Barbarian adalah filem seram ngeri yang bijak serta memberikan pengalaman menonton yang memuaskan. Saya memberikan skor 10/10 untuk ulasan di Aksiz pada tahun lepas dan turut tersenarai dalam 10 filem terbaik 2022.
Terbaru, Diversion3 Entertainment iaitu studio yang membangunkan permainan Friday the 13th dan Evil Dead akan membangunkan permainan video untuk konsol dan PC berasaskan filem Barbarian. Mereka akan bekerjasama dengan New Regency Pictures dan permainan ini akan memfokuskan kepada setiap watak serta makhluk daripada filem.
Buat masa ini masih tiada tarikh bilakah permainan ini akan dikeluarkan. Dikatakan, permainan Barbarian turut akan berlaku di lokasi sama dalam filem dan memberi pengalaman imersif baharu untuk peminat filem ini.
Georgina Campbell, Bill Skarsgård dan Justin Long membintangi filem Barbarian. Ia mengisahkan Tess yang menyewa rumah AirBnB tetapi telah disewa oleh orang lain iaitu Keith. Kerana tiada pilihan lain, Tess terpaksa bermalam bersama Keith. Tetapi ada perkara aneh dan mengerikan di sebalik rumah AirBnB ini yang penuh dengan rahsia yang mengejutkan.