Ulasan What If…? Musim Ke-2

Selepas dua tahun akhirnya, musim kedua What If…? disiarkan. Seperti musim pertama, setiap episod siri animasi ini mempunyai kisah tersendiri seakan sebuah siri antologi. Kemudian beberapa episod seterusnya akan berhubungkait dengan turut menyambungkan semula kisah daripada musim pertama. What If…? adalah siri yang sangat menarik kerana mempunyai penceritaan yang menarik, lebih matang serta memberi perspektif baharu melihat watak-watak MCU beraksi dengan cara berbeza. Paling menarik adalah bagaimana siri ini cuba memberi petanda yang animasi pun berkait dengan mesta aksi nyata.


What If… Nebula Joined the Nova Corps?

Apa jadi kalau Nebula menyertai Nova Corps? Episod pertama memperlihatkan aksi Nebula seakan dalam filem Blade Runner dengan tema espionaj. Dunia angkasa futuristik yang dikawal kerajaan korupsi menjadikan Nebula adiwira sebenar di mesta Marvel sekitar angkasa. Episod ini adalah apa yang saya bayangkan jika Nebula mempunyai filem sampingan tersendiri. Penuh dengan aksi, penceritaan yang matang, ringkas dan seronok.

What If… Peter Quill Attacked Earth’s Mightiest Heroes?

Episod kedua memperlihatkan bagaimana jika Yondu selepas menculik Peter Quill, dia terus menghantar kanak-kanak ini ke Ego? Peter Quill dibesarkan oleh Ego dan telah menjadi orang bawahan ayahnya bagi memusnahkan planet-planet. Sebuah kisah yang mencemaskan kerana memperlihatkan Avengers dalam dilema sama ada ingin hentikan kanak-kanak ini atau membantu dia menjadi diri sendiri – seorang adiwira dan bukan pemusnah planet. Jika Marvel ingin teruskan kisah Star-Lord tanpa James Gunn, filem solo watak ini mempelajari kuasa dia yang tersembunyi ketika usia dewasa pasti menarik.

What If… Happy Hogan Saved Christmas?

Minggu ini minggu Krismas, jadi episod mengenai Happy Hogan ini adalah kisah menarik yang lucu. Ia boleh dikatakan sebagai satu parodi Die Hard dengan kisah Justin Hammer yang ingin membalas dendam kepada Stark. Misi utama Hogan adalah memastikan parti Krismas Avengers berjalan dengan lancar, tetapi diserang Hammer untuk mendapatkan darah Hulk. Bagaimana anda melihat Hogan dalam filem aksi nyata, begitulah dia dalam siri ini. Seorang yang kecoh dan lucu yang sentiasa akan membuatkan orang ramai tersenyum dan terhibur.

What If… Iron Man Crashed into the Grandmaster?

Bagaimana kalau Iron Man yang bertemu dengan Grandmaster, bukannya Thor? Episod ini mempertontonkan kisah seakan Death Racer versi Thor: Ragnarok – atau Stark: Ragnarok. Bagaimana Stark bekerjasama dengan Korg dan Valkyrie bagi menumpaskan Grandmaster yang gila kuasa adalah sangat menarik. Episod ini turut ada memberikan sedikit vibe Mad Max versi berwarna-warni. Sebuah episod yang seronok tetapi tidak memuaskan.

What If… Captain Carter Fought the Hydra Stomper?

Hydra Stomper adalah Steve Rogers jika Peggy Carter yang menerima suntikan menjadi adi-askar. Watak ini telah diperlihatkan dalam musim pertama, kali ini Captain Carter berganding bahu dengan Black Widow bagi menghentikan Hydra Stomper yang dikawal oleh Red Room. Sebuah kisah romantik pendek antara Peggy dan Steve serta kisah menarik memperlihatkan masa hadapan Red Room yang lebih mendalam. Saya suka episod ini kerana ia meletakkan Captain Carter sebagai watak utama yang penting dalam francais What If…? yang mungkin satu perancangan untuk Avengers: Secret War.

What If… Kahhori Reshaped the World?

Marvel masih berani dalam menyampaikan kisah asli. Kali ini adalah bagaimana jika Tesseract jatuh ke mesta orang-orang asli Amerika berbahasa Mohawk. Episod ini adalah antara episod kegemaran saya dengan memfokuskan kisah Kahori, seorang gadis Amerika asli yang menerima kuasa ajaib daripada Tesseract demi melindungi keluarga dan komuniti. Ia mengingatkan saya kepada filem Prey serta Echo, satu strategi Marvel menarik perhatian penonton pelbagai kaum dan budaya. Saya inginkan episod seperti ini menjadi kisah asli aksi nyata bukannya olahan semula dan kisah sampingan yang terlampau banyak yang tidak menarik.

What If… Hela Found the Ten Rings?

Kalau dalam filem Thor, Thor dicampak ke bumi menjadi manusia biasa – episod ini Hela dicampak ke bumi oleh Odin dan menjadi manusia biasa. Tetapi Hela termasuk ke mesta yang zaman Ten Rings sedang aktif. Hela kemudian mempelajari kuasa pertahanan diri mistik dan berganding bahu dengan Xu Wenwu bagi menghentikan Odin yang tidak adil dan Hela menjadi satu dewa baharu yang layak menggantikan Odin. Episod ini jika dijadikan filem aksi nyata, pasti adalah sebuah prekuel Shang-Chi yang menarik. Episod ini terlampau pendek dan saya tidak cukup puas hati dengannya.

What If… the Avengers Assembled in 1602?

Kisah Avengers ditubuhkan di mesta tahun 1602. Dunia silam ini tercemar kerana ada varian mesta lain menyamar dan ia memusnahkan mesta ini secara perlahan. Carter diculik dan diarahkan memburu varian ini. Satu episod yang sedikit serabut, tetapi memberikan vibe lucu filem Dungeons & Dragons: Honour Among Thieves. Episod ini membuatkan saya ingin melihat lebih banyak aksi Hogan serta kisah Captain Carter. Agaknya, bolehkah Hayley Atwell membawakan watak ini lagi untuk filem aksi nyata?

What If… Strange Supreme Intervened?

Kalau dah jahat, memang kekal jahat. Ingat lagi Strange Supreme dalam musim pertama? Dia kononnya dah baik, sebenarnya masih tidak boleh melupakan mesta dia yang musnah serta Christine Palmer kekasihnya yang telah mati. Episod ini terasa terlampau singkat dan elemen magis Doctor Strange yang gempak itu kurang menarik perhatian. Gandingan bersama Captain Carter dan Kahori sudah menarik, tetapi kalai boleh saya ingin tonton episod ini dalam versi filem penuh. Kisahnya sangat menarik membuatkan saya persoalkan kenapa filem Multivers of Madness tidak boleh mempunyai penceritaan seperti ini?

Apa Seterusnya?

What If…? Adalah inisiatif Marvel dan Disney mengembangkan lagi penceritaan dan konsep multimesta. Jelas yang siri ini akan membantu pihak studio menulis skrip Avengers: Secret Wars iaitu perang di antara mesta berbeza bagi menyelamatkan satu mesta utama atau semua mesta. Dengan musim kedua ini mengacah sedikit kaitan dengan Loki musim kedua, membuatkan saya tidak sabar menantikan kisah yang akan diadaptasi untuk filem aksi nyata nanti. Adakah hanya acah semata-mata, atau akan menjadi realiti?

Kesimpulan

Pada hemat saya, What If…? musim pertama memberikan pengalaman menonton yang lebih baik. Saya lebih teruja menonton musim lepas berbanding seluruh musim kedua. Walaupun begitu, musim baharu masih cuba membawakan penceritaan yang menarik dengan lakonan suara yang mantap. Cuma saya masih tidak puas hati kenapa kisah lebih menarik ini disampaikan dalam animasi bukannya aksi nyata? Siri animasi ini bukti yang MCU boleh ada cerita yang sedap dan bukannya klise yang berulang kali.

*Ulasan ini adalah berdasarkan maratonton kesemua 9-episod yang Disney dan Marvel beri akses awal kepada kami. What If…? Musim kedua disiarkan secara harian bermula 22 Disember sehingga 30 Disember di Disney+ Hotstar.

What If...? Musim Ke-2
Jeffrey Wright kembali sebagai The Watcher membawa penonton ke mesta alternatif MCU menceritakan kisah-kisah sampingan adiwira Avengers. Siri ini kekal memberikan kualiti animasi yang cantik, penceritaan yang lebih matang dan unik - cuma musim kedua ini tidak sehebat penceritaan musim pertama dan terlampau memberi harapan musim baharu akan diteruskan dan/atau animasi berkait dengan aksi nyata.
Positif
Kualiti animasi yang menakjubkan.
Penceritaan alternatif yang menarik serta lebih matang.
Prestasi lakonan suara yang hebat.
Negatif
Penyampaian cerita tidak cukup gempak seperti musim pertama.
Terlampau memancing penonton untuk nantikan musim baharu atau kaitan dengan aksi nyata.
8

Sohor Kini