Ulasan Napoleon

Ridley Scott ialah antara lima pengarah yang boleh dikategorikan sebagai legenda selepas kerjaya selama 58 tahun. Napoleon Bonaparte pula ialah antara insan yang paling dikenali di dunia kerana kejayaan beliau mengusai Eropah dalam kerjaya selama dua dekad. Selepas menonton filem Napoleon aku boleh katakan terdapat persamaan antara kerjaya Encik Scott dan Encik Bonaparte di mana kejayaan ketika masih mudah berjaya menutup kelemahan di penghujung kerjaya.

Filem ini mengikuti kerjaya Napoleon ketika kemuncak Revolusi Perancis sehingga kekalahan besar beliau di Waterloo. Sebagai seorang peminat sejarah, aku cukup arif dengan perjalanan hidup protagonis filem ini. Pada waktu yang sama aku boleh kategorikan diri aku sebagai peminat tegar Ridley Scott yang akan sentiasa mencari sinar walaupun pada karya beliau yang paling lemah seperti House of Gucci. Tetapi aku boleh katakan di awal ulasan ini bahawa Napoleon ialah filem yang tidak diketahui untuk siapakah ia dihasilkan?

Yang Bagus

Napoleon mempunyai pelbagai trademark Ridley Scott seperti babak pertempuran yang nampak realistik, dinamik, cukup ganas dan epik. Di awal filem pertempuran di Siege of Toulon berjaya menunjukkan kebijaksanaan Napoleon melalukan serangan hendak terhadap musuh yang jauh lebih besar. Pertempuran ini mempunyai babak kematian kuda yang paling tragik pernah diabadikan di atas seluloid (atau sensor CMOS kamera digital). Keganasan melampau kematian kuda ini set the tone kepada keganasan yang akan semakin meningkat setiap kali Napoleon berjaya meningkatkan kuasa beliau di Perancis pasca Revolusi 1789.

Pertempuran di Austerlitz yang dipaparkan dalam treler adalah sangat epik. Kemuncak filem ialah pertempuran Waterloo yang menunjukkan bagaimana perang zaman dahulu adalah lebih taktikal, dilakukan dengan lebih budiman dan lebih ganas daripada yang kita sangkakan selama ini. Bayangkan babak Jerusalem diserang oleh Salahuddin Al-Ayubi dalam Kingdom of Heaven tetapi berkali ganda lebih epik kerana senjata yang lebih moden.

Joaquin Phoenix ialah pelakon yang sempurna membawakan watak Napoleon. Vanessa Kirby pula ialah seteru beliau sebagai Josephine. Tiada masalah mempercayai Napoleon jatuh cinta pandang pertama kepada Josephine seorang balu dan berkahwin selepas hanya lima bulan bercinta. Phoenix sangat sempurna sebagai Napoleon yang berjaya menakluk Eropah. Beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk kuasa seperti mengorbankan ribuan askar di medan perang demi membuktikan kejantanan beliau kepada Josephine.

Yang Tak Bagus

Dua teraju filem membawakan watak dengan cukup mantap. Tetapi pada hemat aku watak sokongan yang lain tidak dikembangkan dengan lebih baik. Watak Paul Barras, Marshall Ney, Duke of Wellington dan banyak lagi tokoh sejarah terkemuka misalnya tidak dikembangkan dengan baik. Dalam beberapa situasi terasa seperti sekadar karikatur. Jika anda tidak mengetahui sejarah majoriti watak tambahan filem ini terasa seperti sekadar mengisi ruang kosong apabila Napoleon dan Josephine tidak di skrin.

Walaupun filem ini sepanjang 158 minit, ia masih terasa seperti terlalu tergesa-gesa. Masa melompat 3-5 tahun dengan terlalu cepat. Kejayaan terbesar Napoleon di Itali dan Mesir langsung tidak disentuh. Dalam pertempuran lain pula, ia disingkatkan terus ke klimaks atau diubah terus sehingga tidak lagi menepati sejarah.

Untuk Siapa?

Adakah untuk peminat sejarah yang menanti untuk melihat bagaimana pengarah akan memaparkan pertempuran Waterloo, Austerlitz dan percubaan untuk menakluk Rusia. Ridley Scott ialah nama yang cukup sinonim dengan aksi seperti yang dapat dilihat dalam filem Gladiator, Kingdom of Heaven dan Black Hawk Dawn. Ada pedigri yang cukup kuat pada pengarah berusia 85 tahun ini!

Tetapi pada waktu yang Ridley cuba mengimbangi babak-babak aksi testosteron dengan sisi lembut Napoleon bersama cinta hati beliau Josephine de Beauharnais. Seperti pepatah popular Inggeris, “di belakang setiap lelaki yang berjaya ada seorang wanita”. Tetapi aku rasakan percubaan ini kurang berjaya kerana setiap kali babak aksi Napoleon yang Alpha di medan perang, penonton kemudiannya disajikan pula dengan babak Napoleon yang bacul membenarkan kecurangan isteri dan seperti seorang mat jiwang yang lembik kerana terlalu cintakan wanita.

Ini adalah agak mengecewakan kerana aku mengharapkan Napoleon adalah sebuah filem yang lebih selari dengan Gladiator, Black Hawk Dawn dan American Gangster. Adakah kerana Ridley Scott seorang berbangsa Inggeris dan adalah “dosa besar” untuk memperlihatkan Napoleon seorang Maharaja Perancis sebagai seorang lelaki yang hebat?

Patut Ke Tengok?

Bagi aku filem ini masih perlu ditonton di wayang semata-mata untuk melihat aksi pertempuran yang epik seperti yang sepatutnya. Bukan pada TV 65″ di rumah apatah lagi pada skrin telefon 6″ ketika makan tengah hari di pejabat. Agak aneh sebuah filem sepanjang 2 jam 48 minit terasa tidak lengkap dan lompong. Hakikatnya riwayat Napoleon adalah terlalu epik untuk diceritakan dalam sebuah filem.

Maka aku menantikan sahaja edisi Director’s Cut sepanjang 3.5 jam yang akan ditayangkan di Apple TV+ kelak. Filem Ridley Scott yang “gagal” di panggung selalunya adalah lebih baik apabila ditonton semula dalam versi panjang visi asal beliau. Kingdom of Heaven dan Blade Runner adalah dua contoh bagaimana Director’s Cut mengubah tona penceritaan filem berbanding versi panggung.

Tontonlah Napoleon di IMAX untuk menikmati mungkin antara karya terakhir pengarah paling penting dalam sejarah layar perak jika anda seorang cinephile.

Napoleon
Sebuah lagi filem biografi daripada Ridley Scott yang epik tetapi ditewaskan oleh penceritaan kurang kemas serta babak yang lebih fiksyen daripada fakta.
Positif
Dua pelakon utama adalah pilihan tepat membawakan dua tokoh sejarah penting.
Babak peperangan yang berjaya menujukkan realiti sebenar.
Negatif
Walaupun panjang masih terasa kurang lengkap dan tergesa-gesa penceritaannya
Momentum filem kerap hilang kerana perlu diselitkan dengan drama percintaan.
Tidak menepati sejarah sepenuhnya,
7

Sohor Kini