Apple ketika acara WWDC telah mengumumkan yang kemaskini untuk sistem operasi bagi Apple TV iaitu tvOS 18 akan menyertakan pelbagai fungsi baharu untuk mempertingkatkan pengalaman penggunaan Apple TV bagi menonton pelbagai jenis kandungan.

Antara yang disertakan adalah InSight iaitu fungsi yang akan menyertakan informasi mengenai pelakon, watak dan juga muzik yang berkait dengan filem ataupun siri yang sedang ditonton. Fungsi ini juga boleh digunakan di iPhone semasa ia digunakan sebagai alat kawalan.

Selain itu, tvOS 18 juga akan mempertingkatkan lagi keupayaan Enhance Dialogue yang akan menggunakan pembelajaran mesin untuk memastikan suara lebih jelas semasa mendengar muzik, ataupun semasa menonton kandungan hiburan yang lain.

Fungsi ini juga akan berfungsi tidak kira semasa menggunakan HomePod, AirPods, ataupun pembesar suara yang lain secara termasuk juga nirwayar. Ia juga disokong bagi kandungan tertentu di iPhone dan iPad.

Sarikata juga kini akan dibuka secara automatik mengikut keadaan tertentu jika ia tidak dibuka dari awal, antaranya adalah apabila menonton kandungan berbahasa yang berlainan dengan bahasa utama peranti, semasa audio disenyapkan ataupun apabila penonton mengulangi adegan yang sama.

Akhir sekali, tvOS 18 juga kini menyokong 21:9 bagi penggunaan projektor dan menyertakan screen savers berlainan seperti gambar portrait, TV, dan Filem, pengguna juga boleh menggunakan tema Snoopy.

tvOS 18 akan tiba sekitar tahun ini untuk Apple TV, anda boleh baca ulasan kami untuk Apple TV 4K melalui pautan berikut – Ulasan Apple TV 4K (2022).

Sohor Kini