Jika anda sedang mencari jam tangan pintar, Oppo Watch X merupakan antara penawaran yang ada di pasaran sekarang, dan saya boleh katakan ia mempunyai dua kekuatan utama yang menjadikannya pilihan, pertama adalah rekaan yang bagi saya tidak sangat memperlihatkan-nya sebagai satu jam tangan pintar sebaliknya membawa gaya seakan-akan satu jam biasa. Seterusnya adalah ketahanan bateri yang membuatkan saya tidak terlalu risau mengenai keadaan bateri semasa kerana ia bertahan lama, tambahan pada itu tidak mengambil masa pengecasan yang lama untuk kegunaan sepanjang hari.
Bagi spesifikasi, Oppo Watch X dilengkapi dengan skrin AMOLED bersaiz 1.43″ dengan resolusi 466 x 466. Ia mempunyai tahap kecerahan sehingga 1000nit yang bagi saya sudah mencukupi untuk kebanyakan tempat dan juga keadaan. Bagi cip pemprosesan ia menggunakan Snapdragon W5 Gen 1 dengan 2GB RAM dan 32GB storan. Kapasiti bateri adalah 500 mAh dan menyokong pengecasan 7.5W menggunakan pengecas yang disediakan secara khusus.
Seperi yang saya katakan di atas, perkara pertama yang saya suka mengenai Oppo Watch X, dari pandangan yang jauh ataupun secara umum, ia tidak mempunyai rekaan yang jelas sebagai satu jam tangan pintar akan tetapi satu nampak seperti jam tangan yang biasa sahaja. Ini menjadikannya bersesuaian dengan apa sahaja keadaan untuk memakai, tidak kira semasa ingin bersukan ataupun menghadiri perbincangan di pejabat dan juga menghadiri majlis-majlis rasmi.
Tali jam yang lalai hadir dengan dua pilihan warna iaitu Platinum Black dan Mars Brow, ia merupakan tali jam yang menggunakan Fluororubber yang agak selesa untuk digunakan akan tetapi ia tidak mempunyai pengudaraan yang baik semasa bersukan dengan peluh mungkin terperangkap di bahagian belakang tali yang boleh menjadikannya kurang selesa apabila bersenam dengan durasi yang lama, namun, ia mudah untuk dicuci oleh itu bukan satu masalah yang besar untuk jangka masa yang lama.
Bagi jam sendiri, ia menggunakan Stainless steel di bahagian sisi, dan plastik di bahagian bawah, yang memberikan sedikit ketahanan apabila terlanggar dengan sebarang permukaan, cermin juga menggunakan 2.5D sapphire crystal yang turut memberikan ketahanan tambahan daripada pecah dan juga calar. Keseluruhan berat jam, termasuk juga dengan tali adalah lebih kurang 80g yang bagi saya tidak terlalu berat, tetapi anda akan terasa sedang memakai jam terutama semasa bersenam, tambahan lagi dengan ia mempunyai saiz skrin yang agar besar untuk satu jam tangan pintar.
Oppo Watch X seperti jam tangan pintar yang lain turut menyertakan segala fungsi untuk digunakan seperti menjejak senaman seperti berlari dan berjalan. Ia juga dapat menjejak degupan jantung, tidur dan bagi yang bermain sukan, ia juga mempunyai mod yang khusus untuk sukan, terdapat lebih 100 sukan yang disokong seperti badminton, berbasikal dan lain-lain lagi. Mengikut percubaan saya untuk menjejak senaman seperti berlari termasuk juga penggunaan GPS ia adalah tepat dan tidak mempunyai perbezaan yang besar berbanding menggunakan jam tangan pintar yang lain.
Cuma saya boleh katakan yang jika anda ingin menggunakan Oppo Watch X, adalah lebih baik untuk membiasakan menggunakan aplikasi OHealth yang juga aplikasi untuk digunakan semasa pemasangan awal bagi jam ini. Sepanjang saya menggunakan telefon pintar ini, saya menggunakan aplikasi Nike Run App, kerana ia merupakan aplikasi yang saya sering gunakan, akan tetapi walaupun menjejak dengan baik untuk jumlah larian akan tetapi ia tidak memberi maklumat lain sesuatu yang diberikan melalui aplikasi OHealth.
Bercakap mengenai aplikasi, kebanyakan aplikasi di dalam jam ini berfungsi sebagai aplikasi kendiri berbanding sambungan kepada aplikasi di telefon pintar. Contohnya, aplikasi YouTube Music, jika saya mendengar lagu di telefon, saya boleh mengawal melalui jam tangan tetapi melalui bahagian yang khusus, jika saya membuka aplikasi tersebut secara terus di jam, ia tidak memperlihatkan lagu yang saya sedang dengar sebaliknya ia sekadar untuk memainkan terus lagu melalui jam tangan.
Ia memerlukan penyesuaian semasa awal menggunakan jam tangan ini, tetapi akan mudah untuk difahami apabila sudah menggunakannya untuk beberapa minggu. Dengan setiap aplikasi boleh berfungsi dengan baik secara kendiri, ia juga membantu saya untuk menggunakan terus jam tangan ini tanpa perlu bergantung kepada telefon pintar. Contohnya, apabila saya berlari, saya akan menyambung set fon telinga terus ke jam, dan akan memainkan lagu-lagu yang dimuat turun ke jam secara terus dan saya boleh meninggalkan telefon tanpa sebarang masalah.
Oleh kerana ia tidak mempunyai sokongan selular, saya tidak boleh dapatkan notifikasi daripada telefon jika ia berjauhan, ia bukan masalah untuk saya tetapi mungkin sesuatu yang penting untuk anda. Selain daripada itu, ada masa juga selepas saya berlari, saya dapati yang akaun Nike Run Club memerlukan log masuk semula, dan mengakibatkan saya kehilangan data untuk larian tersebut, namun saya merasakan ia adalah pepijat aplikasi NRC berbanding jam ini, sebab yang seterusnya mengapa saya mencadangkan untuk anda membiasakan dengan aplikasi OHealth.
Perkara yang paling positif mengenai telefon pintar ini adalah ketahanan bateri, untuk penggunaan yang biasa ia boleh bertahan sehingga 100 jam, tetapi bagi penggunaan saya sendiri, saya boleh katakan ia bertahan selama 2 hari penuh dengan saya menggunakannya untuk bersenam pada salah satu daripada 2 hari tersebut dan penggunaan biasa untuk hari yang berikutnya, pagi hari ketiga bateri masih mempunyai lebih kurang 10%. Saya sepenuhnya menggunakan “Smart Mode” yang mengurangkan penggunaan bateri semasa tiada aktiviti yang berat.
Selain ketahanan bateri, ia juga sangat cepat untuk dicas, daripada kosong ke penuh mengambil masa satu jam sahaja. Oleh itu, secara praktikalnya saya boleh meninggalkan jam untuk dicas, setiap pagi semasa bersedia untuk keluar dan jam akan sentiasa mempunyai bateri yang penuh. Ini mengurangkan kerisauan yang bateri akan kehabisan bateri, sedikit perkara yang harus diingati adalah ia menggunakan tempat pengecas yang khusus, oleh itu jika ia hilang ataupun tertinggal anda tidak boleh mengecas dengan cara lain ataupun secara nirwayar.
Akhir kata, Oppo Watch X merupakan jam tangan pintar yang boleh melakukan segala perkara yang diharapkan oleh satu jam tangan pintar dengan baik tetapi masih mengekalkan rekaan seperti satu jam tangan yang biasa menjadikannya bersesuaian dengan pelbagai jenis aktiviti. Tambahan pada itu, saya juga tidak perlu risau dengan bateri, kerana ia bukan sahaja mempunyai ketahanan yang lama, tetapi pengecasan penuh mengambil masa yang singkat, sekali lagi memberikan perasaan yang ia satu jam tangan biasa kerana tiada kelemahan jam tangan pintar seperti perlu sentiasa dicas.
Oppo Watch X ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu Mars Brown dan Platinum Black dengan harga promosi RM1,299 (RM1,399 harga asal).