Steam telah menganjurkan jualan promosi bertemakan permainan yang berkait dengan lanun dan ninja iaitu ‘Pirates vs Ninjas Fest’ yang berlangsung bermula sekarang sehingga 29 Januari 2024. Melaluinya, pelbagai permainan yang berkait menerima potongan harga.

Terdapat mungkin ratusan permainan yang ditawarkan dengan harga promosi, akan tetapi melalui artikel ini kami akan kongsikan 10 permainan yang anda perlu utamakan untuk membeli.

Siri Ghostrunner

Kita mulakan dengan permainan yang menyertakan ninja paling bergaya di dalam permainan video iaitu Ghostrunner. Siri ini sudah mempunyai dua permainan iaitu Ghostrunner yang boleh didapatkan dengan harga RM29.70 dan Ghostrunner II dengan harga RM89.50. Anda boleh dapatkan kedua-dua permainan di dalam satu berkas dengan harga RM118.96.

Sea of Thieves

Seterusnya adalah permainan berdasarkan lanun iaitu Sea of Thieves oleh Rate Ltd. Walaupun dikeluarkan pada tahun 2020 lagi, permainan ini terus menerima kandungan baharu dengan pelbagai acara masa terhad. Permainan ini boleh didapatkan dengan harga RM37.50 dan juga ditawarkan melalui PC Game Pass.

Teenage Mutant Ninja Turtles: Shredder’s Revenge

Ninja paling popular sudah mestinya empat penyu sekawan, dan melalui permainan terbaru oleh Tribute Games dan Dotemu Teenage Mutant Ninja Turtles: Shredder’s Revenge membawa kembali apa yang menarik dengan permainan klasik side scrolling dan disertakan pelbagai sentuhan terbaru. Permainan ini ditawarkan dengan harga RM40.87. Juga boleh didapatkan melalui PC Game Pass dan Netflix di peranti pintar.

One Piece Odyssey

Kisah lanun yang sudah bertapak sejak 24 tahun yang lepas juga menerima kisah tambahan melalui permainan video termasuk juga One Piece Odyssey yang dilancarkan pada awal tahun lepas oleh Bandai Namco. Permainan ini membawa cerita tersendiri untuk One Piece dan boleh didapatkan dengan harga RM111.60 iaitu potongan sebanyak 60%.

Nioh

Bukanlah satu permainan ninja, kerana Nioh lebih kepada Samurai akan tetapi ia sekurang-kurangnya dibangunkan oleh Team Ninja. Nioh merupakan penglibatan terawal Koei Tecmo di dalam genre soulslike tetapi terus mendapat sambutan yang baik. Nioh: Complete Edition boleh didapatkan dengan harga RM43.93, terdapat juga Nioh 2 akan tetapi buat masa ini ia tidak menerima sebarang potongan harga.

Shadow Gambit: The Cursed Crew

Permainan ini sedikit unik terutama di dalam penawaran untuk jualan promosi. Shadow Gambit: The Cursed Crew merupakan permainan yang berkait dengan lanun akan tetapi tatamain untuknya merupakan strategi menyelinap yang mungkin lebih sinonim dengan ninja, namun ia masih lagi satu permainan menarik terutama yang meminati permainan strategi. Permainan ini ditawarkan dengan harga RM79.20.

Katana ZERO

Katana ZERO mempunyai gaya seperti Ghostrunner tetapi dengan rekaan grafik pixel dan tatamain sidescroller. Namun, ia masih satu permainan aksi yang menarik ditemani lagi dengan muzik yang bersesuaian. Permainan ini dibangunkan oleh Askiisoft dan diterbitkan oleh Devolver. Anda boleh dapatkan permainan ini dengan harga RM23.10. Bakal ditawarkan melalui Netflix.

Return to Monkey Island

Siri klasik mengenai lanun, Monkey Island kembali dengan permainan baharu iaitu Return to Monkey Island dan dihasilkan oleh pencipta siri ini iaitu Ron Gilbert. Permainan point & click ini membawa penceritaan yang menarik dan mencuit hati. Permainan ini boleh didapatkan dengan harga RM36.60 dan juga ditawarkan melalui PC Game Pass.

Trek to Yomi

Seperti Nioh, ia bukanlah satu permainan yang berkait dengan ninja, akan tetapi Trek to Yomi mempunyai later belakang Samurai dan Jepun dengan tatamain side scroller yang menarik. Permainan ini juga disampaikan sepenuhnya dengan grafik hitam putih. Permainan ini boleh didapatkan dengan harga RM19.60.

Pillars of Eternity II: Deadfire

Pada asasnya, Pillars of Eternity II mempunyai tema yang lebih meluas dan lebih kepada permainan pengembaraan, akan tetapi bahagian utama di dalam permainan ini menjadikan kumpulan pemain sebagai lanun, sebanyak mana pemain ingin terlibat dengan aktiviti lanun adalah mengikut kehendak sendiri. Permainan ini ditawarkan dengan harga RM19.00.

Sohor Kini