Aku mula meminati karya Mike Flanagan selepas menonton filem The Haunting of Hill House. Beliau hebat dalam menulis dan mengarah kisah seram yang menarik dengan kualiti produksi yang unik lagi-lagi dengan one-take beliau yang terkenal.
Namun selepas Hill House dan The Haunting of Bly Manor, Flanagan tiada perancangan untuk meneruskan francais ini. Sebaliknya beliau hadir dengan sesuatu yang berbeza seperti Midnight Mass yang menggunakan konsep puntianak dengan agama, Midnight Club yang mengisahkan remaja yang sakit tenat dengan konsep sumpahan dan juga terbaru mengadaptasi karya Edgar Allen Poe menjadi sebuah kisah kematian misteri yang ganas dan ngeri iaitu The Fall Of The House Of Usher.
SINOPSIS SIRI TV
Siri ini mengisahkan dua beradik Usher iaitu Roderick dan Madeline yang telah membangunkan empayar perubatan Fortunato Pharmaceuticals. Mereka sekeluarga mempunyai kuasa yang hebat seperti bebas dari pelbagai jenayah hanya kerana mereka terlampau kaya. Namun suatu hari, seorang demi seorang waris Usher mati dalam keadaan yang mengerikan dan ia melibatkan wanita misteri yang pernah Roderick dan Madeline bertemu suatu masa dahulu.
PENGALAMAN MENONTON
Selepas maratonton kesemua episod, aku merasakan ini bukanlah karya Flanagan yang terbaik kerana tiada lagi karya beliau yang boleh menandingi kehebatan The Haunting of Hill House. Siri ini mempunyai penyampaian cerita yang agak perlahan dan hanya pada penghujung setiap episod ia mula membuatkan aku tertarik untuk terus menonton dan sukar untuk berhenti kerana disuapkan dengan banyak perkara yang ingin aku tahu.

Siri ini mempunyai dua garis masa, satu di silam dan satu di masa kini yang bercampur aduk dan tidak konsisten. Kejap seakan imbau kembali, kejap ia menjadi adegan utama yang menyampaikan kisah penuh sejarah adik-beradik Usher ini. Siri ini turut tidak mempunyai one-take Flanagan yang ikonik tetapi masih jelas kelihatan kualiti produksi seram beliau yang aku kenal.

Apa yang seram dalam siri ini bukanlah hantu atau takut kejut yang biasa beliau gunakan, tetapi nasib malang yang bakal menimpa kepada waris-waris Usher. Episod demi episod, tragedi mengerikan diacah dan membuat aku terfikir dan cuba meramalkan apa yang bakal berlaku – namun apabila didedahkan ia berbeza dan berada di luar jangkaan. Malah setiap tragedi cukup ganas dan mengejutkan sehingga boleh sukar untuk tidur malam kerana imej-imej yang membayangi fikiran aku.

Terdapat lapan episod, episod pertama sebagai pengenalan kepada siapakah keluarga Usher ini dan apakah empayar farmaseutikal Fortunato. Kemudian episod demi episod adalah memfokuskan kepada anak-anak Roderick Usher dengan kematian mereka yang dahsyat. Di sini aku mula teruja kerana Flanagan mengembalikan pelakon-pelakon yang kerap membintangi siri TV beliau. Setiap pelakon membawakan prestasi yang sangat menarik dan benar-benar menjiwai watak masing-masing.

Pada mulanya tidak begitu jelas, kenapa setiap anak mereka ini perlu mati dengan ganas dan kejam tetapi selepas mengetahui dosa yang mereka lakukan. Kematian yang berlaku pada aku adalah layak untuk mereka. Adegan yang diperlihatkan turut mengingatkan aku kepada filem Saw, Planet of the Apes, V/H/S dan ada sedikit gaya Guy Ritchie atau Zack Snyder.

Siri ini turut banyak menyertakan perkara yang cringe kerana menyentuh isu semasa yang tipikal yang berlaku sekarang. Misalnya adalah serius dengan algoritma dan AI, ketidakadilan antara syarikat konglomerat dengan orang biasa serta beberapa perkara klise yang sedikit menjengkelkan.

The Fall Of The House Of Usher walaupun tidak cukup seram, ia masih memberi perasaan tidak senang hati sepanjang tontonan. Misalnya, elemen seram Flanagan yang kerap muncul dalam hampir semua siri TV beliau dikekalkan iaitu bermain dengan mata misteri. Apakah ia anda perlu tonton sendiri. Selain itu turut ada kemunculan makhluk aneh yang yang sentiasa menimbulkan tanda tanya.

Apa-apa pun aku masih berpuas hati dengan siri TV ini. Cuma aku amat merindui francais seram The Haunting yang mungkin tidak akan kembali. Ini kerana, jika perjanjian Flanagan bersama Prime Video masih kekal – The Fall Of The House Of Usher adalah siri terakhir beliau di Netflix. Selepas ini karya beliau akan menjadi eksklusif di platform penstriman video di bawah Amazon pula.
KESIMPULAN
Siri ini bukanlah untuk semua orang. Ia amat perlahan dan aku yakin tidak semua peminat seram boleh menghargai karya Flanagan terakhir di Netflix ini. Bayangkan, semasa aku tonton pada kadar kelajuan 1.5 perbualan setiap watak masih kedengaran lancar dan tidak pantas. Itulah tahap perlahan cerita ini. Jangan salah faham, untuk aku ia masih sebuah kisah yang menarik cuma bukan yang terbaik beliau sahaja. The Fall Of The House Of Usher sudah boleh ditonton di Netflix sejak minggu lalu dengan lapan episod kesemuanya.
