu menjengkelkan.
Akhir kata, Elden Ring merupakan permainan terbaik yang pernah saya main, ditambah dengan Shadows of the Erdtree yang saya anggap sebagai satu kandungan yang harus disertakan bersama jika anda ingin mencuba permainan ini. Elden Ring bukan sekadar menawarkan tatamain yang sukar akan tetapi ia juga membawa penceritaan dan perwatakan yang mendalam serta rekaan dunia yang bukan sahaja luas serta berskala besar tetapi terisi dengan pelbagai kejutan yang memberi ganjaran kepada pemain yang mengambil masa untuk mengembara di dalamnya. Permainan ini tidak mengubah tanggapan saya mengenai genre souls-like tetapi ia adalah satu permainan yang berjaya untuk memberikan motivasi kepada saya untuk melaluinya agar dapat melihat apa yang ditawarkan.