ASUS Republic of Gamers (ROG) telah mengumumkan model baharu untuk penawaran PC mudah alih mereka iaitu ROG Ally X dengan memberi lebih lebih storan, RAM, bateri, serta rekaan dan juga sistem penyejukan yang lebih baik.
Model ini masih mengekalkan cip pemprosesan yang sama iaitu AMD Ryzen Z1 Extreme akan tetapi dilengkapi dengan storan yang lebih besar iaitu 1TB berbanding 512GB, selain itu, ia juga kini menyokong SSD jenis M.2 2280 untuk memberi lebih pilihan bagi pengguna yang ingin menambah lagi storan.
Berbanding 16GB RAM, ROG Ally X kini dilengkapi dengan 24GB dan dengan cip menggunakan RAM sistem untuk RAM video, ini akan memberikan memori tambahan untuk kedua-duanya memastikan permainan boleh dimainkan dengan lebih lancar tanpa perlu terlalu mengorbankan grafik.

Bagi bateri, ia mempunyai 80Wh berbanding 40Wh memberi pengguna sesi yang lebih lama untuk bermain. Walaupun penambahan saiz bateri ini, ROG Ally X hanya lebih berat sebanyak 70 gram sahaja berbanding model sebelum ini.
Rekaan juga menerima sedikit perubahan dengan bahagian tepi mempunyai rekaan yang lebih dalam dan lebih bulat untuk menjadikan lebih selesa untuk dipegang. Butang di bahagian belakang diperkecilkan untuk mengurangkan tertekan secara tidak sengaja, joystick juga ditukar untuk menjadikannya lebih tahan.

ROG juga telah memilih untuk membuang port XG Mobile yang sebelum ini digunakan untuk memasang kad grafik luaran dengan dua USB-C dengan salah satu daripadanya menyokong Thunderblot untuk sokongan yang lebih meluas.
Akhir sekali sistem penyejukan diperbaiki dengan menggunakan kipas yang 23% lebih kecil dan 50% lebih nipis untuk memberikan gerakan udara yang lebih baik. Sistem ini dikatakan menjadikan ROG Ally X 6 darjah Celcius lebih sejuk.

Buat masa ini harga di Malaysia tidak diumumkan tetapi untuk pasaran luar, ia ditawarkan dengan harga $799 berbanding $649 untuk model dengan cip yang sama sebelum ini.
Baca: Ulasan ROG Ally