Antara filem seram yang aku nanti-nantikan tahun ini adalah Barbarian. Tetapi sayang sekali ia tidak ditayangkan di Malaysia yang saya jangka kerana elemen ngeri. Filem ini diarahkan dan ditulis oleh Zach Cregger iaitu pelakon dalam sitkom Friends with Benefits.

Filem ini dihasilkan oleh Regency Enterprises, yang menghasilkan filem seperti A Cure for Wellness, Bohemian Rhapsody, Ad Astra, The Northman dan banyak lagi. Ia diedarkan oleh 20th Century Studios dan akhirnya aku berpeluang tonton filem ini kerana ia telah disiarkan di Disney+ Hotstar.

Syukur aku tidak menyewa atau membelinya, jika tidak aku telah membazir sekitar RM70. Jadi apa yang menarik dengan filem ini dan benarkan ia antara yang paling seram sehingga menerima rating segar dengan 92% di Rotten Tomatoes (setakat ulasan ini ditulis).


Apa Kisahnya?

Filem ini amat ringkas, hanya fokus pada tiga watak iaitu Tess dan Keith. Ia bermula dengan Tess yang menyewa rumah melalui AirBnB di Detroit kerana ada temuduga kerja. Tetapi rumah ini telah disewa oleh Keith melalui platform berlainan. Disebabkan sudah tengah malam, hujan dan tidak mengenali persekitaran taman perumahan ini – Tess dijemput oleh Keith untuk bermalam di rumah ini sementara tunggu esok hari untuk aduan.

Tanpa diduga, rumah ini sebenarnya ada “benda” lain selain daripada Keith dan mula membuatkan Tess ketakutan, diganggu dan menjadi tertekan.

Pengalaman Menonton

Aku faham kenapa filem ini tidak ditayangkan di pawagam Malaysia, tetapi kalau ia ditayangkan pasti akan memberikan satu pengalaman menonton yang amat memuaskan. Aku rasa kecewa perlu tonton di rumah pada iPad. Aku ingin tonton sekali lagi di televisyen pula, kerana ingin saksikan filem hebat ini pada skrin besar.

Dari awal filem sehingga tamat, ia memberikan aku rasa suspens tanpa henti, rasa ingin tahu, dan tidak sabar ingin ketahui rahsia di sebalik perkara misteri yang mengganggu. Apa yang diperlihatkan dalam video treler langsung tidak mendedahkan perkara sebenar yang berlaku dalam filem ini, yang mana memberikan aku rasa kejutan yang dahsyat ketika menonton. Tidak sampai 10 minit menonton, jantung aku mula berdebar tanpa henti kerana pada awal filem sudah mula rasa suspen dan risau jika akan ada perkara buruk berlaku.

Jujur aku katakan, aku sudah lama tidak tonton filem sebegini. Aku rasa kali terakhir aku merasai takut dan tidak boleh duduk diam adalah ketika menonton filem Sinister pertama di panggung. Barbarian membuatkan aku tidak tentu arah kerana rasa takut, terkejut dan seram. Malah sehingga bunyi hujan terkena tingkap rumah pun membuatkan aku fikir perkara bukan-bukan.

Disebabkan dalam treler tidak mendedahkan apa-apa, aku tidak tahu apa yang akan muncul. Apabila satu keganasan berlaku, aku amat terkejut dan tidak sangka yang filem ini adalah sejenis filem seram yang tidak melibatkan perkara klise. Bercakap mengenai klise, aku tidak rasakan filem ini klise kerana banyak yang aku ramal tidak pun berlaku seperti filem seram lain yang aku tonton pada tahun ini.

Prestasi lakonan watak utama iaitu Tess adalah sangat mantap. Aku tidak begitu kenal beliau ketika menonton, tetapi aku tahu aku pernah tonton sesuatu yang beliau berlakon. Selepas semakan, Georgina Campbell adalah pelakon dalam Hang The DJ dalam Black Mirror dan Lyta Zod dalam siri TV Krypton. Emosi yang beliau sampaikan itu sangat meyakinkan, perasaan tertekan beliau terbawa-bawa ke diri aku, rasa curiga keadaan sekeliling oleh beliau dalam filem turut aku boleh rasai di rumah aku sehingga tidak tenang tidur malam.

Keith yang dilakonkan oleh Bill Skarsgård adalah satu sampingan yang pada awalnya aku rasa tidak puas hati dan mengesyaki sesuatu – tetapi beliau juga memberikan satu prestasi lakonan yang memuaskan. Filem ini turut ada watak penjahat, iaitu AJ lakonan Justin Long. Beliau adalah watak yang akan membuatkan penonton mempunyai perasaan bercampur kesian, geram dan padan muka.

Barbarian juga mempunyai penggunaan kamera yang baik yang menjadikan filem kelihatan cantik dan penuh misteri. Cara ia bermain dengan fokus, di mana kamera berada akan membuatkan anda terfikir kenapa jurukamera fokus di sesuatu sudut. Runut bunyi juga menarik dan menjadikan suasana lebih seram seriau. Aku tidak sangka seorang pelakon komedi boleh menghasilkan filem seperti ini.

Kesimpulan

Aku berikan Barbarian skor penuh, kerana pertama kali tahun 2022 aku dapat tonton sebuah filem genre kegemaran aku dengan perasaan yang sangat memuaskan. Pada aku, ini adalah penanda aras untuk filem seram misteri di masa hadapan – aku tidak ingin tonton perkara yang sama tetapi aku ingin lihat ada atau tidak orang lain mampu mengadaptasi konsep dalam Barbarian ke filem seram lain. Filem ini juga tidak sesuai untuk semua orang, kerana ada elemen ganas dan ngeri yang agak melampau – tetapi tidak seteruk filem seperti Terrifier atau VHS.

Penggemar filem seram, anda boleh saksikan filem ini di Disney+ Hotstar dan ia adalah sebuah filem yang sangat aku galakkan anda cuba tonton.

Barbarian
Sudah disiarkan di Disney+ Hotstar
Filem seram terbaik tahun 2022. Barbarian mengisahkan Tess yang menyewa satu rumah untuk temuduga kerja. Tetapi rumah ini telah disewa oleh orang lain. Satu malam, beliau mula diganggu dan pelbagai perkara misteri berlaku. Ia adalah filem dengan penyampaian cerita yang baik, ringkas dan memberi rasa suspens tanpa henti.
Positif
Penyampaian cerita yang sangat baik.
Prestasi lakonan yang penuh emosi.
Memberi rasa suspens tanpa henti.
Negatif
10

Sohor Kini