Dragon Ball Super: Super Hero walaupun menggunakan judul Dragon Ball Super iaitu kandungan terkini bagi siri popular ini, namun filem ini direka bukan sahaja untuk yang mengikuti kisah Dragon Ball Super akan tetapi ia mempunyai pelbagai nostalgia yang juga akan dihargai oleh peminat-peminat lama Dragon Ball.
Berbanding perlawanan di antara watak-watak daripada pelbagai mesta yang menjadi fokus untuk siri Dragon Ball Super, filem ini memfokuskan kepada kejadian di bumi dan mengetengahkan dua watak yang boleh dikatakan “berdiam diri” sebelum ini iaitu Son Gohan dan juga Picollo.
Son Gohan selepas berkahwin dengan Videl dan mempunyai anak bernama Pan, dia tidak mempunyai minat untuk bertempur seperti ayahnya Son Goku. Sebaliknya dia lebih menyukai untuk mencari ilmu dan menjadi saintis, yang seperti kita sedia maklum mengikut ajaran emaknya Chi-Chi.
Manakala Picollo pula masih memfokuskan kepada pertempuran tetapi lebih kepada pengajar di mana dia menjadi guru kepada Pan yang di dalam filem ini berusia 3 tahun tetapi sudah mempunyai keupayaan melebihi manusia biasa.
Filem ini juga membawa kembali penjahat yang asal untuk Dragon Ball iaitu Red Ribbon Army, di bawah pengurusan baharu iaitu Magenta yang merupakan anak kepada Commander Red, dia ingin membentuk semula ketenteraan Red Ribbon Army dengan mendapatkan bantuan Dr. Hedo iaitu cucu kepada Dr. Gero yang menghasilkan android-android sebelum ini termasuk juga Cell.
Dengan kerjasama di antara mereka berdua, terhasilnya dua android baharu iaitu Gamma #1 dan Gamma #2, menjadikan penceritaan ini lebih menarik dan juga menjadi sebab kepada judul untuknya, Dr. Hedo berbeza dengan datuknya, tidak berminat untuk mengawal dunia ataupun mempunyai kekuasaan, sebaliknya dia lebih berminat untuk menjadi adiwira.
Oleh itu, Gamma #1 dan Gamma #2 dihasilkan sebagai adiwira berbanding penjahat, namun dengan helah Red Ribbon Army, syarikat Bulma iaitu Capsule Corp dikatakan cuba menjajah bumi dengan membawa makhluk-makhluk asing seperti Son Goku, Son Gohan, Picollo dan sekutunya. Maka berlakulah pertempuran di antara mereka.
Filem ini melakukan kerja yang baik untuk membawa semula kisah dari Dragon Ball dan Dragon Ball Z dengan imbas semula yang ringkas tetapi berkesan, untuk meneruskan penceritaan di dalam filem ini. Saya yang sudah lama menonton dan baca kedua-dua siri tersebut tidak mempunyai masalah untuk mengingat semula apa yang berlaku.
Tambahan itu, seperti yang saya katakan sebelum ini, ia tidak sangat memfokuskan kepada Dragon Ball Super, saya yang tidak pernah menonton sebarang episod ataupun membaca sebarang jilid Dragon Ball Super tidak terasa keliru dengan penceritaan ini, selain daripada memperlihatkan beberapa watak yang diperkenalkan di dalam Super tetapi sekadar watak sampingan sahaja.
Saya juga menyukai kerana watak Gohan dan Picollo menjadi fokus kerana kedua-dua watak ini kurang dikembangkan sebelum ini, terutamanya watak Picollo yang bagi saya sangat dikembangkan dengan pelbagai lapisan yang saya tidak tahu ada di dalam dirinya sebelum ini. Dia bukan sahaja menjadi seorang guru, tetapi juga seorang pengasuh, dan pada masa penjaga bumi.
Secara amnya, pilihan penceritaan di dalam filem ini adalah sesuai untuk semua penonton, sama ada seperti saya yang mengikuti siri asal tetapi tidak mengikut Super, filem ini akan menjadi satu nostalgia yang baik, ataupun yang turut mengikuti Super menjadikan filem ini sampingan yang menarik ataupun yang tidak langsung tonton mengenai Dragon Ball, filem ini mempunyai penerangan yang mencukupi agar boleh diikuti. Perkara ini berjaya dilakukan dengan baik adalah kerana ia ditulis oleh Akira Toriyama sendiri yang sudah semestinya mengenali watak-watak ini.
Dragon Ball Super: Super Hero juga menyampaikan penceritaan dengan baik, ia menyelit perkara yang serius dan jenaka dengan baik sekali, walaupun kebanyakan bahagian adalah lebih kepada jenaka, namun disebabkan jenaka-jenaka yang ditulis sampai, ia menjadikan sesi tontonan yang menyeronokkan.
Ini adalah filem pertama yang hampir sepenuhnya menggunakan animasi 3D dan saya boleh katakan ia bukanlah animasi terbaik yang saya pernah tonton. Ia nampak sangat biasa, dengan ada masa sekadar nampak seperti animasi murahan terutama dari segi rekaan dunia. Pertempuran pula dilakukan dengan lebih baik akan tetapi masih terasa banyak pertempuran dilakukan dengan mudah.
Anda tidak sangat boleh melihat aksi yang berlaku, sebaliknya ia diperlihatkan secara dekat dengan saya sekadar melihat tumbukan ataupun kuasa terkena kepada lawan dan tidak sangat nampak mereka melakukan serangan tersebut. Ia masih lagi memberikan aksi yang tanpa henti dengan pertempuran berlaku sebahagian besar untuk filem ini, namun saya sedikit kecewa dengan keseluruhannya.
Walaupun begitu, ia masih lagi memaparkan kesan visual yang sangat baik terutama dari segi penggunaan kuasa yang diperlihatkan dengan sangat epik, visual memenuhi paparan, termasuk juga semasa pertembungan di antara dua kuasa. Begitu juga bunyi yang membantu untuk menjadikan perlawanan lebih menarik.
Akhir kata, Dragon Ball Super: Super Hero mungkin adalah filem Dragon Ball yang paling sesuai untuk tontonan semua, ia tidak mempunyai bebanan penceritaan sebelum yang mungkin tidak diketahui oleh yang tidak mengikuti siri ini, akan tetapi pada masa sama ia juga menyertakan pelbagai nostalgia yang akan dihargai oleh peminat-peminat lama ataupun yang baru bagi Dragon Ball.
Penceritaan juga disampaikan dengan baik, fokus diberikan Gohan dan Picollo menjadikan ia satu kelainan berbanding kandungan lain Dragon Ball. Ia juga membantu untuk membawa sisi yang baharu kepada kedua-dua watak tersebut. Penyampaian juga adalah baik dengan ia tidak terasa terlalu perlahan ataupun laju dan dipenuhi dengan jenaka-jenaka yang membuatkan saya tertawa.
Kekurangan utama filem ini adalah kualiti animasi yang bagi saya terasa sangat murahan, bagaikan melihat adegan-adegan di dalam permainan pertempuran berasaskan Dragon Ball. Namun, kesan visual ketika pertempuran ataupun penggunaan kuasa masih menjadikan setiap perlawanan adalah epik dan menarik untuk dilihat. Ini ditambah lagi dengan muzik runut dan kesan bunyi yang sangat bersesuaian dengan keadaan.
Oleh itu, Dragon Ball Super: Super Hero adalah satu tontonan yang menyeronokkan bagi peminat lama, peminat baharu dan juga yang tidak pernah mengikuti Dragon Ball sebelum ini.
Penafian: Tayangan awal untuk Dragon Ball Super: Super Hero disediakan oleh Sony untuk tujuan ulasan ini. Ia akan mula ditayangkan pada 30 Ogos 2022.