Skip to main content

Blood Free merupakan siri baharu dari Korea Selatan yang sudah menyiarkan episod terakhir di Disney+ Hotstar, siri ini melibatkan senarai pelakon seperti Ju Ji-hoon sebagai Woo Chaewoon, Han Hyo-joo sebagai Yun Jayu, Lee Hee-joon, Lee Moo-saeng dan Park Ji-yeon. Lee Soo-yeon merupakan penulis, manakala Park Chul-hwan menjadi pengarah dan diterbitkan oleh Ace Factory bersama H& Entertainment.

Siri ini bermula dengan sangat baik, bukan sahaja membawa penceritaan fiksyen sains, tetapi juga diadunkan bersama dengan politik dan juga misteri yang sentiasa membuatkan saya tertanya-tanya mengenai motif sebenar sesuatu watak dan juga mengenai apa yang sedang berlaku, namun keadaan menjadi sedikit bercelaru di bahagian akhir dengan ia lebih memfokuskan kepada aksi dan bahagian-bahagian yang ‘halus’ seperti politik tiba-tiba menjadi sampingan sahaja.

Filem ini memfokuskan kepada satu syarikat iaitu BF ataupun Blood Free yang merupakan syarikat bioteknologi dengan fokus mereka adalah untuk menghentikan ke bergantungan manusia kepada binatang, mereka bermula dengan menghasilkan kulit haiwan tiruan untuk digunakan di pakaian, kemudian produk terbaru yang juga paling berjaya adalah daging yang dihasilkan di dalam makmal tanpa perlu membunuh mana-mana haiwan liar ataupun ternakan.

Kejayaan BF ini tidak berlaku tanpa tentangan, syarikat tambahan lagi pengasas dan CEO BF iaitu Yun Ja-yu lakonan Han Hyo-joo telah menjadi sasaran penunjuk perasaan terutama yang terlibat di dalam perniagaan ternakan. Satu yang pada awalnya bermula dengan penunjuk perasaan di jalanan berubah menjadi lebih ganas termasuk juga ada kes cubaan bunuh dan bunuh diri. Bagi menjamin keselamatan Yun Ja-yu, BF telah mengupah Woo Chae-woon lakonan Ju Ji-hoon yang merupakan bekas tentera untuk menjadi pengawal peribadi.

Tanpa disedari oleh Yun Ja-yu, Woo Chae-woon menerima tugas untuk menjadi pengawal peribadi agar dia dapat menyiasat mengenai penglibatan Yun Ja-yu di dalam satu pengeboman yang menyebabkan Presiden Korea Selatan terpaksa meletakkan jawatan yang secara langsung memberi peluang kepada syarikat BF untuk berkembang dengan pesat. Pengeboman tersebut juga telah mengorbankan beberapa orang tentera di bawah Woo Chae-woon, oleh itu ia juga bersifat peribadi.

Sepanjang siri ini, penglibatan Yun Ja-yu menjadi sebahagian misteri penting, ini ditambah lagi dengan lakonan yang baik oleh Han Hyo-joo yang ada masa memperlihatkan wataknya sebagai seorang yang sangat berkeupayaan untuk melakukan perkara tersebut dan ada masa dia juga kelihatan tidak bersalah dan merupakan seorang ahli perniagaan biasa sahaja.

Tidak cukup dengan misteri tersebut, penceritaan kemudian juga melibatkan penggodam yang melakukan serangan perisian tebusan data-data penting BF. Perkara tersebut yang kelihatan biasa, kemudian menjadi lebih rumit apabila Woo Chae-woon yang pernah mengalami masalah yang sama semasa beliau seorang tentera mendapati yang penggodam tersebut mungkin dilakukan oleh orang dalaman BF.

Mister tidak terhenti setakat itu sahaja, ia juga mula melibatkan dunia politik termasuk juga Perdana Menteri yang merupakan anak kepada pemilik satu syarikat terbesar di Korea yang juga mempunyai keinginan untuk mengambil-alih BF ataupun menghasilkan produk-produk seperti BF. Ini menghasilkan misteri mengenai penglibatan mereka, dan juga menjadi pergaduhan di dalam dunia politik dan juga perniagaan.

Kepelbagaian misteri ini menjadi perkara menarik utama bagi siri ini, sepanjang 10 episod yang ditayangkan terdapat banyak twist and turn yang berlaku akan tetapi di bahagian pengakhiran dengan penceritaan mula ingin dirumuskan, keadaan menjadi sedikit bercelaru dengan terlalu banyak perkara berlaku pada satu masa. Ia juga menjadi bahagian yang penuh aksi, walaupun menarik untuk ditonton tetapi menjadikan penceritaan sedikit terganggu.

Pengakhiran untuk siri ini juga tidak memuaskan, ia cuba untuk membuatkan saya teruja dengan kemungkinan musim seterusnya akan tetapi ia sebaliknya membuatkan saya tidak puas dengan musim ini, dan pada masa sama tidak sangat inginkan untuk penceritaan Blood Free ini diteruskan yang bagi saya sedikit mengecewakan kerana ia mempunyai premis fiksyen sains dan misteri yang baik tetapi terasa ingin dilakukan dengan lebih cepat di bahagian akhir membuatkannya bercelaru.

Kesemua 10 episod Blood Free sudah disiarkan di Disney+ Hotstar

Blood Free
Siri ini bermula dengan baik dan mempunyai pengisian memuaskan dengan pelbagai fiksyen sains dan misteri yang menarik, tetapi pembinaan plot dan pengakhiran sedikit bercelaru serta kurang memuaskan.
Positif
Lakonan baik oleh kesemua watak
Pelbagai fiksyen sains dan misteri menarik
Negatif
Perkembangan plot bercelaru
Pengakhiran tidak memuaskan
7

Leave a Reply