Ulasan Sand Land: the Series

Sand Land merupakan manga oleh Akira Toriyama yang mungkin tidak ramai mengetahui kewujudan, sekurang-kurangnya tidak seperti karya beliau yang lain terutamanya Dragon Ball. Pada tahun lepas telah telah terdapat beberapa kandungan berdasarkan siri ini, antaranya permainan video yang sedang dibangunkan oleh Bandai Namco serta dijangka tiba pada bulan depan dan juga filem animasi yang sudah ditayangkan di Jepun – ia juga menjadi sumber untuk siri animasi Sand Land: the Series yang sudah mula disiarkan di Disney+ Hotstar. Ia akan mempunyai 13 episod, dan setakat ini mempunyai 7 episod dengan episod-episod seterusnya secara mingguan.

Berdasarkan 6 episod yang tersedia, saya boleh katakan Sand Land merupakan satu siri animasi yang bukan sahaja mempunyai watak yang menarik tetapi juga penceritaan yang berjiwa. Siri ini memfokuskan kepada watak yang digelar sebagai Beelzebub iaitu Putera kepada puak hantu dan juga anak kepada raja hantu iaitu Lucifer. Tempat dia berada iaitu Sand Land mempunyai masalah air dengan sudah bertahun mereka tidak mempunyai sumber air yang berterusan dan terpaksa bergantung kepada air yang dijual oleh Raja Sand Land. Beelzebub bersama dengan rakan-rakannya sering mencuri air raja tersebut yang menyebabkan ramai manusia takut, tetapi Beelzebub sebenarnya sekadar mengambil setakat yang perlu sahaja dan tidak pernah mencederakan sesiapa.

Rao merupakan seorang lagi watak utama yang merupakan seorang manusia dan merupakan sheriff untuk satu kampung. Selepas melihat kampung tersebut menjadi semakin teruk kerana tiada air, dia bertekad untuk mencari sumber air di Sand Land. Demi untuk melakukannya, dia telah meminta bantuan Beelzebub. Selepas mengembara bersama barulah Rao menyedari yang kaum-kaum hantu bukanlah sejahat yang dianggap, bahkan Beelzebub sendiri mempunyai sikap yang lebih baik berbanding kebanyakan manusia di Sand Land. Bersama dengan rakan Beelzebub iaitu Thief, bermulalah pengembaraan mereka mencari sumber air yang pada masa sama perlu mengelak daripada tentera-tentera Raja.

Siri ini sangat menyerlah di dalam pembinaan watak dan dunia, walaupun baru sahaja menonton 6 episod, dan tidak pernah mengetahui mengenai Sand Land, saya dengan cepat terus menyukai dengan setiap watak yang diperkenalkan, setiap watak penting dikembangkan dengan baik, dengan penyampaian kisah silam tidak meleret tetapi mencukupi untuk memberi lapisan baharu kepada watak tersebut. Selain itu, rekaan dunia dan juga politik juga dilakukan dengan baik ini secara langsungnya membantu untuk menjadikan penceritaan yang disampaikan lebih menarik. Ia juga mencipta permasalahan yang mencukupi dan memulakan siri ini dengan baik tanpa rasa ada bahagian yang menjadi pengisian sahaja.

Dengan Sand Land merupakan kawasan padang pasir, oleh itu rekaan dunia untuk kawasan ini ringkas sahaja. Namun, kekurangan ini menjadikan bahagian lebih jelas, iaitu rekaan watak terutama rekaan binatang, puak hantu dan juga watak-watak lain. Setiap watak mempunyai rekaan yang unik tetapi masih mengekalkan DNA watak-watak Akira Toriyama. Kesemua ini disampaikan juga dengan animasi yang baik, walaupun mereka memilih untuk menggunakan animasi 3D dengan gaya CG, ia adalah animasi yang digunakan di dalam Dragon Ball Super: Super Hero akan tetapi siri ini hadir dengan animasi yang lebih baik dan sedap dipandang berbanding Super Hero. Terutama melalui aksi-aksi pertempuran menggunakan pelbagai kenderaan, senjata dan juga kuasa watak itu sendiri.

Akhir kata, Sand Land: the Series merupakan siri anime yang mempunyai penceritaan yang menarik terutama dengan pembinaan watak dan juga dunia. Setiap bahagian di dalam siri ini disampaikan dengan menarik, tanpa memberikan rasa adanya bahagian pengisian kerana semua terasa penting. Walaupun masih mempunyai 7 lagi episod, namun jika siri ini diteruskan dengan pacing penceritaan seperti 6 episod pertama, saya boleh katakan yang Sand Land satu lagi siri anime oleh Akira Toriyama yang harus ditonton oleh semua.

Sand Land: the Series disiarkan di Disney+ Hotstar.

Sand Land: the Series
Sand Land satu siri animasi yang mempunyai perwatakan dan penceritaan yang menarik. Dunia rekaan Akira Toriyama ini segar dengan pelbagai adegan serta permasalahan yang menjadikan sesi tontonan tidak membosankan.
Positif
Perwatakan Yang Baik
Penceritaan Yang Menarik
Rekaan Dunia Dan Watak Yang Pelbagai
Negatif
Animasi Ada Masa Kelihatan Kurang Baik
8

Sohor Kini