Ulasan Gen V (Musim 1)

Gen V adalah siri sampingan kepada The Boys dan berlaku dalam mesta yang sama. Siri ini mempunyai sedikit kaitan dengan musim ketiga The Boys dan episod akhir akan membawa penonton ke musim keempat. Gen V turut memberikan pengalaman menonton seakan musim pertama The Boys di mana merupakan satu pengenalan kepada dunia baharu.

Kali ini adalah pelajar universiti yang masih tidak tahu rahsia Vought, masih sedang belajar cara mengawal kuasa serta mempunyai konflik yang dahsyat. Siri ini memfokuskan konflik pengurus universiti dengan pelajar mereka serta menyelitkan kaitan dengan Vought. Seperti yang saya pernah cakap dalam pandang pertama, Gen V adalah sangat ganas, ngeri dan meloyakan tetapi pada masa sama sangat menghiburkan.

Baca – Amaran! Gen V Sangat Ganas, Ngeri, Meloyakan Tetapi Menghiburkan


Pengalaman Menonton

Walaupun saya katakan Gen V ada vibe seakan menonton The Boys musim pertama, ia tidak menyalin atau mempunyai penceritaan yang sama. Sebaliknya cuba menjadi unik dengan cara sendiri yang akan memastikan peminat The Boys menghargai siri sampingan ini. Elemen teras The Boys seperti konflik politik, korupsi Vought, drama cinta, aksi ganas dan ngeri semua masih ada. Kali ini watak-watak utama adalah pelajar dan bukannya orang dewasa seperti yang ada dalam The Boys.

Satu perspektif berbeza menceritakan kisah manusia dengan kuasa luar biasa kerana masing-masing tidak menyedari kebolehan masing-masing dan mendatangkan risiko kepada orang tersayang. Saya mengamati setiap episod sehingga jantung berdebar kerana aksinya serta penceritaan yang matang. Saya turut tidak berpuas hati dengan Prime Video kerana menyiarkan episod secara mingguan membuatkan saya tidak sabar menantikan episod seterusnya.

Selepas menonton kesemua episod, saya boleh katakan yang Gen V seakan gabungan ketiga-tiga musim The Boys yang disampaikan dalam lapan episod. Perjalanan ceritanya lancar, tidak rasa bosan atau penat untuk tonton. Malah setiap episod berakhir dengan kejutan yang membuatkan saya tertanya-tanya kenapa? Apa? Bagaimana? Bila? dan banyak lagi persoalan.

Pengenalan lebih banyak watak adiwira turut menjadikan siri ini menarik. Kerana bayangkan universiti yang dipenuhi manusia dengan kuasa luar biasa menyedari mereka tidak menerima kuasa secara semula jadi, sebaliknya ibu dan bapa mereka yang inginkan duit dari Vought memberi suntikan Compound V menjadikan mereka sebagai tikus makmal.

Gen V mempunyai koleksi watak-watak yang menarik dengan pelbagai personaliti dan perwatakan. Masing-masing ada potensi mempunyai kisah sampingan tersendiri atau membawa peranan penting dalam The Boys serta musim-musim akan datang.

Walaupun Gen V memfokuskan kisah para pelajar universiti, skrip pada siri sampingan The Boys ini cukup matang. Apa yang saya suka pada Saw, The Boys, Invincible saya dapat saksikan dalam Gen V. Satu perkara yang saya tidak suka adalah cara siri ini mengejek golongan Gen Z agak meta dan kadangkala terasa cringe.

Masa Depan Gen V

Gen V musim pertama akan membawa penonton ke The Boys musim keempat, yang mana episod akhir musim baharu ini akan membawa penonton ke Gen V musim kedua pula. Ya, Gen V sudah disahkan akan diteruskan dengan musim kedua. Namun begitu, apakah masa hadapan seterusnya masih tidak diketahui.

Mesta The Boys dan Gen V ini besar. Prime Video sudah pun ada siri animasi antologi, ia turut mempunyai komik tersendiri. Pencipta siri ini iaitu Eric Kripke ada menyatakan yang banyak lagi perkara beliau sudah rancang yang belum disampaikan. Jadi kita mungkin akan melihat lebih banyak musim baharu atau mungkin suatu hari nanti francais ini akan ditamatkan dengan filem.

Apa yang pasti, agenda The Boys yang ingin menghapuskan semua Supe yang kejam dan jahat selari dengan apa yang pengetua Godolkin University bangunkan. Apakah ia, saya tidak boleh mendedahkan kerana merupakan satu beberan. Tetapi saya boleh membayangkan bagaimana Gen V akan berkait dengan musim akan datang The Boys. Imaginasi saya kini dibanjiri dengan darah kerana saya yakin ia akan menjadi satu cerita yang memuaskan.

Kesimpulan

Sebagai peminat cerita adiwira seperti dalam mesta Marvel dan DC, Gen V sama seperti The Boys memberi perspektif baharu untuk konsep adiwira. Ia lebih realistik dengan aksi yang ganas, tidak klise, banyak bergantung kepada kesan visual praktikal, ada episod mengarut yang mencuit hati serta disertakan dengan runut bunyi yang menghiburkan. Gen V tidak akan memberi anda satu penyesalan selepas menonton kesemuanya.

Saya amat menggalakkan semua tonton Gen V, cuma perlu ingat ia adalah untuk tontonan mereka yang berusia 18 tahun ke atas. Jika anda tidak boleh tonton kandungan ngeri seperti Saw yang fokus kepada mendera orang sahaja, Gen V adalah lebih dahsyat kerana saya sendiri hampir muntah.

*Ulasan ini adalah berdasarkan semua episod (1-6 sedia ditonton) dengan akses awal untuk episod 7-8 yang diberikan oleh Prime Video.

Gen V
Gen V adalah kisah para pelajar Godolkin University yang masih ingin belajar cara mengawal kuasa tetapi terjerat dalam konflik korupsi universiti ini berserta Vought. Dengan mengekalkan elemen teras The Boys, Gen V mempunyai aksi ganas ngeri yang menjijikkan dan pasti menghiburkan. Skrip yang matang, watak yang menarik ditemani visual hebat. Ia adalah siri yang pasti peminat The Boys akan hargai.
Positif
Penceritaan yang menarik, lancar dan unik
Aksi ganas yang mengerikan serta menjijikkan tetapi masih menghiburkan
Pengenalan watak-watak menarik yang berpotensi
Negatif
Parodi aktiviti golongan Gen Z yang cringe
9

Sohor Kini