The Boys adalah siri TV adiwira aksi nyata yang paling saya gemari setakat ini. Ia menyampaikan konsep manusia yang memiliki kuasa luar biasa yang paling realistik. Penyampaian cerita juga menarik, penuh dengan aksi gempak, penceritaan yang unik dan membina satu dunia adiwira komik yang berbeza dengan MCU atau DCU.

Baru-baru ini siri sampingan telah disiarkan di Prime Video iaitu Gen V. Ia berlaku selepas musim ketiga The Boys dan memfokuskan kepada sebuah universiti milik Vought yang dipenuhi dengan pelajar yang luar biasa. Masing-masing ada kuasa dan sedang cuba belajar mengawal serta mencari tempat di dunia sama ada menjadi selebriti atau menjadi wira.

Artikel ini adalah berdasarkan pengalaman menonton selepas tiga episod daripada lapan episod. Saya akan kongsikan pengalaman menonton saya dan pendapat kenapa anda perlu menonton siri TV ini?
Gen V sangat ganas, ngeri, jijik dan meloyakan tetapi pada masa sama ia cukup menghiburkan. Jika anda suka keganasan dalam The Boys, anda akan jatuh cinta dengan siri sampingan ini. Ia tidak klise, ceritanya matang, masih ada elemen lucu yang membuatkan saya ketawa terbahak-bahak dan prestasi setiap pelakon yang cukup hebat serta meyakinkan.

Siri ini secara asasnya adalah seakan The Boys pada musim pertama, bayangkan watak Hughie Campbell lakonan Jack Quaid – tetapi kini ada ramai watak seakan dia cuma masing-masing ada kuasa. Apa yang saya cuba maksudkan di sini adalah, setiap pelajar ini tidak tahu rahsia sebenar Vought dan The Seven kerana semua adalah peminat kepada pasukan adiwira terkenal ini dan hanya ingin menjadi yang terbaik agar boleh diterima masyarakat.

Universiti dalam siri ini adalah Godolkin University yang dikendalikan oleh Vought jadi anda boleh bayangkan aktiviti kejam yang dilakukan sama seperti dalam The Boys, cuma kali ini bukan orang dewasa sebaliknya remaja dan anak muda. Setiap tiga episod membuatkan jantung saya berdebar kencang dan rasa seronok seakan adrenalin dipam tanpa henti macam A-Train dengan Compound V.



Peminat The Boys akan menghargai siri TV ini dan pasti tidak sabar untuk saksikan episod empat dan seterusnya. Gen V membawakan Jaz Sinclair, Chance Perdomo, Lizze Broadway, Shelley Conn, Maddie Phillips, London Thor, Derek Luh, Asa Germann, Patrick Schwarzenegger, Sean Patrick Thomas, Marco Pigossi serta turut mempunyai penampilan khas Clancy Brown dan Jason Ritter.
Lebih menarik Jessie T. Usher, Colby Minifie, Claudia Doumit dan P.J. Byrne turut kembali memainkan watak yang sama dalam The Boys. Gen V mempunyai lapan episod yang akan disiarkan setiap minggu dan akan tamat pada 3 November tahun ini. The Boys musim keempat dijangka akan bersambung selepas itu.
Teruskan ikuti Aksiz untuk ulasan penuh untuk kesemua episod tidak lama lagi.


