Ulasan Samsung Galaxy Tab S9 FE+

Jika anda membaca ataupun tonton video Pandang Pertama untuk Samsung Galaxy Tab S9 FE+, saya sudah mengatakan yang bagi menjadikan tablet ini ditawarkan dengan harga lebih mampu milik berbanding penawaran Samsung Galaxy Tab S9, Samsung telah melakukan dua pengorbanan utama iaitu cip pemprosesan yang menggunakan Exynos 1380 yang kita boleh katakan sebagai cip kelas pertengahan dan juga skrin menggunakan TFT LCD berbanding Dynamic AMOLED 2X, ia juga menyokong kadar segar semula sehingga 90Hz sahaja berbanding 120Hz.

Melalui ulasan ini, saya akan memfokuskan kepada dua pengorbanan ini untuk menentukan sama ada berbaloi ia dilakukan untuk mengurangkan harga bagi penawaran tablet ini. Namun, sebelum itu berikut adalah spesifikasi ringkas bagi Samsung Galaxy Tab S9 FE+ ini.

Samsung Galaxy Tab S9 FE+
Skrin12.4-inci, TFT LCD, 1600 x 2560, 90Hz
PemprosesSamsung Exynos 1380
RAM12GB
Storan256GB (sokongan mikroSD sehingga 1TB)
Bateri10,900mAh (45W)
HargaRM3,099 (Wi-Fi)

Menggunakan cip pemprosesan kelas pertengahan iaitu Exynos 1380 bagi saya adalah pengorbanan yang paling besar bagi tablet ini untuk menjadikan ia lebih murah, dan ia juga adalah satu pengorbanan yang sangat memberi kesan kepada pengalaman penggunaan saya. Penggunaan harian seperti melayari web, sosial atau menonton YouTube bahkan jika ingin melakukan multi-tugasan seperti menulis artikel sambil membuka emel dan menonton video juga saya dapati tidak mempunyai masalah.

Namun, ia sangat terasa apabila bermain permainan mudah alih, saya mencuba untuk bermain beberapa permainan yang saya bermain secara harian iaitu Honkai: Star Rail, Magic: The Gathering Arena dan juga satu permainan yang boleh didapatkan melalui Netflix iaitu Dead Cells. Honkai: Star Rail ‘boleh’ dimainkan dengan tetapan tertinggi dan kadar kelancaran 60FPS, akan tetapi ia bukan pengalaman yang terbaik saya boleh katakan.

Oleh kerana, kebanyakan masa saya bermain Star Rail adalah menggunakan sistem auto di dalam permainan tersebut, masalah kelancaran yang berlaku kerana menggunakan tetapan di atas tidak sangat mengganggu saya, namun apabila saya melakukan penceritaan ataupun memasuki kawasan yang memerlukan kawalan secara sendiri, saya akan menurunkan tetapan kepada ‘medium’ untuk menjadikannya lebih lancar.

Manakala dua lagi permainan iaitu Magic: The Gathering Arena dan Dead Cells dapat dimainkan tanpa sebarang masalah kecuali MTG Arena yang ada bahagian terutama semasa membuka pek ataupun menggunakan kad-kad yang mempunyai kesan visual tertentu kadar kelancaran akan terjejas. Dengan MTG Arena tidak mempunyai sebarang tetapan grafik, ia adalah pengalaman yang tidak boleh diubah.

Bercakap mengenai bermain permainan mudah alih, walaupun mempunyai saiz skrin yang lebih kecil berbanding S9 Ultra, akan tetapi tablet ini masih tidak selesa untuk diaminkan dengan memegangnya, sebaliknya saya masih mencadangkan menggunakan alat kawalan ataupun dengan meletakkannya di penegak.

Bagi skrin pula, bagi saya pengorbanan yang dilakukan tidak terlalu mengganggu pengalaman penggunaan, walaupun Samsung Galaxy Tab S9 Ultra yang menggunakan skrin lebih berkualiti merupakan peranti yang saya guna secara harian. Jika diletak secara sebelah menyebelah, perbezaan adalah ketara tetapi untuk penggunaan umum saya tidak merasa sangat perbezaan tersebut.

Kualiti paparan adalah memuaskan, sama ada untuk bermain permainan mudah alih, menonton kandungan di Netflix dan juga menonton video di YouTube. Ia tidak mempunyai warna yang terang ataupun warna hitam yang jitu seperti panel OLED tetapi masih mencukupi dan saya tidak mempunyai sebarang rungutan semasa menjadikan tablet ini sebagai tablet utama saya secara harian.

Seperti yang saya katakan sebelum ini, perbezaan di antara 90Hz dan 120Hz tidak sangat memberi kesan, sekurang-kurangnya pada waktu ini. Ini adalah kerana kebanyakan permainan masih tidak menyokong kadar kelancaran permainan melebihi 60FPS, perbezaan utama adalah semasa penggunaan secara umum sahaja, namun bagi saya 90Hz masih lagi baik dan tidak membawa perbezaan yang ketara jika ingin dibandingkan dengan 120Hz.

Kapasiti bateri untuk Samsung Galaxy Tab S9 FE+ adalah 10,900mAh dan seperti jangkaan saya sebelum ini ia mempunyai ketahanan yang saya dengan Samsung Galaxy Tab S9 Ultra walaupun mempunyai kapasiti yang lebih kecil. Bagi penggunaan harian, seperti sedikit bermain permainan mudah alih, menonton Netflix dan melakukan pelayaran web atau sosial ia bertahan selama 3 hari, walaupun bermain permainan dengan lebih kerap ia masih boleh digunakan sekurang-kurangnya untuk 2 hari.

Dengan menyokong kadar pengecasan pantas 45W, pengecasan penuh daripada sifar mengambil masa kurang pada 2 jam. Oleh itu, ia tidak akan menjadi masalah untuk memastikan sentiasa mempunyai bateri yang mencukupi. Namun, dengan palang pengecas tidak disertakan di dalam kotak, anda perlu membeli secara berasingan ataupun menggunakan yang sedia ada yang menyokong pengecasan pantas.

Perkara lain yang saya boleh katakan mengenai tablet ini, tidak sangat berkait dengan tablet ini, sebaliknya sesetengah perisian masih tidak menyokong paparan tablet yang membuatkan antaramuka tidak sebaik yang sepatutnya. Antaranya adalah Netflix kerana menggunakan saiz yang kurang sesuai dengan resolusi tablet ini membuatkan beberapa bahagian ternampak besar dan kabur.

Akhir kata, Samsung Galaxy Tab S9 FE+ adalah satu tablet yang baik dengan harga yang lebih berpatutan untuk tablet daripada Samsung, dua pengorbanan utama yang dilakukan sedikit menjejas pengalaman yang diberikan terutama untuk cip pemprosesan bagi bermain permainan mudah alih. Namun, ia masih memberikan prestasi yang memuaskan tetapi tidak boleh menganggapnya sebagai satu peranti mercu. Paparan pula cukup besar dan walaupun tidak menggunakan OLED masih memberi kualiti gambar yang baik.

Model yang saya guna adalah Galaxy Tab S9 FE+ dengan storan 256GB dan 12GB RAM dan ditawarkan dengan harga RM3,099 ia juga hadir dengan pilihan 128GB storan dengan 8GB RAM yang ditawarkan dengan harga RM2,799. Ini adalah versi Wi-Fi dan anda boleh dapatkan versi 5G dengan tambahan harga RM600.

Ia hadir dengan 4 pilihan warna iaitu Mint, Lavender, Gray dan Silver – model yang saya guna adalah Gray. Anda boleh dapatkan maklumat lanjut mengenai tablet ini di laman rasmi Samsung dan nantikan ulasan penuh saya untuknya.

Sohor Kini