Apple hari ini telah mengumumkan kemaskini untuk penawaran iPad Pro mereka yang juga menjadi peranti pertama yang menggunakan cip silikon terbaru oleh mereka iaitu M4 melangkau satu generasi dengan iPad Pro sebelum ini menggunakan cip M2.
iPad Pro ini hadir dengan dua pilihan saiz skrin iaitu 13-inci dan 11-inci yang menggunakan panel OLED, Ultra Retina XDR, menyokong teknologi ProMotion dan juga menyertakan pilihan untuk menggunakan panel dengan teknologi baharu iaitu ‘Gelas Tekstur-Nano’ yang memerlukan penambahan harga RM500 berbanding harga paparan lalai.
Bagi pilihan storan ia bermula dengan 256GB sehingga 2TB dan dua pilihan warna iaitu Silver dan juga Space Black. Apple juga mengatakan yang iPad Pro menjadi produk Apple yang paling nipis pernah dihasilkan dengan model 13-inci setebal 5.1mm sahaja.
Bersama dengan iPad Pro, Apple juga mengumumkan Apple Pencil Pro yang ditawarkan dengan harga RM399 dan Magic Keyboard dan Smart Folio serba baharu dengan harga RM1,479.
iPad Pro ditawarkan dengan harga bermula RM5,299 untuk 11-inci dan RM6,799 untuk 13-inci.