Skip to main content

Industri hiburan terutamanya perfileman kembali meriah pada tahun ini dengan pawagam-pawagam di kebanyakan dibuka dengan meluas. Di Malaysia sendiri sudah tiada sebarang penjarakan sosial dan penonton juga semakin yakin untuk keluar dari rumah dan mengunjungi pawagam bagi menonton filem. Ini ditambah lagi dengan perkhidmatan penstriman seperti Netflix dan Disney+ Hotstar juga memeriahkan lagi pilihan filem untuk ditonton.

Di dalam segmen Penutup 2022, hari ini kami akan kongsikan 10 Filem Terbaik untuk tahun ini, filem-filem yang disenaraikan adalah filem yang mempunyai ulasan di Aksiz, oleh kerana kami tidak tonton dan juga tidak ulas kesemua filem untuk tahun ini, senarai ini bukanlah senarai akhir dengan terdapat pelbagai lagi filem-filem menarik.

1. The Menu

The Menu adalah sebuah filem satira mengenai pengkritik makanan. Ia adalah komedi gelap yang mengerikan, memberikan pengalaman menonton yang mendebarkan dan memuaskan. Filem ini mengisahkan Margot dan Tyler yang ingin cuba makanan Chef Julian Slowik di Hawthorn dalam pulau terpencil. Tetapi sajian yang dihidangkan dan tragedi yang berlaku adalah bukan yang mereka sangkakan.

Baca: Ulasan The Menu – Sajian Satira Yang Menyelerakan

2. Barbarian

Filem seram terbaik tahun 2022. Barbarian mengisahkan Tess yang menyewa satu rumah untuk temuduga kerja. Tetapi rumah ini telah disewa oleh orang lain. Satu malam, beliau mula diganggu dan pelbagai perkara misteri berlaku. Ia adalah filem dengan penyampaian cerita yang baik, ringkas dan memberi rasa suspens tanpa henti.

Baca: Ulasan Barbarian – Filem Seram Dengan Suspens Tanpa Henti

3. Top Gun: Maverick

Top Gun Maverick ialah sekuel yang baik dan perlu ditonton kerana ia tidak bergantung sepenuhnya kepada nostalgia untuk menghasilkan sebuah filem yang cukup kemas. Kosinski dan Cruise menyedari sebab sebenar orang menonton Maverick ialah untuk melihat jet pejuang melakukan aksi-aksi ekstrem yang kini pupus kerana penggunaan peluru berpandu jarak jauh. Filemnya mengimbangi keperluan testosteron dan juga membuatkan Maverick kelihatan seperti manusia sebenar bukan juruterbang muda yang poyo dari filem pertama.

Baca: Ulasan Top Gun : Maverick – Gunakan After Burner Ke Panggung Segera!

4. The Batman

The Batman adalah pembawaan yang selamat untuk watak adiwira DC ini, akan tetapi ia masih terasa segar terutama dengan filem-filem DCEU yang kuran menarik semua ini. Kualiti lakonan adalah terbaik dengan Robert Pattinson membawa watak Batman dan Bruce Wayne dengan berkesan. Ia mungkin sedikit mengecewakan di bahagian pengakhiran akan tetapi masih lagi satu pengalaman yang memuaskan.

Baca: Ulasan The Batman – Filem Terbaik Selepas The Dark Knight

5. Glass Onion: A Knives Out Mystery

Benoit Blanc kembali untuk melakukan penyiasatan di dalam Glass Onion yang merupakan satu filem misteri yang bijak. Lakonan setiap pelakon juga sangat mantap dan berkualiti. Filem ini juga meneruskan lagi dari filem Knives Out dengan membawa elemen komedi yang membuat ketawa tanpa henti, namun dengan filem 2 jam 19 minit, ada masa ia terasa terlalu panjang.

Baca: Ulasan Glass Onion: A Knives Out Mystery – Misteri Orang Mati Yang Mencuit Hati

6. Thor: Love and Thunder

Taika Waititi meneruskan sentuhan komedi dirinya untuk filem Thor: Love and Thunder dengan membawa penceritaan yang ringkas dan mudah untuk diikuti oleh penonton. Ini secara langsungnya membantu untuk penonton lebih terhibur dengan penyampaian yang dilakukan, seperkara yang mengecewakan adalah watak penjahat kurang menggerunkan dan kurang memberi impak kepada filem ini.

Baca: Ulasan Thor: Love And Thunder – Filem Thorbaek Yang Tidak Boleh Tonton Sekarang!

7. Mechamato Movie

Mechamato Movie adalah satu filem yang cukup lengkap dengan penceritaan yang baik, dialog yang menarik dan juga aksi pertempuran yang berkualiti. Ia adalah pengalaman menonton yang memuaskan walaupun satu filem yang agak panjang. Ini saya katakan sebagai penonton yang tidak pernah menonton mana-mana kandungan Monsta, jika anda memang peminat untuk siri dan IP ini, filem ini sudah semestinya menjadi satu kepuasan.

Baca: Ulasan Mechamato Movie – Penuh Aksi, Penuh Isi

8. Prey

Prey adalah pembawaan baharu bagi siri Predator dengan ia membawa watak protagonis yang berbeza dengan filem-filem sebelum ini. Walaupun begitu, ia masih kekal menjadi filem yang mendebarkan dengan banyak aksi menarik. Ini dibantu lagi dengan penggunaan kesan khas fizikal yang sangat kemas. Namun, ia mungkin nampak murah dan tidak cukup ganas.

Baca: Ulasan Prey – Pemangsa Menjadi Mangsa

9. She Said

She Said adalah satu filem yang baik jika anda meminati genre investigative journalism ataupun yang ingin lebih tahu mengenai perkara yang berkait. Ia adalah filem yang dilakonkan dengan baik, penyampaian yang menitik beratkan bukan sahaja dari kaca mata pemberita tetapi juga daripada mangsa untuk memberi perasaan empati dan filem ini berjaya melakukannya. Ia mempunyai sedikit masalah dari segi susunan dan struktur yang menjadikan filem ini sedikit kurang kemas.

Baca: Ulasan She Said – Keberanian Menjatuhkan Satu Gergasi

10. Puss in Boots: The Last Wish

Puss In Boots: The Last Wish adalah sebuah filem animasi yang baik dan sangat menghiburkan. Ia bukan di tahap sempurna, tetapi sangat menyeronokkan kerana aksi yang lucu yang tidak melampau. Ia juga adalah filem yang anda tidak perlu pun tonton yang pertama kerana masih boleh faham. Malah anda tidak perlu tonton Shrek pun tidak mengapa.

Baca: Ulasan Puss In Boots: The Last Wish – Boleh Ketawa Tanpa Henti!

Lain-Lain

Selain daripada filem-filem yang kami senaraikan di atas, terdapat pelbagai lagi filem menarik lain yang dikeluarkan contohnya The Guardians Of The Galaxy Holiday Special dan Werewolf By Night yang kedua-duanya adalah kandungan yang sangat baik akan tetapi kami tidak sertakan kerana ia lebih kepada filem pendek berbanding filem penuh.

Selain itu, terdapat juga beberapa filem yang kami tak tonton lagi termasuk juga kerana ia masih tidak ditayangkan di Malaysia seperti The Banshees of Inisherin, The Woman King, Hustle, All Quiet on the Western Front dan Avatar: The Way of Water.

Leave a Reply