Ulasan Avatar: The Last Airbender (2024)

Avatar: The Last Airbender masih lagi antara siri animasi terbaik yang pernah hadir di dalam televisyen, sehingga sekarang ia masih lagi satu siri yang penting di dalam industri ini. Oleh itu, tidak mengejutkan jika penawarannya ingin dikembangkan lagi. Percubaan pertama untuk membawa versi aksi nyata bagi siri ini, boleh dikatakan sangat gagal. “The Last Airbender” yang diarahkan oleh M. Night Shyamalan mempunyai ‘penghargaan’ berbeza dengan siri animasi, ia adalah antara filem paling teruk pernah dihasilkan. Hampir 14 tahun kemudian, Netflix melakukan percubaan kedua dengan siri aksi nyata Avatar: The Last Airbender, yang sudah boleh ditonton di Netflix semasa ulasan ini dikeluarkan. Selepas menonton 8 episod dengan setiapnya lebih kurang 50 minit, saya boleh katakan sekurang-kurangnya siri ini adalah jauh lebih baik berbanding filem akan tetapi masih tidak membawa magis yang sama dengan siri animasi, yang masih lagi berdiri secara sendirian.

Avatar: The Last Airbender. Gordon Cormier sebagai Aang di dalam episod 101 untuk Avatar: The Last Airbender. Cr. Robert Falconer/Netflix © 2023

Bagi yang tidak mengetahui mengenai siri ini, ia merupakan adapatasi kepada siri animasi berjudul sama yang dikeluarkan bermula pada tahun 2005 dan berakhir pada tahun 2008. Ia memfokuskan kepada satu dunia yang terbahagai kepada 4 negara atau puak berdasarkan 4 elemen utama iaitu Air, Tanah, Api dan juga Angin yang juga digelar sebagai “Water Tribes”, “Earth Kingdom”, “Fire Nation” dan “Air Nomads”. Setiap puak akan mempunyai “benders” iaitu orang yang mempunyai keupayaan untuk mengawal elemen tersebut untuk pertahanan ataupun sekadar kegunaan harian. Benders ini mempunyai kebolehan untuk mengawal satu jenis elemen sahaja.

Watak utama bagi siri ini adalah Aang yang berasal daripada puak angin ataupun ‘Air Nomads’. Dia juga merupakan seorang “Avatar” iaitu seorang individu yang mempunyai kebolehan mengawal kesemua elemen. Pada satu sama hanya seorang Avatar sahaja yang akan hidup dan tugas mereka adalah memastikan keadaan dunia yang seimbang. Aang yang takut dengan tanggungjawab menjadi seorang Avatar telah melarikan diri daripada kampungnya akan tetapi akibat ribut dia telah terjatuh di dalam air, secara tanpa sedar untuk menyelamatkan dirinya, dia telah membentuk bebola ais di sekelilingnya.

Pada masa yang sama, Fire Nation yang mempunyai cita-cita untuk menakluk seluruh dunia, telah menyerang puak Air Nomads” kerana mereka tahu yang Avatar akan hadir daripada puak ini. Selepas serangan ini, kesemua Air Nomads terbunuh, meninggalkan Aang menjadi Airbender yang terakhir, selepas dia dikeluarkan daripada ais sebelum ini, selepas 100 tahun. Aang ditemui oleh Katara dan Sokka yang berasal daripada Water Tribes dan bermula pengembaraan mereka bertiga di dalam membantu Aang untuk menjadi Avatar dan juga melawan Fire Nation. Pada masa yang sama, Zhao iaitu putera kepada Fire Lord Ozai juga memburu Avatar untuk diterima kembali ke selepas pergaduhan dengan ayahnya itu.

Avatar: The Last Airbender. Dallas Liu sebagai Prince Zuko, Paul Sun-Hyung Lee sebagai Iroh di dalam musim 1 untuk Avatar: The Last Airbender. Cr. Courtesy of Netflix © 2024

Siri aksi nyata ini berjaya untuk menyampaikan kebanyakan bahagian yang penting daripada siri ini, dan penyampaian juga adalah baik. Siri ini melakukan beberapa perubahan seperti perwatakan untuk sesetengah watak ataupun beberapa adegan diubah yang bagi saya kebanyakan adalah tiada masalah tetapi ada beberapa perubahan menjadikan ia sedikit kurang menarik terutama di bahagian mereka berada di Kepulauan Kyoshi. Selain daripada itu, saya tidak mempunyai sebarang masalah mengenai perubahan ataupun pacing bagi penceritaan ini, jika filem mempunyai masalah terasa terlalu padat, siri ini saya boleh katakan mencukupi walaupun ada terasa yang beberapa bahagian seperti perasaan pengembaraan dan pembinaan watak dikorbankan.

Satu lagi perkara yang sangat baik dilakukan di dalam siri ini adalah produksi, ia kelihatan sangat mahal dan memberi pengalaman baharu melihat dunia Avatar. Setiap kawasan dihasilkan dengan baik, tidak kira kawasan hutan, ataupun kawasan kubu Ais. Selain itu, kostum-kostum yang digunakan juga sangat baik benar-benar memberi gambaran kehidupan mereka. Pertempuran juga dilakukan dengan baik, terutama dengan kesan visual yang saya sangat berpuas hati. Koreografi pertempuran adalah menarik walaupun ada masa terasa seperti pelakon sedang menghafal pergerakan mereka, akan tetapi secara keseluruhannya ia adalah pertempuran yang baik dengan kombinasi baik dengan penggunaan bending. Peperangan yang berlaku, terutama di episod terakhir juga dilakukan dengan sangat baik dan menontonnya sangat mengasyikkan.

Bagi saya, perkara yang paling mengecewakan mengenai siri ini adalah saya tidak merasa perhubungan di antara watak, setiap perhubungan terasa artificial ataupun terasa mendesak. Ini berlaku untuk tiga watak utama iaitu Aang, Katara dan Sokka walaupun mereka banyak meluangkan masa bersama, tambahan lagi dengan watak-watak yang tiba buat seketika waktu seperti Aang denga Bumi, Katara dengan Jet, dan Sokka dengan Suki. Tambah mengecewakan, perhubungan Aang, Katara dan Sokka bersama dengan dua binatang yang bersama mereka iaitu Appa dan Momo juga kurang menjadi fokus. Oleh itu, ia sangat mengecewakan kerana bagi saya ia adalah bahagian yang penting bagi siri seperti ini, saya menyukai siri aksi nyata One Piece yang juga oleh Netflix kerana perhubungan Luffy dengan krew-krewnya menjadi, saya harap ia akan menjadi lebih baik jika siri ini menerima musim tambahan.

Avatar: The Last Airbender. Sebastian Amoruso sebagai Jet, Kiawentiio sebagai Katara di dalam musim 1 untuk Avatar: The Last Airbender. Cr. Robert Falconer/Netflix © 2024

Satu-satunya perhubungan yang bagi saya dilakukan dengan baik dan saya boleh terima adalah diantara Zuko dengan datuknya Uncle Iroh. Namun interaksi Zuko dengan Avatar, Katara dan Sokka juga kurang memberi impak selain daripada sekadar penggerak kepada plot. Saya tidak merasakan ini adalah masalah lakonan, setiap pelakon seperti Gordon Cormier sebagai Aang, Kiawentiio sebagai Katara, Ian Ousley sebagai Sokka, Dallas Liu sebagai Zuko dan Paul Sun-Hyung Lee sebagai Uncle Iroh membawa watak mereka dengan baik secara individu. Cuma, perhubungan di antara mereka terasa mengecewakan, mungkin kerana kekurangan ruang untuk dikembangkan dengan penceritaan memfokuskan kepada bahagian yang lain.

Akhir kata, Avatar: The Last Airbender adalah percubaan yang baik, jauh lebih baik berbanding percubaan sebelum ini untuk membawa kisahnya secara aksi nyata. Siri ini dibantu dengan pacing yang baik dan juga produksi yang berkualiti. Ia adalah satu siri yang menarik untuk ditonton tidak kira anda sudah mengikuti kisah Avatar sebelum ini ataupun untuk pertama kali. Perkara yang paling mengecewakan mengenai siri ini adalah perhubungan di antara watak kurang menjadi dan mencacat pengalaman tontonan walaupun secara individu setiap pelakon membawa watak mereka dengan baik. Namun, ia masih lagi satu tonton yang baik dan tidak akan terlalu mengecewakan untuk peminat-peminat siri ini.

Avatar: The Last Airbender sudah boleh ditonton di Netflix

Avatar: The Last Airbender (2024)
Avatar: The Last Airbender adalah percubaan yang baik, jauh lebih baik berbanding percubaan sebelum ini untuk membawa kisahnya secara aksi nyata. Siri ini dibantu dengan pacing yang baik dan juga produksi yang berkualiti, walaupun mengecewakan dari segi perhubungan di antara watak-watak.
Positif
Produksi Yang Berkualiti
Adaptasi Penceritaan Yang Baik
Lakonan Yang Memuaskan
Negatif
Perhubungan Di Antara Watak Gagal Untuk Disampaikan
Beberapa Perubahan Yang Mencacatkan Adegan Dan Perwatakan
7

Sohor Kini